Insan & Komuniti 05 Mar, 2026

Video| Kekal kukuh, tetap jadi tumpuan! Masjid Lama Taiping 130 tahun meriah pada bulan Ramadan!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

SUDAH ada yang baharu, yang lama tetap tidak dilupa. Begitu juga dengan Masjid Lama, juga dikenali dengan nama Masjid Melayu, di Jalan Kota, di pusat bandar Taiping, Perak. 

Walaupun sudah berusia lebih 130 tahun, dan banyak masjid baharu didirikan di Taiping, masjid lama ini masih jadi tumpuan. Kaum lelaki, wanita, golongan remaja berramai-ramai memeriahkan masjid, terutama pada bulan Ramadan ini.



Masjid Melayu kebanggaan umat Islam di Taiping ini dibina oleh keluarga tokoh terkenal dalam sejarah Perak, Ngah Ibrahim.


Sejak 10 tahun kebelakangan ini, kedatangan jemaah dikatakan berkurangan berikutan kewujudan banyak masjid lain di Taiping. Namun Masjid Melayu tidak sunyi, dan lebih meriah pada bulan Ramadan.

Pada malam pertama tarawih, dianggar 150 jemaah hadir menunaikan solat tarawih. Mereka teruja bersolat di masjid lama sebagai mengimbau kenangan lebih sedekad masjid ini berdiri memberi khidmat bakti kepada umat Islam di bandar Taiping.

Masjid lama selain dikenali sebagai Masjid Melayu Taiping, juga dikenali sebagai Masjid Tengku Menteri. Ia merupakan masjid tertua di bandar Taiping dan antara binaan batu terawal di Perak.


Papan tanda menceritakan asal usul Masjid Melayu di Taiping.


Pemandangan sisi Masjid Melayu yang menampilkan kombinasi seni bina tempatan dan juga kolonial.


Dibina pada 1897, tapak asal masjid tersebut ialah sebuah madrasah kayu yang digunakan oleh masyarakat India Muslim di Taiping.

Masjid dibina oleh keluarga Ngah Ibrahim, anak kepada Long Jaafar yang menemui bijih timah di Larut. 

Jika kita mengikuti sejarah Perak, dua beranak ini adalah antara tokoh penting yang mewarnai sejarah negeri Perak pada kurun ke-19.

Ngah Ibrahim memegang gelaran ‘Orang Kaya Menteri Paduka Tuan’ kurniaan Sultan Perak. Selepas kematian bapanya pada tahun 1857, Ngah Ibrahim mewarisi pentadbiran wilayah Larut.

Beliau bukan pembesar biasa, tetapi mempunyai kuasa autonomi yang luas di Larut. Ini termasuk hak mengutip cukai dan mengadakan pasukan polis sendiri.


Masjid Melayu di Jalan Kota, Taiping, masih kukuh berdiri dan kekal dipenuhi jemaah terutama ketika bulan Ramadan.


Masjid Melayu (hadapan) disimbahi cahaya lampu meraikan umat Islam menunaikan solat fardhu dan solat sunat tarawih pada Ramadan ini.


Ngah Ibrahim membina kubu pertahanan dan rumah besar di Matang, kini dikenali sebagai Kompleks Sejarah Ngah Ibrahim atau Kota Ngah Ibrahim. Tempat ini sekarang ialah muzium yang mencatatkan sejarah kejayaan dan perjuangannya.

Di bawah pentadbirannya, Larut muncul pengeluar bijih timah terbesar di dunia waktu itu. Ngah Ibrahim muncul salah seorang terkaya pada era itu. Beliau menggunakan buruh dari China secara besar-besaran untuk mengusahakan lombong bijih.

Namun zaman kegemilangan beliau tercemar oleh Perang Larut melibatkan dua kumpulan kongsi gelap Cina iaitu Ghee Hin dan Hai San yang berebut kawasan lombong. Konflik inilah yang menjurus kepada campur tangan British di Perak melalui Perjanjian Pangkor 1874.

Ngah Ibrahim dituduh terlibat dalam pakatan sulit untuk membunuh Residen British di Perak, J.W.W. Birch pada 2 November 1875 di Pasir Salak. 

Beberapa orang kenamaan seperti Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor, Pandak Indut, Si Putum, Sebutu dan Ngah Jabor, yang didakwa terlibat, dijatuhi hukuman mati. Manakala Ngah Ibrahim dibuang negeri ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah pada 1877. 

Beliau kemudian dihantar ke Singapura dan meninggal di sana pada 1895. Pada tahun 2006, jasadnya digali semula untuk dibawa pulang ke tanah air dan disemadikan di Kota Ngah Ibrahim pada 2006.


Kota Ngah Ibrahim di Matang, Perak kini ialah muzium sejarah. Di sini juga disemadikan jasad Ngah Ibrahim selepas dibawa kembali dari Singapura.


Pembinaan Masjid Melayu adalah antara jasa besar keluarga Ngah Ibrahim terhadap syiar Islam. Masjid ini digazetkan sebagai bangunan warisan di Taiping.

Seni bina Masjid Melayu unik kerana ia menggabungkan elemen tempatan dan pengaruh kolonial. 

Masjid ini dibina dengan struktur hexagon atau enam segi. Ia jarang ditemui pada zamannya dan kerana itu ia kelihatan menonjol.

Seni binanya dipengaruhi kuat oleh unsur kolonial Belanda-Inggeris. Dinding batu menunjukkan pengaruh teknologi Barat. Tingkap dan pintu mempunyai eleman bumbung dan bukaan yang disesuaikan dengan iklim tropika tetapi mengekalkan estetika bangunan Eropah kurun ke-19.

Bumbung tidak mempunyai kubah besar seperti masjid sekarang. Sebaliknya ia menggunakan sistem bumbung berlapis yang mengekalkan ciri-ciri bumbung masjid nusantara, disesuaikan dengan bentuk enam segi.

Walau pun sturuktur utamanya batu, bahagian dalam dan siling masjid masih nengekalkan kerja kayu yang halus. Ini adalah sebagai ingatan bahawa itu asalnya adalah madrasah kayu.


Tanah perkuburan dalam kawasan Masjid Melayu Taiping, tempat bersemadi ramai tokoh dan pemimpin Melayu Perak.


Di kawasan masjid terdapat kawasan makam yang berusia lebih 100 tahun. Kesemuanya terpelihara dan dijaga dengan baik. Ramai tokoh hebat di negeri Perak disemadikan di makam ini.

Antaranya ialah makam isteri Ngah Ibrahim bernama Toh Puan Halimah Laksamana Mohd Ami; makam Tengku Menteri (anak lelaki Ngah Ibrahim) bernama Wan Mohd Isa Ngah Ibrahim serta kerabat dan keturunan Long Jaafar. Juga disemadikan di makam ini ialah Burhanuddin al-Helmi, Yang Dipertua Agung Pas ke-3.

Jika ingin merasai suasana bertarawih di Masjid Melayu, datanglah ke bandar warisan Taiping pada Ramadan ini. Atau jika sekadar hendak melawat dan bersolat di dalamnya, datanglah bila-bila masa. - KitaReporters


Para jemaah menunaikan solat tarawih di Masjid Melayu, Taiping.

7
7
0
8
0
You will be interested