Insan & Komuniti 06 Mar, 2026

Sarajevo dalam ingatan darah dan doa! Catatan pengembaraan di Bosnia-Herzegovina! Mencari cahaya!

@mohd fudzail mohd nor
Mohd Fudzail Mohd Nor merupakan penulis bebas setelah pencen. Belajar di New Zealand, bekerja di TV3, pernah bekerja selama 18 tahun di Arab Saudi dan UAE sebelum balik ke Kelana Jaya, Selangor akibat diserang strok dan menjadi warga OKU. Emel: [email protected]

Share this

Ketika konflik ketenteraan meletus semula di Asia Barat ekoran serangan bersama Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran baru-baru ini, saya teringat semula tragedi berdarah yang membasahi bumi sebuah negara Islam bernama Bosnia dan Herzegovina pada tahun-tahun 1990-an.


Kredit foto: Britannica


Pada tahun 2011, saya menjejakkan kaki ke bumi Balkan ini, sebuah negara yang peta sejarahnya dilukis dengan dakwat darah dan air mata. 

Saya tidak datang sebagai pelancong yang memburu foto indah untuk album peribadi, tetapi sebagai seorang pengembara jiwa yang mahu melihat sendiri kesan sejarah yang pernah menggegarkan nurani dunia.

Hampir seminggu saya mengelilingi negara itu bersama sahabat-sahabat seperjalanan. Kami menyusuri kota, desa, sungai dan gunung dengan perasaan yang sukar diungkapkan antara kagum terhadap keindahan alamnya dan pilu terhadap luka lamanya. 

Terutama di Sarajevo -- kota yang pada zahirnya tampak tenang, namun pada batinnya masih bergetar dengan gema meriam dan jerit manusia yang pernah dikepung tanpa simpati.

Perang Bosnia yang meletus pada 6 April 1992 dan berakhir pada 14 Disember 1995 bukan sekadar konflik politik; ia adalah tragedi kemanusiaan paling dahsyat di Eropah sejak tamatnya Perang Dunia Kedua. 

Pengepungan Sarajevo menjadi antara yang terpanjang dalam sejarah peperangan moden. 

Umat Islam di sana diserang, diculik, dikepung, dibunuh dan disembelih oleh nasionalis Serb. Angka korban yang dianggarkan antara 100,000 hingga 200,000 nyawa bukan sekadar statistik -- ia adalah ayah, ibu, anak dan saudara yang tidak sempat menua.

Dianggarkan juga puluhan ribu wanita dirogol, ribuan lagi hilang tanpa pusara. Lebih 2.2 juta manusia kehilangan tempat tinggal, menjadi pelarian di tanah sendiri dan di negeri asing. 

Ketika saya berdiri di sebuah tanah perkuburan di Sarajevo nisan putih berderet seperti saf solat yang tidak pernah putus dan saya terasa seolah-olah angin membawa suara mereka yang tidak sempat bersuara.


Tragedi di Srebrenica pada Julai 1995.

Namun dalam kegelapan itu, ada tangan-tangan dari dunia Islam yang menghulur cahaya. Malaysia, Brunei, Arab Saudi, Turki, Pakistan, Iran dan Sudan tampil membantu dengan kewangan, ubat-ubatan, bahkan sokongan ketenteraan. 

Malaysia dan Pakistan dikatakan tidak mengendahkan sekatan senjata oleh PBB, demi memastikan umat Islam Bosnia tidak terus menjadi korban tanpa daya.

Namun semua angka itu menjadi lebih nyata apabila saya berdiri di hadapan satu lorong bawah tanah, terowong yang menjadi saksi keberanian dan keputusasaan manusia. 

Terowong itulah yang menjadi nadi rahsia Sarajevo ketika kota itu dikepung. Ia dikenali sebagai laluan yang menghubungkan bandar dengan kawasan berhampiran lapangan terbang, satu-satunya jalan keluar-masuk ketika dunia luar hampir menutup pintu simpati.

Saya melangkah masuk ke dalam terowong yang sempit itu. Dindingnya lembap, silingnya rendah sehingga saya terpaksa membongkok. Bau tanah basah dan kayu lama masih terhidu, seakan menyimpan rahsia ribuan manusia yang pernah merangkak dalam gelap. 

Di sinilah rakyat Sarajevo melarikan diri, membawa harapan di dada dan ketakutan di bahu. Di atas tanah, peluru berpandu dan tembakan penembak tepat tidak pernah berhenti. Di bawah tanah, mereka berlari dalam gelap, berpaut pada doa.

Saya terdiam lama.

Di lorong inilah sahabat saya, Dr Harun Kapetanovic, graduan UIAM yang kemudian saya bersahabat di Dubai pernah meloloskan diri. Beliau yang terselamat dalam keadaan yang hampir mustahil. 

Untuk melintasi kawasan yang dikawal dan mengelakkan dikesan, beliau terpaksa berbogel, menyamarkan diri sebagai orang awam yang tidak membawa apa-apa, menanggalkan segala tanda identiti demi sebuah peluang hidup. Dalam keadaan Sarajevo dihujani peluru dan roket, beliau berlari menuju kebebasan, menuju peluang untuk meneruskan kehidupan yang akhirnya membawanya ke Malaysia.

Apabila saya menyentuh dinding terowong itu, saya membayangkan langkah kaki Dr Harun pantas, cemas, tetapi nekad. Saya membayangkan degup jantungnya yang mungkin lebih kuat daripada bunyi dentuman di atas tanah. Terowong itu bukan sekadar struktur fizikal; ia adalah lambang ketahanan manusia.

Dari terowong itu saya keluar dengan dada yang sarat. Saya sedar bahawa keberanian bukan selalu berbentuk senjata; kadang-kadang ia berbentuk langkah kaki dalam gelap.


Dr Harun Kapetanovic

Tugu memetik kata-kata Tun Mahathir Mohamad di Sarajevo : "Pembersihan etnik di Bosnia dan Herzegovina mesti dihentikan atau mereka yang mengeluarkan kata-kata sia-sia tentang demokrasi dan hak asasi manusia mesti selama-lamanya meninggalkan sebarang deposit keadilan dan kesaksamaan." 1994.


Nama Mahathir Mohamad masih disebut dengan rasa terima kasih oleh ramai warga Bosnia. Walaupun pada awalnya Malaysia bukanlah negara besar yang mampu mengubah arus geopolitik dunia, atas dasar kemanusiaan beliau memilih untuk tidak sekadar berdiam diri. 

Bantuan diplomasi, kewangan, kemanusiaan, penghantaran tentera pengaman dan penerimaan pelarian Bosnia ke Malaysia menjadi saksi bahawa solidariti tidak diukur dengan keluasan wilayah.

Kegagalan kuasa besar Barat untuk bertindak tegas pada peringkat awal sering menjadi bisik-bisik sinis dalam kalangan mangsa yang terselamat. Ramai beranggapan bahawa kelambatan campur tangan itu bukan sekadar kesilapan diplomatik, tetapi bias yang terselindung. 

Kemuncaknya ialah tragedi di Srebrenica pada Julai 1995 di mana lebih 8,000 lelaki dan kanak-kanak lelaki dibunuh dalam tempoh beberapa hari selepas kawasan “selamat” itu jatuh. Dunia menyaksikan, tetapi tidak cukup pantas bertindak.

Namun Bosnia bukan hanya tentang masa lalu. Ia juga tentang pembinaan semula yang rapuh. Struktur negaranya terpecah antara entiti Serbia-Bosnia, Persekutuan Bosnia-Croatia, dan daerah khas seperti Brcko yang ditadbir bersama. 

Parti-parti politik berorientasikan etnik masih mendominasi, sementara elit tertentu menguasai sektor pengangkutan, elektrik, perbankan dan media. Konflik kini tidak lagi bersenjata, tetapi berwajah politik dan ekonomi merudumkan pertumbuhan dan mendorong penghijrahan besar-besaran.

Dari populasi sekitar 4.4 juta sebelum perang, jumlah penduduknya kini jauh menyusut. Ramai anak muda memilih menjadi migran demi masa depan yang lebih stabil. 

Namun dalam kesempitan itu, ada juga elit yang mempamerkan kemewahan tanpa segan seakan-akan sejarah luka itu tidak pernah berlaku.


Masjid Gazi Husrev-beg. Ia terletak di kawasan Baščaršija (Old Town Sarajevo) dan merupakan masjid paling terkenal serta terbesar di Sarajevo. Dibina pada tahun 1531 semasa pemerintahan Uthmaniyyah oleh Gazi Husrev-beg, ia menjadi pusat keilmuan dan kerohanian umat Islam di Bosnia sejak abad ke-16.

Dalam pengembaraan saya, saya singgah dua kali di Mostar dan kawasan indah Blagaj. 

Di Blagaj, sungai jernih mengalir dari celah batu kapur yang menjulang megah. Saya makan di restoran yang lantainya hampir menyentuh air seolah-olah menikmati rezeki di pangkuan alam. 

Di situ juga terdapat rumah sufi, tekke lama tempat para darwis bertapa dan menyucikan jiwa. Saya berdiri lama di hadapannya, membayangkan zikir yang pernah bergema ketika dunia luar bergolak.

Keindahan Bosnia adalah paradoks: alamnya memukau, sejarahnya melukakan.

Sewaktu tiba di Sarajevo dari Budapest, saya keletihan. Kami tidak menempah hotel lebih awal. Kami hanya mahu tempat yang dekat dengan Old Town, kawasan lama yang memancarkan gabungan seni bina Uthmaniyyah dan Austro-Hungary. 

Akhirnya saya menemui sebuah hotel kecil milik keluarga. Bersih, sederhana dan berpatutan.

Seorang gadis muda menyambut kami di kaunter. Wajahnya lembut, senyumannya jujur. Rupa-rupanya dia pelajar universiti di Paris dan pulang bercuti musim panas membantu keluarganya.

Saya, dengan rasa ingin tahu yang polos, bertanya, “Are you a Muslim?”

Dia tersenyum, lalu menjawab, “I am half Muslim and half Christian.”

Saya terkedu, namun tertarik.

“Which parts of you are Muslim?” saya berjenaka.

Dia tertawa kecil, matanya bersinar. “No, I am Muslim in certain times, and Christian in other times.”

Jawapannya bukan sekadar gurauan; ia cerminan Bosnia itu sendiri, negara yang identitinya terbelah, namun tetap cuba berdiri sebagai satu. Saya bertanya lagi, “Are you a Muslim now?”

Dia membalas dengan ketawa yang lebih lepas. “Why?”

“Tell me when you are a Muslim and when you are a Christian… so I know what to ask!”

Malam itu kami keluar makan malam di atas bukit dan berbual panjang. Tiada ketegangan, tiada prasangka hanya manusia berbicara tentang kehidupan, sejarah dan masa depan di bawah langit Sarajevo yang damai. Kami menikmati hidangan bufet sederhana, sementara azan dan loceng gereja sesekali bersahut di kejauhan, simfoni Balkan yang unik.

Dalam diri gadis itu, saya melihat generasi baharu Bosnia yang tidak mahu lagi hidup dalam bayang dendam, tetapi juga tidak boleh melupakan sejarah. Identiti di sini bukan garis lurus; ia lingkaran yang bertemu dan berpisah.

Ketika meninggalkan Bosnia, saya membawa pulang lebih daripada gambar dan cenderamata. Saya membawa pulang kesedaran bahawa keamanan bukan hadiah percuma; ia ditebus dengan harga yang mahal. 

Saya belajar bahawa solidariti sesama manusia melampaui sempadan geografi. Dan saya mengerti bahawa sebuah kota seperti Sarajevo boleh hancur oleh meriam, tetapi jiwanya tetap hidup dalam tawa seorang gadis yang mengaku “separuh-separuh”—namun sepenuhnya manusia.


Wanita Bosnia

Bosnia mengajar saya bahawa sejarah bukan untuk dibenci, tetapi untuk diinsafi. Luka tidak semestinya diwarisi sebagai dendam; ia boleh diwarisi sebagai peringatan. 

Dan di celah-celah nisan putih yang tersusun rapi, saya melihat satu hakikat: darah boleh mengalir, kota boleh runtuh, tetapi harapan jika dipelihara akan tetap tumbuh seperti sungai jernih di Blagaj, mengalir tenang walau batu sejarah menghalangnya.

Apabila saya meninggalkan Sarajevo, saya tidak lagi melihatnya sekadar sebagai kota indah di Balkan. Saya melihatnya sebagai kota yang pernah mati berkali-kali, namun tetap hidup. Kota yang di atasnya pernah hujan peluru, tetapi di bawahnya ada lorong rahsia yang membawa manusia kepada harapan.

Dan di situlah saya belajar bahawa dalam sejarah yang paling gelap, selalu ada terowong -- yang walau sempit dan gelap, tetap menuju cahaya. - KitaReporters

11
24
0
14
0
You will be interested