
DEWAN Kompleks Kejiranan Presint 8, Putrajaya tiba-tiba menjadi riuh rendah dengan suara mangsa tanah runtuh selain kenderaan seperti ambulans, bomba, JPAM dan polis yang bertali arus keluar masuk ke kawasan penempatan itu.
Masing-masing menjalankan tugas mereka dengan cekap bagi menghadapi situasi kecemasan itu sekali gus memastikan mangsa yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) mendapat layanan sewajarnya.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) menghantar kakitangan mereka yang mahir dalam kaunseling supaya 25 mangsa di PPS itu tidak mengalami trauma, kesedihan dan ketakutan berpanjangan.

Peserta terlibat dalam aktiviti sebenar di PPS diberi latihan untuk mengasah kemahiran mereka.
Itu antara gelagat 139 peserta terdiri daripada pemerhati, penilai dan anggota koperasi yang terbabit dalam Latihan Simulasi di PPS Dewan Kompleks Kejiranan Presint 8. Sebanyak 10 aset logistik digunakan termasuk Toyota Hilux, Toyota X-Trail, van, ambulans dan lori.
Presiden PPJ, TPr Datuk Fadlun Mak Ujud, berkata program itu inisiatif PPJ dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Wilayah Persekutuan Putrajaya bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
Beliau berkata, pelaksanaan program itu selaras dengan arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan tumpuan khusus kepada aspek pengurusan PPS yang cekap, selamat dan tersusun.

Latihan Simulasi selaras dengan arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Latihan itu berperanan sebagai platform untuk menguji dan memperkukuhkan keupayaan agensi-agensi terbabit daripada pelbagai aspek termasuk sumber manusia, kompetensi, peralatan, teknologi, komunikasi dan kewangan.
"Ia juga bagi memastikan penyediaan pelan tindak balas kecemasan dan kesinambungan perkhidmatan berjalan lancar serta menyelaras tindakan respons secara lebih bersepadu dan berkesan di lapangan," katanya.

Latihan Simulasi PPS bertujuan memahami peranan agensi-agensi seperti JKM, APM, KKM, PDRM, dan MCMC.
Fadlun berkata, latihan simulasi PPS adalah program penting untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi pelbagai bencana yang boleh datang secara tiba-tiba tanpa amaran.
"Program ini membabitkan pelbagai agensi kerajaan, sukarelawan, dan komuniti setempat dalam mengendalikan operasi di PPS dengan lebih berkesan.

Khemah yang selesa di PPS mengurangkan tekanan kepada keluarga yang menghadapi bencana.
"Latihan Simulasi PPS bertujuan memahami peranan agensi-agensi seperti JKM, APM, KKM, PDRM, dan MCMC menerangkan fungsi mereka sebelum, semasa, dan selepas bencana.
"Selain itu, peserta diajar mengenai prosedur pendaftaran mangsa, penyediaan makanan, perlindungan, dan kaunseling. Ia menggalakkan koordinasi antara agensi kerajaan, NGO, dan komuniti dalam menghadapi situasi bencana," katanya lagi.

Petugas diajar mengenai prosedur pendaftaran mangsa, penyediaan makanan, perlindungan, dan kaunseling.
Peserta terbabit dalam aktiviti sebenar di PPS diberi latihan untuk mengasah kemahiran mereka.
Melalui Latihan Simulasi, ia meningkatkan kecekapan peserta memahami dan melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik semasa bencana.
"Ia mempertingkat kerjasama sekali gus menggalakkan komunikasi dan koordinasi antara agensi dan komuniti. Ini sekali gus mengelak sebarang kekecohan atau suasana kelam kabut jika berada di situasi sebenar.

Petugas mengambil maklumat setiap keluarga yang ditempatkan di khemah bagi memudahkan sebarang urusan bantuan.
"Ia juga bagi mengurangkan risiko kerana dengan persediaan yang rapi, impak bencana dapat dikurangkan. Mangsa juga mendapat bantuan cepat tanpa menunggu untuk tempoh lama.
"Melalui latihan ini, semua pihak yang terlibat dapat meningkatkan kemahiran, pengetahuan, dan kerjasama dalam mengendalikan operasi di PPS, seterusnya memastikan keselamatan dan kesejahteraan mangsa bencana," katanya. - KitaReporters

Program ini membabitkan pelbagai agensi kerajaan, sukarelawan, dan komuniti setempat dalam mengendalikan operasi di PPS dengan lebih berkesan.