
Seorang pekerja kilang mengambil keputusan berhenti kerja demi untuk menjaga seorang adik yang terlantar akibat kemalangan jalan raya. Pengorbanan seorang kakak itu amat mulia bagi memastikan adiknya diurus dengan sebaiknya.
Noorfarleny
Mohd Nor, 43, berkata, dia berhenti kerja di sebuah kilang di Ipoh kerana
adik perempuannya Norhidayah Mohd Nor, 35, lumpuh selepas terbabit kemalangan
jalan raya di Bukit Gantang, dekat Changkat Jering pada 2012.
“Saya berhenti
kerja dan menjaga makan minum adik saya yang terlantar di atas katil kerana
kedua-dua ibu bapa kami juga meninggal dalam kemalangan tersebut,” katanya ketika
ditemui di Taman Kamunting Mutiara di Kamunting dekat Taiping pada 18 Mac 2025.
Noorfarleny berkata, adiknya mengalami kecederaan akibat tempurung kepalanya cedera setelah tersepit dalam kemalangan membabitkan kereta dan lori.

Menyingkap
kembali kemalangan itu pada 1 Mei 2012, adiknya yang memandu kereta Proton Saga
dinaiki bersama bapa Mohd Nor Md Isa dan ibunya Maswiyah Maswan sedang dalam
perjalanan pulang dari Ipoh ke Kamunting apabila kereta itu terbabit kemalangan.
Akibat kemalangan
tersebut, adiknya mendapat cedera parah di kepala dan badan mengakibatnya lumpuh, manakala bapa dan ibunya yang juga cedera parah dan meninggal dunia pada 4 Jun dan 7 Jun 2012.
Noorfarleny yang
merupakan kakak sulung daripada tiga beradik berkata, tanggungjawab menjaga
adiknya kini menjadi tanggungjawabnya sepenuh masa bagi memastikan makan dan
minum serta kesihatan adiknya terjaga.
“Saya bersyukur kerana suami saya Mohd Sukri Awang Kecik, 43, yang bekerja di sebuah syarikat swasta turut membantu dari segi kewangan,” katanya.
Beliau
berkata, adiknya memerlukan penjagaan pemakanan seperti susu dan makanan seperti Nestum serta
lampin pakai buang dan perubatan.
“Kos untuk
keperluan adik saya boleh mencecah antara RM500 hingga RM1,000 sebulan,”
katanya.
Sehubungan itu, sesiapa yang mahu memberi sumbangan bagi meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi Noorfarleny menerusi talian 01110735927 atau membuat pengiriman wang menerusi akuan bernombor 11501028689 dengan Hong Leong Bank. - KitaReporters