Insan & Komuniti 29 May, 2025

Diari Mama Masscom| Video| Genggam warisan, sejarah akhbar Utusan Melayu! Perjuangan yang dilupakan!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this

.


Pada 29 Mei 1939, naskhah pertama Utusan Melayu dalam tulisan jawi diterbitkan di Singapura oleh Utusan Melayu Press Limited.  Syarikat Utusan Melayu ditubuhkan pada tahun sebelumnya, 1938. 

Syarikat itu adalah hasil usaha anak muda Melayu seperti Yusof Ishak yang ketika itu berusia 27 tahun, dengan sokongan tokoh-tokoh seperti Ambo Sooloh dan Daud Mohamed Shah.  

Mereka bertekad untuk mewujudkan sebuah akhbar yang dimiliki, ditulis, dan diuruskan sepenuhnya oleh orang Melayu, sebagai wadah menyuarakan kepentingan bangsa, agama, dan tanah air.  

Namun hari ini, nama itu makin tenggelam dalam kabus zaman. Saya percaya ramai generasi muda terutama yang lahir dalam tahun 2000 atau generasi milinial, mungkin tak kenal pun dengan akhbar ni. 

Bukan salah mereka. Utusan Melayu adalah sejarah lama, media konventional. Generasi milinial ini  hanya tahu nama-nama portal digital, online newspaper, headline sensasi,  dan clickbait. 

Dunia dah berubah, hidup menjadi sangat pantas, kehidupan berlegar di hujung jari. Apa pun kita kita tidak seharusnya lupa, bahawa Utusan Melayu pernah menjadi nadi dan pendidik bangsa. 


Kredit foto: FB Najib Razak


Bagi yang tidak kenal  akhbar itu, Utusan Melayu bukan sekadar akhbar. Ia lahir daripada darah perjuangan, daripada semangat orang Melayu yang mahu suara sendiri dalam dunia penjajahan. 

Waktu penjajahan, Utusan jadi suara menentang. Waktu merdeka, Utusan jadi penggerak minda. Wartawannya ketika itu, bukan setakat melapor berita, tetapi turut mendidik jiwa. 

Hebatnya akhbar itu, bermula dari tulisan Jawi yang mendidik, kepada laporan yang membuka mata rakyat. Utusan pernah menjadi suara rakyat, pencetus pemikiran, pendidik bangsa. Ia bukan sekadar mencatat sejarah, tapi membentuk sejarah.

Tapi sayang, selepas berpuluh-puluh tahun menjadi tunjang media Melayu, akhirnya akhbar ini rebah dalam tahun 2019, kerana kemelut politik, perubahan pemilikan, dan tekanan ekonomi. 

Bila diambil alih oleh syarikat baharu, roh dan wajah Utusan Melayu tidak lagi sama. Utusan Melayu hilang auranya. Hilang rohnya. Yang tinggal cuma nama pada kertas. 

Ironinya, 29 Mei kini berlalu tanpa siapa pun peduli. Tiada peringatan rasmi, tiada penghargaan, tiada kenangan dibangkitkan.

Namun perlu disebut juga, tarikh rasmi Hari Wartawan Nasional (Hawana) yang juga disambut pada 29 Mei, telah ditetap sebagai memperingati penerbitan sulung akhbar Utusan Melayu itu, yang disifatkan sebagai peneraju media perjuangan kemerdekaan untuk Tanah Melayu ketika itu.


Kredit foto: Wikipedia


Dalam kalangan wartawan veteran, khususnya mereka yang pernah berkhidmat di akhbar berkenaan, mungkin hanya tinggal keluhan dan air mata. Dalam kalangan golongan muda?  Mereka tak tau dan tak kisah serta tak ambil tahu pun sejarah Utusan, sebab mereka tak kenal. 

Bagi pensyarah dan pelajar kewartawanan, Utusan Melayau (dan kemudian akhbar tulisan rumi Utusan Malaysia) pernah menjadi sumber berita mereka untuk tugasan dan penyelidikan mereka. Utusan antara nama akhbar arus perdana yang pernah menjadi rujukan mereka.

Tapi biarlah kita yang masih ingat, masih tahu, masih kenal "Utusan Melayu" supaya terus bersuara. Kerana sejarah yang tidak dikenang, akan padam begitu saja. Dan kalau media Melayu pun kita lupa, apa lagi yang tinggal sebagai identiti bangsa?  

29 Mei akan kita kenang bukan hanya untuk sebuah nostalgia  bagi akhbar yang pernah menjulang maruah Melayu. Tapi sebagai amaran, bahawa bila media bangsa mati, bangsa juga perlahan-lahan hilang jiwanya. 

Justru bila sejarah media pun kita abaikan, siapa yang akan jaga naratif bangsa? Kalau akhbar seperti Utusan Melayu pun kita lupa, apa lagi warisan yang tinggal untuk generasi akan datang?



Penulis mengumpulkan pandangan tokoh kewartawanan mengenai Utusan :  

Ku Seman Ku Hussain, bekas Pengarang Mingguan Malaysia, dalam tulisannya dalam Mingguan Malaysia pada 12 Januari 2003, menyatakan bahawa penutupan Utusan Melayu sebagai akhbar harian Jawi pada 31 Disember 2002 adalah satu kehilangan besar. Beliau menegaskan bahawa orang Melayu sendiri kurang menghargai sejarah dan warisan mereka, sehingga menyebabkan tulisan Jawi dan akhbar seperti Utusan Melayu semakin terpinggir.  

Bagi Datuk Johan Jaaffar, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, pula beliau menyatakan bahawa Utusan Melayu bukan sekadar akhbar, tetapi simbol nasionalisme Melayu.  Beliau menyatakan bahawa syarikat Utusan Melayu telah menanggung kerugian besar demi meneruskan penerbitan akhbar Jawi ini, namun akhirnya terpaksa menghentikannya kerana kurangnya sokongan daripada masyarakat Melayu sendiri.  

Satu yang penulis kagum tentang Utusan Melayu adalah, akhbar ini telah melahirkan ramai wartawan dan sasterawan tersohor, antaranya Rahim Kajai yang iiktiraf sebagai Bapa Wartawan Melayu. 

Said Zahari pejuang kebebasan media yang pernah dipenjarakan tanpa bicara selama 17 tahun di Singapura.  Tan Sri A. Samad Ismail, pula tokoh Kewartawanan Malaysia yang juga tokoh sasterawan dan pejuang bahasa Melayu. Juga wartawan dan penulis yang berpengaruh dalam perkembangan kewartawanan dan politik tanah air. 

Selain itu, Usman Awang (Tongkat Warrant), Keris Mas (Kamaluddin Muhamad), Pak Sako (Ishak Muhammad) dan A. Samad Said – sasterawan-sasterawan negara yang juga  pernah berkarya di Utusan Melayu.

Tuntasnya tarikh 29 Mei seharusnya diingati sebagai detik penting dalam sejarah kewartawanan Melayu.  Namun, tanpa usaha untuk mengenangnya, generasi akan datang mungkin tidak akan mengetahui peranan besar Utusan Melayu dan dunia kewartawanan dalam membentuk identiti dan kesedaran bangsa.

Selamat Hari Ulang Tahun Ke-86 Utusan Melayu dan Selamat Hari Wartawan Nasional. - KitaReporters


7
8
0
15
0
You will be interested