Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan kebenaran menggunakan dua bot baginda bagi tujuan operasi menyelamat ketika musibah banjir melanda negara.

"Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan kebenaran kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan dua air boat berkuasa tinggi milik baginda, sebagai antara aset operasi menyelamat ketika berlakunya musibah banjir.
"Seri Paduka Baginda menzahirkan perkenan itu berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, selain sebagai persediaan agensi keselamatan dalam melaksanakan misi menyelamat jika berlaku gelombang kedua banjir," titah baginda dalam satu hantaran dalam akaun rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Khamis, 4 Disember 2025.
"Kedua-dua air boat berkenaan kini ditempatkan di Istana Negara, dan ia dilihat mampu meningkatkan kecekapan operasi, selain dapat mempercepat penghantaraan bantuan kecemasan," titah baginda lagi.

Menurut Tuanku, pada Mac 2023, tiga air boat milik baginda telah digerakkan bagi operasi menyelamat, memindahkan serta membantu mangsa-mangsa banjir di Johor.
Sewaktu itu, titah baginda, aset berkenaan digunakan bagi tujuan penghantaraan bekalan makanan ke penempatan Orang Asli yang terputus hubungan di kawasan Kluang.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas limpah pengurniaan kebenaran penggunaan dua bot baginda bagi tujuan operasi menyelamat ketika musibah banjir.
"Kurniaan ini memperlihat keprihatinan tinggi baginda terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat, khususnya di kawasan yang terjejas," jelasnya dalam satu hantaran dalam akaun Facebook rasminya pada Khamis, 4 Disember 2025.
Katanya, bagi pihak Kerajaan Madani, Perdana Menteri merafak setinggi-tinggi penghargaan atas dukungan ini yang akan memperkukuh kesiapsiagaan serta melancarkan gerak kerja penyelamatan bersama agensi-agensi di lapangan jika berlaku gelombang kedua musibah banjir nanti.

"Semoga dengan ikhtiar dan kerjasama semua pihak, usaha membantu mangsa banjir dapat dipertingkat dan keselamatan rakyat terus terpelihara," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media