Insan & Komuniti 08 Mar, 2026

Wanita yang tak didendang! Care giver jarang dihargai! Wira dalam rumah yang selalu terlepas pandang!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

Setiap tahun pada 8 Mac, Hari Wanita Antarabangsa disambut seluruh dunia. Kita sering bercakap tentang kejayaan wanita. Antaranya wanita dalam politik, wanita dalam korporat, usahawan wanita yang berjaya juga wanita yang meraih kecemerlangan dalam bidang akademik dan wanita dalam dunia profesional.



Tetapi ada satu kelompok wanita yang jarang disebut. Mereka bukan CEO, bukan selebriti, mereka ini tak glamour dan kisah mereka jarang masuk berita. Namun pengorbanan mereka sangat besar dan luas. 

Mereka ialah wanita caregiver atau penjaga pesakit. Di sebalik pintu rumah, ramai wanita sebenarnya memikul tanggungjawab yang berat menjaga orang tersayang yang sakit, anak yang mengalami sakit kanser, lumpuh, buta. Anak yang sakit mental seperti skizofrenia, anak istimewa, suami yang terlantar sakit, atau ibu bapa yang uzur dan nyanyuk.

Sebenarnya ramai antara mereka bukan calang-calang orang. Ada yang berkelulusan universiti, ada yang pernah bekerja dalam bidang profesional. 

Namun apabila musibah datang dalam keluarga, mereka membuat satu keputusan besar, berkorban meninggalkan segala nya dan mengutamakan keluarga daripada kerjaya. Mereka reda atas ketentuan takdir yang Allah tulis dalam kehidupan mereka.

Meninggalkan sesuatu pencapaian dalam hidup dan kerjaya yang baik, bukan keputusan yang mudah. Mereka tiada pilihan kerana atas tanggungjawab dan amanah yang Allah berikan. 



Menjadi caregiver bukan sekadar menjaga makan minum. Ia melibatkan emosi, kesabaran dan ketahanan mental yang luar biasa. 

Ada hari pesakit bersemangat, ada hari mereka murung dan tidak mahu berjumpa sesiapa. Ada hari juga pesakit mengamuk dengan pelbagai karenah. 

Disebabkan itu,  caregiver sendiri keletihan, tetapi tetap perlu kuat kerana tiada siapa lagi yang boleh menggantikan peranan itu. Bagi ibu yang menjaga anak sakit mental misalnya, cabarannya lebih kompleks. Penyakit seperti skizofrenia menjadikan emosi pesakit tidak menentu. 

Mereka mungkin kelihatan normal pada satu masa, tetapi berubah secara tiba-tiba pada masa lain. Dalam keadaan itu, caregiver,  selalunya ibu, menjadi tempat bergantung sepenuhnya.

Ironinya, pengorbanan ini sering tidak nampak atau terlepas pandang pada mata masyarakat. Kerja menjaga orang sakit dianggap sebagai tanggungjawab biasa seorang wanita. 

Seringkali juga wanita dikatakan paling sesuai menjaga pesakit kerana sifat fitrah mereka.  Sedangkan hakikatnya, ia adalah satu bentuk kerja penjagaan sepenuh masa yang menuntut tenaga fizikal, emosi dan kewangan.

Di banyak negara maju, caregiver keluarga diiktiraf dan dibantu melalui sokongan sosial, elaun atau sistem sokongan komuniti. 

Namun di Malaysia, ramai caregiver masih berjuang secara senyap dan penuh derita. Mereka juga tiada tempat untuk mengadu, Mereka tidak minta penghargaan dan pengikhtirafan mereka hanya perlukan satu perkara, difahami.



Sempena Hari Wanita ini, mungkin sudah tiba masanya kita melihat wanita dari sudut yang lebih luas. Bukan hanya wanita yang berjaya di pentas besar diraikan dan diberi pengikhtirafan, tetapi juga wanita yang setiap hari berjuang di rumah menjaga orang tersayang dan berkorban segalanya untuk memastikan pesakit dijaga selesa dan penuh kasih sayang perlu di beri penghargaan dan pengiktirafan. 

Tuntasnya, tanpa wanita caregiver ini, ramai pesakit terutama ahli keluarga tidak akan mendapat penjagaan yang terbaik dan penuh kasih sayang. 

Wanita-wanita inilah sebenarnya wira yang paling kuat yang menyelamatkan kehidupan ramai yang sakit setiap hari tanpa meminta apa juga balasan. 

Mereka lakukan penuh keikhlasan dan sentiasa tabah walau jiwa mereka sendiri bertarung dengan perasaan sedih dan penat.

Selamat Hari Wanita Antarabangsa buat semua wanita di mana juga anda berada. - KitaReporters


16
9
0
6
0
You will be interested