Insan & Komuniti 07 May, 2025

Krisis kemanusiaan di Syria, Gaza terburuk! Kebuluran jadi senjata perang! Menakutkan! - MAHAR

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

Seorang lelaki memegang beg plastik berisi roti selepas menerimanya daripada sebuah NGO kemanusiaan Turkiye di kem pelarian Palestin al-Yarmouk, Damsyik, Syria. - Kredit foto: REUTERS


KEGANASAN berterusan, campur tangan asing dan halangan sengaja terhadap bantuan kemanusiaan satu fenomena membimbangkan dan menyebabkan penderitaan yang tidak tergambar dengan kata-kata kepada penduduk awam. Ini sekali gus mencetuskan krisis yang semakin meruncing di Syria dan Gaza.

Penasihat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Nurul Izzah Anwar, berkata di Syria, usaha sistematik untuk memecahbelahkan negara itu mengikut garis etnik dan mazhab menjejaskan segala harapan untuk keamanan, perpaduan dan kedaulatan.

Beliau berkata, meskipun berdepan penderitaan, pelarian, dan peperangan lebih sedekad, rakyat Syria tetap teguh berpegang pada harapan untuk masa depan yang stabil dan ditentukan oleh mereka sendiri. Ia satu harapan yang suci dan mesti dipertahan. 

"Keadaan lebih membimbangkan ialah bencana kemanusiaan yang semakin memuncak di Gaza. Selama lebih dua bulan, Pasukan Pendudukan Israel (IOF) mengenakan sekatan total, menyekat kemasukan makanan, ubat-ubatan, dan keperluan asas kepada penduduk.

"Tindakan menjadikan makanan dan bantuan sebagai senjata perang ini mewujudkan keadaan yang amat terdesak, mendorong kanak-kanak ke ambang kebuluran dan kekurangan zat yang serius.

"Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menyatakan bahawa ribuan kanak-kanak kini berada dalam risiko kematian akibat kebuluran akut dan ketiadaan akses kepada rawatan asas," katanya.


Nurul Izzah Anwar


Beliau juga bimbang mengenai serangan terbaru terhadap kapal bantuan kemanusiaan Conscience, yang dikendalikan Freedom Flotilla Coalition, mencerminkan peningkatan yang membimbangkan dalam serangan terhadap misi kemanusiaan.

"Kapal berkenaan diserang dron bersenjata di perairan antarabangsa ketika dalam perjalanan membawa bantuan penting ke Gaza. Situasi menjadi lebih parah apabila pihak berkuasa Malta menolak bagi memberikan laluan selamat dan bantuan perubatan kecemasan.

"Sebaliknya, kapal tentera laut negara itu dikerahkan menghalang bantuan lanjut, satu pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa," katanya.

Nurul Izzah berkata, dunia perlu bertegas menolak sebarang usaha untuk membisukan suara kemanusiaan atau menjadikan belas kasihan sebagai satu jenayah.

"Sama ada di Syria atau Gaza, masa depan mesti ditentukan oleh rakyat sendiri bukannya melalui keganasan, sekatan, atau kebuluran.

"Serangan terhadap flotila yang dalam perjalanan menghantar bantuan bukan sahaja mencabuli maruah manusia tapi ia adalah serangan terhadap nilai kemanusiaan," katanya.


Jismi Johari


Sementara itu, Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata, pertubuhan itu meminta semua negara yang cintakan keamanan untuk menuntut pertanggungjawaban terhadap pelanggaran ini dan memastikan perlindungan kepada semua petugas kemanusiaan.

"Solidariti kami bersama rakyat Syria dan Gaza tidak akan goyah. Dan, kami berdiri teguh bersama mereka dalam perjuangan untuk keamanan, keadilan, dan maruah.

"Kami menyeru penghentian serta-merta terhadap pendudukan asing dan pencerobohan ketenteraan di Syria, penamatan sekatan haram ke atas Gaza dan akses penuh tanpa halangan bagi bantuan kemanusiaan.

"Kami juga mahu perlindungan terhadap misi kemanusiaan, termasuk bantuan segera kepada kapal Conscience dan semua flotila bantuan," katanya.


Kanak-kanak lelaki Palestin yang membawa bekas plastik berlari untuk mendapatkan lori agihan air di kem pelarian barat bandar Jabalia, utara Semenanjung Gaza. – Kredit foto: AFP


Beliau berkata, pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan ke atas misi bantuan itu perlu diheret ke mahkamah antarabangsa kerana melanggar undang-undang kemanusiaan.

"MAHAR mahu penghormatan terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Syria dan Palestin, serta hak rakyat awam untuk hidup dalam keamanan selain tekanan antarabangsa ditingkatkan untuk menghentikan penggunaan kebuluran sebagai senjata perang.

"Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah menjelaskan bahawa mana-mana negara tidak boleh menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan. Dan, masyarakat antarabangsa mesti bertindak sekarang untuk memastikan bantuan sampai kepada yang memerlukan.

"Kini adalah masa untuk perpaduan, keberanian, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap keadilan. Diam bererti bersubahat. Tindakan adalah satu kemestian. Ayuh, kita berdiri bersama demi Syria, demi Gaza dan demi prinsip agung bahawa belas kasihan bukanlah satu jenayah," katanya. - KitaReporters


17
15
0
11
0
You will be interested