Pada akhir November 2025 lalu, rantau Asia Tenggara berdepan siri bencana alam berskala besar apabila hujan lebat berterusan mencetuskan banjir di beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Musim tengkujuh yang datang saban tahun kini menunjukkan pola yang semakin tidak menentu, dengan intensiti hujan yang tinggi serta aliran air yang mendadak, sekali gus mewujudkan situasi banjir yang sukar dijangka.
Bagi komuniti yang tinggal berhampiran sungai, lereng bukit atau kawasan tanah rendah, impaknya bukan sahaja terhad kepada air bah, malah melibatkan perubahan struktur tanah yang dibawa bersama oleh arus yang deras.
Antara kejadian yang tular dan menarik perhatian umum ialah insiden banjir bandang (banjir lumpur) di Pidie Jaya, Aceh, Indonesia, di mana kekuatan arus bukan saja merosakkan kediaman, malah membawa lumpur dalam jumlah yang luar biasa besar.
Lumpur tebal yang mengeras menjadi tanah menelan kediaman penduduk.
Fenomena ini menyebabkan lumpur tersebut menjadi
lapisan tanah baharu setinggi hampir paras tingkap rumah, menutupi perabot,
peralatan dan ruang dalaman kediaman yang sebelum ini menjadi tempat berteduh
penduduk.
Rakaman yang dikongsi pengguna TikTok anma1357 memaparkan suasana pascabanjir yang menginsafkan.
Rumah-rumah kelihatan seolah-olah terbenam di dalam tanah, sementara pelbagai struktur dipenuhi lapisan lumpur yang telah mengeras.

Rakaman tersebut sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet yang sukar mempercayai apa yang dilihat di layar telefon mereka.
Ada yang tidak mampu memikirkan bagaimana proses pembersihan dapat dilakukan dalam keadaan lumpur sudah bertukar menjadi tanah keras.
“Ya Allah. Bagaimana cara bersihkannya?” Reaksi ini menggambarkan betapa beratnya tugas yang menanti penduduk selepas air surut kerana keadaan di lapangan tidak semudah sekadar mencuci atau mengalihkan sisa banjir seperti lazimnya.

Kebimbangan itu turut disuarakan oleh netizen lain
yang menyifatkan situasi tersebut sebagai sesuatu yang di luar akal fikiran,
terutama apabila melihat bagaimana lumpur mampu mencapai ketinggian setara
rumah.
Sentimen sama dikongsi oleh seorang netizen yang
mempersoalkan langkah pengurusan sisa pascabencana.
“Cara bersihkannya bagaimana? Terus nanti lumpurnya dibuang ke mana ya?”
Soalan ini relevan kerana jumlah lumpur yang ditinggalkan bukan sekadar meliputi halaman, tetapi membentuk lapisan tanah baharu, sekali gus menuntut penyelesaian teknikal yang lebih kompleks.

Di tengah-tengah kebingungan itu, muncul pula pandangan yang lebih realistis walaupun kedengaran agak pahit.
Salah seorang netizen berpendapat situasi tersebut mungkin mustahil dipulihkan sepenuhnya.
Menurutnya, lumpur yang telah mengeras itu sudah tidak boleh dibersihkan dan pilihan terbaik ialah membina struktur baharu di atas lapisan tanah yang ada.
Walau bagaimanapun, di sebalik rasa terkejut dan kebingungan, wujud juga suara-suara yang meniupkan semangat ketabahan.
Netizen tersebut yang pernah melalui pengalaman pahit sebagai mangsa tsunami Aceh Barat, berkongsi keyakinannya bahawa masyarakat Pidie Jaya mampu bangkit kembali.
Menurutnya, meskipun kehilangan harta benda sangat menyakitkan, yang paling penting ialah keselamatan nyawa. Harta boleh dicari semula, tetapi kehidupan tidak dapat diganti.

Situasi ini membuka mata banyak pihak tentang realiti kehidupan masyarakat yang berhadapan bencana alam.
Bukan sekadar kehilangan rumah atau harta benda, tetapi cabaran moral, psikologi dan sosial yang menuntut kekuatan luar biasa. - KitaReporters