Kejadian haiwan liar muncul di kawasan kediaman atau premis perniagaan bukanlah sesuatu yang luar biasa di Malaysia.
Namun apabila ia melibatkan ular sawa yang tiba-tiba muncul dari dalam mangkuk tandas, ia sudah tentu mencetuskan rasa panik dan seram kepada sesiapa sahaja.
Umum mengetahui, ular sawa mempunyai keupayaan menyusur melalui ruang sempit termasuk saluran paip, longkang dan sistem kumbahan.
Dalam beberapa kes yang pernah dilaporkan, reptilia ini boleh memasuki rumah melalui lubang tandas kerana ia berkait dengan rangkaian paip yang bersambung dengan sistem saliran luar.
Keadaan longkang terbuka, persekitaran lembap atau kehadiran tikus juga boleh menarik haiwan tersebut untuk menyusup masuk.
Satu perkongsian video dalam media sosial oleh seorang pengguna dikenali sebagai @Aainairwn menarik perhatian ramai selepas memaparkan kepala seekor ular dipercayai ular sawa yang muncul dari dalam mangkuk tandas di tempat kerjanya.

Dalam kapsyen ringkas yang dimuat naik, dia berkongsi pengalaman menakutkan itu yang berlaku ketika Ramadan 2026.
“Alkisah puasa ke-13. Tak mahu dah masuk jamban ni,” tulisnya secara berseloroh namun jelas menggambarkan rasa trauma selepas kejadian tersebut.
Menurutnya lagi, kejadian itu berlaku di tandas pejabat di tingkat bawah bangunan tempat dia bekerja.
“Pejabat bawah,” jelasnya ketika menjawab pertanyaan
seorang netizen yang ingin tahu lokasi tandas berkenaan.
Perkongsian tersebut pantas mencetuskan pelbagai
reaksi daripada orang ramai yang rata-ratanya berasa seram membayangkan situasi
berkenaan.
“Rumah bawah ke umah tinggi? Takutnya,” tulisnya.

Seorang lagi netizen memberi pandangan bahawa kedudukan bangunan sebenarnya tidak begitu mempengaruhi kemungkinan kejadian itu berlaku.
“Bawah atau tinggi sama sahaja kak. Kalau lagi tinggi ular dia mungkin lagi panjang kak. Jaga-jaga,” katanya berseloroh.
Ada juga yang berkongsi pengalaman hampir sama dan
menyangka kejadian itu berlaku di lokasi yang sama dengan tempat kerjanya.
“Sama macam tempat kerja sayalah. Adakah kita bekerja di tempat yang sama? Prai, Penang,” tulisnya.

Namun pemilik video menjelaskan bahawa kejadian itu
sebenarnya berlaku di Klang, Selangor.
Pada masa sama, pemilik video turut mendedahkan
satu perkara yang membuatkan ramai netizen lagi berdebar.
“Sebenarnya saya tengah memerut dua kali ya, syukur ia tak keluar waktu tu,” tulisnya.

Pengakuan itu membuatkan ramai netizen mengucap
syukur kerana ular berkenaan tidak muncul ketika tandas sedang digunakan.
Tidak kurang juga yang memberi pandangan daripada
sudut pengetahuan mengenai ular.
“Ball python
breeder: Hm normal morph,”
tulisnya ringkas.
Menurut pemilik video, pihak Angkatan Pertahanan
Awam Malaysia (APM) juga telah dipanggil bagi membantu memeriksa keadaan
tersebut.
“APM dah datang tapi ular tiada dan mereka dah letak segala sabun air panas nak bagi keluar. Pagi ni masuk pejabat, periksa tapi tetap tiada. Kita orang dah pam tapi air pam macam tak lancar,” jelasnya.

Keadaan itu membuatkan sesetengah netizen
berteka-teki sama ada ular tersebut masih berada dalam saluran paip.
“Kalau pam air lambat turun ya dia masih di situ,”
kata netizen.
Malah ada juga yang beranggapan kemungkinan ular
tersebut mati dalam saluran berkenaan.
“Bangkai dia ada situ kot,” tulisnya.
Sementara itu, ada yang mengakui kejadian tersebut
membuatkan mereka semakin berhati-hati setiap kali mahu menggunakan tandas.
“Seram. Saya selalu kalau nak guna tandas memang
akan pam satu dua kali. Tapi video ni awak pam ia masih kekal ya. Makin takutlah
nak memerut ni,” tulis netizen yang ketakutan.
Seorang lagi netizen pula tertanya-tanya bagaimana
ular tersebut boleh masuk ke dalam mangkuk tandas.
“Soalan serius. Macam mana ia boleh masuk ya? Dari tingkap tandas ke? Kemudian menyusur masuk dalam mangkuk tandas?” soalnya.

Kejadian seperti ini walaupun jarang berlaku, namun
bukan mustahil kerana sistem paip tandas sememangnya bersambung dengan saluran
kumbahan yang boleh menjadi laluan haiwan tertentu jika terdapat ruang atau
kerosakan pada sistem saliran.
Sekiranya kejadian seperti ini berlaku di rumah atau premis perniagaan, orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dan tidak cuba menangkap atau mengusir haiwan tersebut sendiri.
Langkah terbaik yang boleh diambil ialah hubungi pihak berkuasa seperti APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) atau pihak berkuasa tempatan.
Selain itu, orang ramai juga digalakkan untuk
sentiasa berhati-hati dengan memeriksa mangkuk tandas terlebih dahulu sebelum
menggunakannya, terutama di kawasan berhampiran longkang besar, sungai atau
kawasan semak. - KitaReporters