
TUN Dr Mahathir Mohamad menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 tahun. - Kredit foto chedetofficial.
KHAMIS, 10 Julai, 2025, hari ulang tahun kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang ke-100 tahun. Kalau ayah penulis masih hidup, beliau hampir sebaya Tun M.
Ayah meninggal dunia pada 2010 ketika berusia 83 tahun. Maknanya kalau masih hidup, beliau kini berusia 98 tahun, beza dua tahun dengan Tun M.
Mengapa penulis kaitkan hari ulang tahun kelahiran Tun M dengan ayah penulis? Apa hubungannya?
Tun M sentiasa mengingatkan penulis kepada ayah, Allahyarham Nayan Ahmad, bukan kerana wajah mereka seiras atau kerana ketokohan mereka tapi negarawan itu sentiasa dekat di hati ayah.

NAYAN AHMAD (kiri).
Ayah penulis adalah pengkagum Tun M malah kadang-kadang penulis lihat menghampiri tahap taksub. Apabila beliau becakap mengenai bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu, semuanya lunak-lunak saja.
Tun M di mata lelaki bernama Nayan Ahmad tidak ada cacat celanya, putih bersih macam kain putih.
Pantang betul dia kalau dengar orang mencaci cela Tun M, sanggup beliau bertegang urat mempertahan tokoh yang dikaguminya itu.
Penulis pernah menguji tahap kasih sayangnya ayah terhadap Tun M. Ketika krisis politik 1998 yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan dari UMNO, penulis cuba berlawan arus dengan dirinya, merah padam muka ayah mempertahan Tun M.

MAHATHIR bersama Anwar Ibrahim semasa bersama dalam kerajaan. - Gambar media sosial.
Malah nada suaranya juga berubah, mengherdik penulis dengan tuduhan bahawa penulis sudah dibeli untuk menentang Tun M.
"Berapa depa bayaq kat hang?" sergah ayah sambil matanya menjengil penulis. Ketika itu penulis lihat betapa marahnya ayah terhadap penulis.
Penulis hanya tersenyum, tidak menjawab tuduhan ayah itu, tidak mahu mencurah minyak pada api yang sedang menyala, takut terbakar.
Sejujurnya sepanjang bergelar wartawan, penulis tidak pernah terbabit sebagai wartawan politik sebaliknya dari awal hingga sekarang, forte penulis adalah sukan.
Penulis sendiri tidak minat dengan bidang politik malah tidak jadi ahli mana-mana parti politik walaupun sejak kanak-kanak terdedah dengan politik UMNO menerusi pembabitan ayah penulis.

PENULIS berkesempatan bertemu dan mengenali Dr Mahathir lebih dekat pada tahun 2023.
Tujuan penulis 'mengacah’ ayah mengenai Tun M sekadar untuk mengusik beliau kerana penulis tahu beliau memang pantang dicuit mengenai tokoh itu, sekelip mata darahnya mencanak naik. Air yang tenang boleh bertukar menjadi laut yang begelora.
Sebenarnya ayah tidaklah terlalu rapat dengan Tun M tapi ayah sebagai ketua cawangan UMNO pada era 1960-an dan 1970-an, mereka saling mengenali dan acap kali bertemu dalam mesyuarat atau acara membabitkan parti itu.
Ayah rapat dengan beberapa tokoh UMNO seperti Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Senu Abdul Rahman, Datuk Harun Idris dan tokoh-tokoh politik sezamannya.

Menurut ayah, Tun M pernah datang ke kampung kami, Kampung Relau, Bandar Baharu, Kedah untuk menikmati durian pada tahun 1960-an.
Hal ini pernah penulis imbas kembali ketika beroleh peluang bertemu dan berbual dengan Tun M pada tahun 2023 lalu tapi beliau hanya tersenyum. Mungkin beliau sudah lupa.
Sejak zaman muda, ketika Tun M belum bergelar menteri, ayah sudah mengagumi beliau yang dianggapnya seorang ahli politik berani dalam memperjuang nasib orang Melayu.
Ayah pernah berkata, Malaysia memerlukan seorang anak muda yang berani, tegas dan jujur seperti Mahathir. Jiwa muda ayah ketika itu mungkin serasi dengan pembawaan politik Mahathir.

MAHADIR Nayan (dua dari kanan) berinspirasikan nama Mahathir Mohamad.
Kekaguman ayah terhadap Mahathir amat nyata apabila adik bongsu penulis yang lahir pada 1968 dinamakan Mahadir. Mungkin ayah mengharapkan anaknya mewarisi semangat perjuangan Mahathir.
Apabila Mahathir akhirnya dilantik sebagai Perdana Menteri ke-4 pada 1981, ayah adalah orang paling gembira. Bagi beliau, inilah orang yang selayaknya menjadi pemimpin nombor satu negara.
Walaupun ketika itu sudah tidak aktif dalam politik tapi ayah mengikuti setiap perkembangan Mahathir dan menyokong apa saja dilakukan oleh pemimpin itu malah tampil mempertahannya bila ada yang mengkritik dasar-dasar baharu diperkenalkan oleh Tun M.
Contohnya, ketika orang memperlekeh kereta Proton sebagai 'kereta tin Milo' ayah tampil mempertahan dengan berkata: "Sekurang-kurang Malaysia dah ada kereta sendiri."

KERETA Proton Saga adalah hasil idea Mahathir.
Bagi penulis yang menginjak dewasa pada zaman
pentadbiran Mahathir, walaupun tidak minat politik dan bukan pentaksub beliau
seperti ayah tapi sedikit sebanyak terbit rasa kagum terhadap daya kepemimpinan
beliau dalam memacu Malaysia sebagai negara maju.
Sebagai rakyat biasa, penulis kagum dengan pembangunan pesat negara pada era pentadbiran Mahathir. Tak perlu disebut satu persatu kerana semuanya ada di depan mata sebagai bukti.
Tidak dinafikan, dalam tempoh itu ada juga kesilapan dilakukan oleh Mahathir yang sedikit sebanyak mencalar reputasinya sebagai seorang negarawan.
Kalaulah ayah masih hidup, penulis yakin, beliau akan tetap menyokong Tun M yang belum nampak tanda-tanda akan bersara daripada politik walaupun sudah berusia satu abad.
Selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 Tun M! - KitaReporters

FOTO kenangan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.