Insan & Komuniti 06 Mar, 2026

Singgah sahur penuh syahdu! Sukarelawan KESUS bersahur dengan warga emas! Seawal pukul 3.30 pagi!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Program Jom Singgah Sahur Ramadan menjadi alternatif Kelab Kebajikan Sukan dan Sosial (KESUS), Ibu Pejabat Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya menjalinkan ukhuwah dengan warga emas terdampar atau terbiar.


Ahli dan sukarelawan KESUS memeriksa barangan asas keperluan harian yang disumbangkan kepada PJMM.


Mereka mengambil kesempatan pada program yang kurang dianjurkan oleh mana-mana pihak sebagai usaha murni mendapatkan keberkatan Ramadan di samping menabur bakti bagi meringankan bebanan pusat jagaan menjaga warga emas terbabit.

Berucap merasmikan program berkenaan di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Keselamatan dan Kualiti Makanan), KKM, Ts Zailina Abdul Majid, berkata program berkenaan juga bagi menzahirkan penghargaan kepada PJMM yang menyantuni warga emas terdampar sejak 10 tahun lalu.


Ahli dan sukarelawan KESUS menyusun juadah untuk bersahur yang akan diagihkan kepada warga emas.


Menurutnya, apabila KESUS merancang mengadakan program yang sudah masuk tahun keempat itu, PJMM menjadi pilihan supaya dapat bersama-sama warga emas lelaki dan wanita sejak awal pagi kira-kira pukul 3.30  pagi bagi menghidupkan suasana bangun bersahur.

Tambahnya, situasi itu sudah pasti mengembali ingatan silam warga emas terbabit yang bangun untuk menyiapkan juadah bersahur ketika hidup bersama ahli keluarga khusus anak-anak sebelum tersisih di pusat jagaan dan berakhir sebagai kenangan.

Jelasnya, 30 ahli KESUS dan sukarelawan hadir di PJMM umpama saudara mara atau anak untuk bersahur bersama walaupun tidak seindah kehidupan lalu mereka, namun diharapkan cukup untuk menghilangkan kerinduan dan kesedihan di hati dalam kalangan warga emas.


Zailina Abdul Majid melakukan gimik penyerahan sumbangan barangan asas keperluan harian kepada Azman.


“Kita hadir bersahur bersama dengan menyantuni mereka penuh kasih sayang, menunaikan solat sunat tahajjud, taubat dan hajat berjemaah seterus berakhir dengan solat subuh serta berselawat amat menyentuh hati.

“Kami memberi sokongan moral dan berharap warga emas diberi kesejahteraan kesihatan bagi meneruskan kehidupan penuh harmoni serta semangat setiakawan bagi sama-sama menjaga diri di PJMM ini untuk meneruskan kelangsungan hidup,” ujarnya.

Turut hadir pada program yang berlangsung pada 1 Mac 2026 itu, Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin; Pengurus PJMM, Mat Khairul Bashah Mat Hadzir; Pengerusi KESUS, Amran Hasan; dan Timbalan Pengerusi KESUS, Ts Noraini Abdul Wahab.


Zailina menyantuni seorang warga emas yang keuzuran dan tidak mampu untuk bergerak.


Sementara itu, Azman berkata, program berkenaan amat sukar untuk dilakukan oleh banyak pihak apabila dilaksanakan awal pagi selapas sebahagian besar daripada kita akan berasa penat kerana berpuasa seharian dan menunaikan solat sunat tarawih pula. 

Tambahnya, dia berasa kagum dan terharu dengan kehadiran KESUS menyantuni warga emas untuk bersahur bersama-sama sambil beramah mesra dengan disusuli pula menunaikan solat sunat dan subuh berjemaah.

Jelasnya, keadaan itu memang menggembirakan hati warga emas terbabit yang sudah lama dipinggirkan ahli keluarga atau hidup sebatang kara dalam keadaan keuzuran amat merindui suasana bersahur atau berbuka bersama keluarga.


Mohiadin Bahado menerangkan kandungan kisah benar warga emas dalam buku cerpen Terkulai Di Senja Hari kepada Amran Hasan, Zailina dan Noraini Abdul Wahab.


Menurutnya, situasi begitu juga sering berlaku sehari atau dua hari menjelang Syawal ada warga emas dengan membawa beg setia menunggu di depan pintu pagar utama PJMM dengan harapan ada anak dan saudara mara datang menjemput untuk dibawa menyambut Adilfitri bersama.

“Namun penantian warga emas ini berlalu begitu sahaja, kerana tiada siapa pun yang sudi datang menjemputnya dan pada ketika itulah kita lihat mereka berasa sugul serta hampa apabila nasib tidak dipedulikan,” ujarnya. - KitaReporters


Ahli dan sukarelawan KESUS merakamkan kenangan bersama pengurusan PJMM.

17
7
1
14
0
You will be interested