Hari ini 8 Mac setiap tahun adalah Hari Wanita Antarabangsa. Malaysia tidak ketinggalan menyambutnya sebagai menghargai peranan wanita Malaysia dalam membantu kejayaan dan pembangunan negara.

Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 tahun ini bertemakan "Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara". Acara kemuncaknya akan diadakan pada 10 Mac 2026 di MITEC, Kuala Lumpur yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim,
Sambutan Hari Ungu (Purple Day) ini bertujuan meraikan sumbangan wanita dalam pembangunan negara dan kepimpinan sejak lama dahulu.
Sejak merdeka peranan wanita semakin dihargai dan mendapat pujian kerana kemampuan mereka bersaing dengan lelaki dalam pelbagai bidang yang selama ini dimonopoli oleh kaum Adam.
Tidak ada istilah tidak boleh bagi wanita. Bagi apa sahaja mereka berjaya membuktikan kehebatan mereka tanpa gagal.
Tidak perlu menunggu menjadi hebat untuk meraih apa yang kita inginkan. Redah dan usaha sampai berjaya mendapat apa yang inginkan menjadi moto wanita menempa kegemilangan.
Dan jika kita tidak boleh melakukan hal-hal yang hebat, maka lakukanlah hal kecil dengan cara yang hebat.

Pelbagai aktiviti sepanjang Mac telah disusun termasuk "Purple Power Day" atau Hari Semarak Ungu (Hari Kuasa Ungu).
Dalam hubungan ini, pemerkasaan wanita bukan isu wanita semata-mata, sebaliknya merupakan isu pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial dan daya tahan keluarga.
Apabila wanita diperkasa, mereka dapat membuat pilihan yang bermanfaat menerusi tadbir urus, kepimpinan dan pelaburan sosial di kalangan masyarakat dan negara khasnya.
Bagi memastikan tema ini diterjemahkan secara berstruktur dan berimpak, sambutan akan digerakkan menerusi beberapa komponen utama seperti Semarak Ungu yang membawa maksud keadilan, maruah dan kesaksamaan.
Platform pemerkasaan turut dilaksanakan melalui kempen guna sama, keusahawanan, kemahiran praktikal serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Selain pemerkasaan wanita dalam ekonomi, politik, dan sosial, pelbagai usaha juga ditingkatkan oleh kerajaan untuk merapatkan jurang jantina.
Kemampuan wanita Malaysia tidak boleh dipertikai lagi. Malah kini sudah melepasi batas sempadan fitrah mereka seiring dengan kaum lelaki.

Pelbagai program menarik telah disusun atur pada peringkat kebangsaan dan negeri sebagai tanda penghargaan kepada wanita yang menjadi inspirasi dalam pembangunan negara.
Antaranya membina keyakinan diri melalui proses kemahiran dan keupayaan individu untuk mengawal kehidupan serta membuat keputusan, terutamanya dalam kerjaya, pendidikan, dan kerohanian.
Ia melibatkan galakan meningkatkan jati diri, kemahiran keusahawanan, amalan spiritual, dan keupayaan untuk mengambil tindakan yang di luar kotak bagi mencapai matlamat peribadi atau kerjaya.
Dalam usaha meningkatkan kemahiran baharu seperti keusahawanan bagi ibu tunggal untuk berdikari dari segi kewangan
pelbagai program bakal dirancang untuk kepentingan wanita.
Mereka perlu dibantu dan diberi bimbingan dengan lebih sistematik supaya mereka tidak tercicir dari arus pembangunan negara.
Sementara itu, kesejahteraan mental dan kerjaya juga perlu diberi perhatian supaya wanita lebih bersedia dan yakin untuk memikul tanggungjawab ke atas kerjaya, berkomunikasi dengan yakin, dan membuat pelaburan bijak untuk kemajuan peribadi.
Mengukuhkan prinsip hidup menerusi pendekatan kerohanian atau nilai murni juga termasuk dalam program pemerkasaan wanita.
Peranan wanita dalam komuniti juga dilihat sebagai satu platform terbaik untuk membina keyakinan diri melalui penglibatan dalam kumpulan atau komuniti untuk kesejahteraan bersama.
Oleh itu wanita tidak kira latar belakang perlu menjalani pemerkasaan diri secara berterusan bagi membolehkan mereka mencapai potensi penuh yang ada dalam diri mereka.

Kepada siapa pun yang pernah mengatakan bahwa wanita Malaysia tidak hebat... Mereka sebenarnya cemburu dan terkesan dengan pencapaian wanita.
Mungkin Perdana Menteri ada berita baik untuk dihadiahkan kepada wanita Malaysia pada 10 Mac nanti. Sama-sama kita tunggu.
Selamat Hari Wanita Antabangsa untuk wanita Malaysia. Semarakan kuasa ungu! - KitaReporters

Tags: