Insan & Komuniti 06 Mar, 2026

Bukan hanya merawat! Hospital Columbia sumbang bubur lambuk! Untuk jemaah Surau Al-Falah Danau Kota!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

Menyantuni, merawat serta memberi penjagaan terbaik kepada pesakit sentiasa menjadi keutamaan Hospital Columbia, Setapak, Kuala Lumpur.

Namun dalam melaksanakan tugas hakiki ini, aspek tanggungjawab sosial (SR) tidak diabaikan. Justeru Hospital Colombia komited melaksanakan tugas kemasyarakatan, khususnya melibatkan penduduk setempat.


Hospital Columbia, Setapak.


Surau Al-Falah, Danau Kota, Setapak.


Matlamatnya untuk memupuk interaksi lebih baik antara pihak hospital dengan masyarakat serta mengeratkan tali silatulrahim dalam kalangan mereka. Ia juga mampu memupuk semangat perpaduan dan persaudaraan. 

Untuk itu, pihak Hospital Columbia, Setapak, turun padang mengadakan program memasak serta mengagih bubur lambuk di Surau Al-Falah, Danau Kota, Setapak pada Rabu 4 Mac 2026 bersamaan 14 Ramadan 1447H . Surau Al-Falah ialah surau Jumaat.

Sebuah khemah khas didirikan di kawasan surau untuk aktiviti memasak. Rombongan Hospital Columbia diketuai Pengarah Makanan dan Minuman (F&B), Syaharudi Saari. 

Mereka datang sejak tengah hari menyediakan keperluan memasak, termasuk penyediaan segala perencah dan bahan masakan.  

Turut terlibat dalam aktiviti ini ialah jururawat, staf bahagian makanan dan minuman, fisioterapi serta pemasaran. Hospital Columbia membawa tukang masak sendiri, Cef Mohamad Shahriff Md Ariffin.


Jururawat Hospital Columbia Setapak, bersama-sama menyiapkan bahan masakan bubur lambuk pada program memasak dan mengagih bubur lambuk di Surau Al-Falah, Danau Kota, Setapak pada 4 Mac 2026.


Hati-hati menghiris perencah tu... Jururawat Hospital Columbia Setapak menyediakan perencah memasak bubur lambuk di Surau Al-Falah, Setapak.


Menurut penyelaras program bagi pihak Surau Al-Falah, Shahruddin Abd Aziz, program masak bubur lambuk ini adalah tajaan sepenuhya oleh Hospital Columbia. Sejumlah 300 pek bubur disediakan untuk diagih kepada orang ramai.

Program tersebut melambangkan hubungan erat antara pihak hospital dengan surau, apatah lagi jarak hospital dengan surau hanya lebih kurang 50 meter. Kakitangan hospital sering  bersolat fardu dan solat Jumaat di Surau Al-Falah.

Berkat kerjasama dalam kalangan yang terlibat, sesi memasak bubur lambuk berjalan lancar. Petugas Hospital Columbia dengan sokongan pihak surau, berjaya menyiapkan bubur menurut jadual. 

Rasanya memang enak! Terima kasih Hospital Columbia Setapak atas sumbangan.


Cef Mohamad Shahriff M Md Ariffin (kanan) dan Syaharudi Saari (kiri) serta seorang kakitangan Columbia Hospital meneliti persiapan akhir memasak bubur lambuk.


Cef Mohamad Shahriff (kanan) memulakan 'gerak pertama' mengacau bubur lambuk.


Bubur diagih pukul 6.45 petang, ketika hampir menjelang waktu berbuka puasa. 

Pada waktu itu memang sudah ramai jemaah hadir ke surau untuk berbuka puasa. Setiap hari pihak surau menyediakan 200 pek makanan berbuka kepada jemaah.

Turut serta dalam majlis berbuka pada 4 Mac itu ialah staf Hospital Columbia Setapak, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Norakmarul-Laili Nahrawi.

Selain menyediakan pek makanan untuk berbuka puasa, Surau Al-Falah juga menyediakan 70 pek makanan untuk bersahur. 

Pihak surau bakal mengadakan berbuka puasa perdana, Iftar Perdana, pada 26 Ramadan bersamaan 16 Mac 2026. Sebanyak 250 pek makanan berbuka akan disediakan.

Penyediaan makanan untuk berbuka dan bersahur akan berakhir pada 29 Ramadan bersamaan 19 Mac 2026. 


Tidak mahu ketinggalan...Pengurus Fisioterapi Hospital Columbia Setapak, Zubaidah Yusop, turut mempamer kehebatan mengacau bubur lambuk.


Norakmarul-Laili Nahrawi (baju kuning) mengagihkan bubur lambuk tajaan Hospital Columbia Setapak kepada jemaah Surau Al-Falah menjelang berbuka puasa 4 Mac 2026.


Surau Al-Falah dianggap istimewa lantaran ia bagai surau antarabangsa. Ramai warga asing yang tinggal di persekitaran datang bersolat, berbuka puasa dan bertarawih.

Antaranya warga China, Sudan, Palestin, Bangladesh dan Yemen. Mereka sama ada bekerja, belajar, atau menemani keluarga di sini. 

Kehadiran mereka tentunya turut menyerikan kemeriahan Ramadan bersama penduduk setempat. - KitaReporters


Norakmarul-Laili (dua dari kanan) diapit oleh Shahruddin Abd Aziz (kanan) dan Timbalan Pengerusi Surau Al-Falah, Datuk Khalil Azlan Chik (dua dari kiri) serta Syaharudi.

  

10
9
0
10
0
You will be interested