
Pemilik A Aida Productions ini berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima nasihat keluarga, rakan serta anak-anak, selain berhasrat mencari keberkatan sempena Ramadan.
A Aida berkata, keputusan untuk kembali berhijab mula terlintas dalam fikirannya selepas dia sedar daripada rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital Oktober 2025.

Tambah A Aida, selepas keluar dari ICU, setiap kali berjumpa, Ustaz (panggilan untuk Dr Mohd Izhar) akan ertanya kepada anaknya sama ada dia sudah bertudung atau masih memakai topi. Dan kata-kata itu sering bermain di fikirannya.
Dan anak keduanya, Azeva Natassha, juga kerap meminta dia berhijab, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan.
Desakan hati untuk kembali berhijab kembali timbul sehingga tidak lena tidur dan akhirnya sejak sebulan lalu dia nekad untuk kembali berhijab dan akan memulakan pada bulan Ramadan 2026.
Menyentuh keadaan kesihatannya, A Aida menyatakan masih belum pulih sepenuhnya selepas dimasukkan ke ICU akibat komplikasi pembedahan lutut pada September 2025.
Dia tidak boleh melakukan kerja aktif seperti mendaki bukit dan menunggang kuda. Kuda peliharaannya sudah empat bulan tidak ditunggang.
Dan untuk berjalan dia terpaksa bergerak perlahan dan jika turun tangga masih terasa sakit. Kerana itu Aida menjalankan pekerjaan di rumah.

A Aida memuatkan foto dia bertudung dalam laman Instagramnya dengan menulis kapsyen: "Bertudung bukan sebab orang lain, tetapi sebab hati".
Hantaran yang dibuat pada 12 Ramadan (Isnin, 2 Mac 2026) itu disambut dengan komen positif oleh Dr Mohd Izhar Ariff. "Alhamdulillah syukur Allah," tulisnya yang disertakan emoji gembira.
A Aida kemudian membalas mesej, "janji dengan ustaz asyik bermain di fikiran after (selepas) kembali sedar dari ICU (unit rawatan rapi). Tq ustaz... moga Allah pelihara kita semua."
Perubahan imej A Aida turut mendapat pujian daripada beberapa rakan artis antaranya Zoey Rahman, Rozita Che Wan, Lisdawati, Salwa Abdul Rahman dan Farahdhiya. Turut memuji penampilan terbaharu A Aida ialah Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
