Insan & Komuniti 24 Jun, 2025

KL perlu rumah mampu milik, ruang peniaga kecil! KL tak boleh jadi gersang seni, nilai, ruh! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL 2040) akan mengambil kira keperluan rakyat marhaen termasuk perumahan mampu milik dan ruang yang kondusif untuk peniaga-peniaga kecil.

Selain itu, pelan tersebut akan turut menimbangkan juga kemudahan asas, kawasan hijau dan kemudahan seperti padang dan taman agar Kuala Lumpur tidak menjadi ‘culturally barren’ atau gersang seni, budaya, ruh dan nilai.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau tidak mahu PTKL 2040 hanya memihak atau memenuhi keperluan golongan yang telah selesa sahaja.

"Kita mahu “a development with soul, values and humanity”, iaitu pembangunan yang terangkum, yang juga memberi ruang kepada warga yang berpendapatan rendah dan menengah untuk hidup selesa dan bermaruah di kota yang kita kongsikan bersama ini," jelasnya.



Terdahulu Anwar menyaksikan detik yang sangat bersejarah tatkala meluncurkan PTKL 2040, yakni satu pelan paling menyeluruh dalam sejarah perancangan bandar di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

Katanya, pelan berkenaan tertangguh lama sebelumnya akibat wabak COVID-19.

Namun apabila Kerajaan Malaysia Madani mengambil alih, kerajaan mula mengusulkan agar semakan dan rombakan besar-besaran agar pembangunan kota ini benar-benar berteraskan pembangunan yang manusiawi. 

"Kita mahu pelan ini bersifat inklusif, mengambil kira ‘emerging ideas’ seperti digital dan AI, selain keperluan rakyat marhaen termasuk perumahan mampu milik dan ruang yang kondusif untuk peniaga-peniaga kecil," tegasnya.

"Saya dahulunya pernah tinggal di Segambut Dalam. Masih segar di fikiran saya bagaimana pembangunan di kawasan itu berjalan tanpa perancangan asas yang baik - tiada taman, padang atau kemudahan yang cukup untuk rakyat. 

"Saya bingung bagaimana kelulusan dijalankan sebegitu rupa tanpa memikirkan keselesaan dan keperluan asas penduduk. Itu maksud saya tatkala membicarakan tentang ‘governance’ atau tatakelola yang baik," tambahnya.



Perdana Menteri menjelaskan kerajaan Madani tidak mengusulkan pembangunan kota yang baharu ‘from scratch’ seperti Putrajaya kerana Kuala Lumpur masih terikat dengan struktur lama.

Tetapi, katanya, pihak berkuasa mesti bijak menyesuaikannya dengan keperluan masa kini, termasuk kemudahan asas, kawasan hijau dan kemudahan seperti padang dan taman-taman.  

"Ia tidak soal estetika semata tetapi soal keadilan dan kesejahteraan semua," katanya lagi.

Beliau memberitahu, PTKL 2040 ini tentunya tidak sempurna tetapi ia merupakan langkah penting ke arah pembangunan yang tidak mengabaikan golongan pekerja dan miskin kota. 

"Jangan kita hanya fikir soal gedung-gedung gah dan raksasa sahaja tetapi akhirnya -- seperti yang diungkapkan Mark Twain -- ‘culturally barren’, gersang seni, budaya, ruh dan nilai. 

"Saya gesa semua pihak; elit, pemaju, warga dan pengusaha untuk bersama bina kota yang adil dan inklusif. Kuala Lumpur bukan milik mana-mana kelompok tetapi adalah rumah untuk semua," tegas Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media


10
14
0
15
0
You will be interested