Deruman enjin berkuasa tinggi dan kehadiran bersama barisan selebriti menggamatkan program ‘Masih Ada Yang Sayang’, Santai Selebriti Media & Bikers bersempena Majlis Iftar Ramadan anjuran Anita Entertainment & Production (AEP) di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor menceriakan warga emas menunggu waktu berbuka.

Anita Yusop (kanan) bersama rakan artis menyantuni seorang warga wanita yang keuzuran.
Program itu membabitkan tujuh kumpulan bermotosikal iaitu Anita Bikers Club, Iron Heart MC, Wak Muji Bikers, Predator Labuan, Queen Rempit Crew, Kental Crew dan Rempit Legacy, manakala dalam kalangan selebriti pula Azura Aziz, Mikail School Bands, Saiful atau Epul, Juril Duta, Group Ahmad Nesfu serta komposer Nan Dengkil berlangsung pada 28 Februari 2026.
Pengarah Urusan AEP, Anita Yusop, berkata dalam semangat Ramadan penuh keberkatan, AEP tetap tegar meneruskan komitmen Kempen Kembara Kemanusiaan yang sudah bermula sejak 2012 hingga sekarang untuk menyantuni mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Pengurus PJMM, Mat Khairul Bashah Mat Hadzir (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada rakan artis.
Menurutnya, program di PJMM itu sebagai tanda keprihatinan kami semua apabila hadir seramai 150 orang untuk menyuntik suasana gembira kepada warga emas menelusuri Ramadan dan berbuka ibarat dalam satu keluarga yang dirindui mereka selepas terpinggir di pusat jagaan berkenaan.
Tambahnya, kehadiran
itu turut meruntun hati mereka yang ikut serta apabila salah seorang warga emas
iaitu Pakcik Ariffin dengan penuh emosi menyampaikan lagu ‘Bimbang Serumpun
Kasih Terbuang’ secara live di samping berasa sayu menyantuni penghuni yang uzur
dan terlantar sakit di atas katil.
“Program ini diharap menjadi contoh untuk mengajak semua pihak termasuk pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghargai dan menyayangi warga emas ketika mereka masih hidup terutama ibu bapa yang amat mengingati anak atau saudara mara.
“Paling penting menjelang Syawal nanti adalah amat wajar khususnya sebagai anak menjemput mereka supaya dapat menyambut Aidilfitri bersama-sama atau pun kunjungilah PJMM bertemu ibu bapa untuk bermaaf-maafan serta melupai kisah silam,” ujarnya.

Anita terharu mendengar kemerduan suara seorang warga emas, Pakcik Ariffin menyampaikan lagu secara live.
Pada program itu, sebelum berbuka puasa warga emas terbabit dihidangkan dengan Qasidah ‘Banat Rusna’ yang disampaikan oleh Group Cikgu Fatimah dan Cheb Ali Masnawi, manakala penyampaian sumbangan daripada artis, kumpulan Bikers dan AEP dilakukan selepas solat magrib.
Program berkenaan berakhir selepas solat Isyak dengan persembahan artis Mikail School Bands, Epul, Juril Duta serta Group Ahmad Nesfu yang menghiburkan warga emas bagi menghilangkan rasa kesedihan dan kesunyian.
Restoran Siti Zubaidah, Cheras, F&N, EL Pasta dan Lan Lemang antara penaja iftar yang ingin bersama-sama meraikan warga emas dengan juadah enak.
Rakan sukarelawan turut hadir memeriahkan Majlis Iftar AEP di PJMM.
Pengerusi PJMM, Azman Rasman berkata, dia bersama-sama kakitangan pusat jagaan berkenaan berasa amat terharu dengan kunjungan beberapa NGO untuk bekerjasama menganjurkan majlis iftar Ramadan khusus bagi melahirkan rasa gembira dalam kalangan warga emas.
Terangnya,
pada kebiasaan jika tiada majlis iftar mereka akan berbuka bersama-sama rakan
senasib dengan santuni petugas dan pada ketika terpancar wajah yang seakan-akan
sugul, sebaliknya berbeza jika ada NGO serta pelbagai agensi menganjurkan majlis
berbuka berpuasa di pusat jagaan itu.
“Mereka kelihatan ceria dan berasa seronok dijamu dengan pelbagai juadah di samping menceritakan pengalaman berpuasa serta melakukan solat sunat Tarawih dalam usia lanjut dengan saling bantu membantu antara satu sama lain terutama yang berkerusi roda atau bertongkat,” kata beliau.
Anita (duduk kiri), artis dan kumpulan bikers merakamkan kenangan bersama-sama sebahagian warga emas.