
Bukan mudah untuk mendapatkan dana bagi membina pusat rehabilitasi (rehab) pesakit mental jenis skizofrenia.
Ada suara sumbang yang mengatakan: "Kalau derma untuk anak yatim, rumah orang tua dan fakir miskin, bolehlah saya bagi. Tapi untuk pesakit mental, sukarlah. Sebab mereka ni dah tak de masa depan, kalau kita bela mereka pun sia-sia sahaja dan menyusahkan lagi."
Begitulah pandangan negatif masyarakat terhadap pesakit mental. Pesakit mental tetap dipandang hina walau ada antara mereka yang sudah sembuh dan kembali berkhidmat pada masyarakat. Stigma menjadi pesakit mental sangat menyedihkan.
Jelas di sini masyarakat masih tidak ada kesedaran mengenai penyakit mental dan mereka juga tidak tahu bahawa pesakit mental boleh sembuh dan kembali pada masyarakat bila mereka diberi perhatian, latihan dan kemahiran hidup yang boleh membuat mereka rasa gembira dan diterima dalam masyarakat.
Bukan itu sahaja, banyak juga pihak yang tidak benar-benar memahami keperluan pesakit mental yang juga punya hak untuk tinggal di muka bumi Allah ini.

Kesukaran mendapatkan dana untuk membina sebuah pusat latihan dan rehab bagi pesakit mental jenis skizofrenia dirasai sebuah NGO, Pertubuhan Ketenangan Minda Malaysia (MaRMA), kerana sejak dua tahun memperjuang nasib pesakit skizo dan penjaga mereka, masih banyak agensi dan Jabatan kerajaan yang tidak memahami keperluan menubuhkan pusat rehab untuk pesakit skizofrenia ini.
Keperluan untuk membela pesakit mental juga tidak serius dijalankan, oleh pihak pihak tertentu. Kita hanya mendengar bajet untuk kesihatan mental memang banyak tetapi semua itu hanya digunakan untuk kempen dan kursus tertentu.
Rumah dan pusat pesakit mental swasta memang banyak. Namun golongan B40 yang mempunyai ahli keluarga yang sakit mental tidak mampu menghantar ahli keluarga ke sana kerana yuran yang mahal antara RM1,000 hingga RM10,000.
MaRMA cuba untuk menubuhkan sebuah Pusat Rehab Pesakit Skizofrenia kerana golongan ini terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah menjaga pesakit dalam keadaan serba kekurangan.
Pusat Rehab cadangan MaRMA hanyalah sebuah Pusat latihan untuk memberi rehabilitasi (pemulihan) kepada pesakit yang masih boleh dikawal dan membina masa depan mereka dengan memberi kemahiran dan memulihkan emosi dan rohani mereka yang telah melalui pelbagai cabaran hidup sebagai pesakit skizo.
Pusat ini juga bercadang menjadi transit untuk penjaga yang mahu pergi menunaikan umrah atau aktiviti-aktiviti lain yang terpaksa mencari tempat meletakkan pesakit skizo ini untuk tempuh yang singkat.

Wakil MaRMA bergambar wakil Exco Negeri Selangor selepas perbincangan diadakan.
Menyedari perlunya ada sebuah pusat seumpama itu, satu pertemuan telah diadakan di Pejabat Jamaliah Jamaluddin, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor di SUK di Shah Alam dengan wakil YB baru baru ini, bagi membincangkan mengenai isu menubuhkan Pusat Rehab untuk Pesakit Skizofrenia selain memohon dana untuk "Virtual Fun Walk" yang akan dianjurkan oleh MaRMA pada bulan Jun 2025 ini.
MaRMA yang berpejabat di Shah Alam ingin memohon kerajaan negeri membantu mereka menubuhkan sebuah pusat seumpama itu di negeri Selangor. MaRMA memohon kerjasama Exco Kesihatan awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor kerana persatuan ini ditubuhkan di Negeri Selangor dan ramai pesakit skizo juga datang dari negeri Selangor.
Bagaimanapun wakil dari Pejabat Exco Kesihatan Awam dan Alam sekitar memberitahu buat masa ini, Selangor tiada perancangan menubuhkan rumah rehab seperti yang dinyatakan oleh MaRMA.
Mereka perlu perbincangan lanjut dengan JKM, Exco Agama (jika melibatkan tanah/bangunan wakaf atau khusus bagi pesakit Muslim). Wakil YB iaitu Muhammad Hakim dari UPEN Selangor akan menyampaikan hasrat MaRMA kepada YB bagi perbincangan lanjut mengenai perkara ini.
Selain itu juga mereka menyarankan MaRMA berhubung dengan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) yg ada banyak peruntukan bagi program-program kecil-kecilan seperti Awareness program, Fun Walk, kursus kesihatan mental dan lain-lain. Ini katanya bagi meningkatkan nama MaRMA dan menarik lebih ramai ahli.
Wakil wakil dari Pejabat Jamaliah, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar adalah Muhammad Hakim, dari Unit Perancangan Ekonomi Negeri UPEN Selangor; Alif, Setiausaha Kanan Exco; Najwan Arief, Pegawai Penyelaras; dan Wan Faizal, Setiausaha Akhbar Exco.
MaRMA pula diwakili Pengerusinya, penulis sendiri; Timbalan Pengerusi, Rosiah Jantan; Bendahari MaRMA ,Ismail Abd Rahman; dan AJK Multimedia Nashita Md Noor. - KitaReporters