Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mencatat satu lagi detik penting dalam sejarahnya apabila sebuah lagi kapal perang, iaitu kapal KD Hang Tuah, secara rasmi dilucut tauliah dalam satu acara penuh istiadat ketenteraan yang berlangsung di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Upacara penuh simbolik ini disempurnakan oleh Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor di pangkalan TLDM di Lumut pada 3 Disember 2025.
Upacara ini menandakan tamatnya perkhidmatan sebuah kapal perang yang telah mewarnai perjalanan TLDM selama hampir lima dekad.
Majlis
pelucutan tauliah yang berlangsung dalam suasana syahdu dengan kehadiran
kru-kru terdahulu serta mantan pegawai-pegawai memerintah yang pernah memegang
tampuk pemerintahan KD Hang Tuah.
Suasana
bertambah hening dan menyentuh perasaan tatkala ketukan loceng kapal bergema
dan gada-gada diturunkan, masing-masing mengimbau kembali kenangan dan
detik-detik bersejarah ketika berkhidmat di kapal ini.
Detik ini bukan sekadar pengakhiran sebuah perkhidmatan, tetapi juga menutup sebuah era yang telah membentuk identiti angkatan laut negara menerusi peralihan dari kapal-kapal kecil pesisir pantai kepada keupayaan untuk beroperasi di laut lepas.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat TLDM Lumut dalam kenyataan memberitahu, pelucutan tauliah KD Hang Tuah juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan TLDM untuk memodenkan armadanya selaras dengan aspirasi program Pelan Transformasi TLDM 15-ke-5
Menurut kenyataan itu, program ini bertujuan untuk meningkatkan keupayaan TLDM selari dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap pertahanan pada kos yang optimum serta memberi pulangan lebih tinggi pada negara.

Menyingkap sejarah KD Hang Tuah, sejak ditauliahkan ke dalam perkhidmatan pada 22 Julai 1977, KD Hang Tuah telah memainkan peranan yang aktif sebagai kapal tempur barisan hadapan TLDM.
Selari
dengan nama besar yang diberi, kapal ini sering ditugaskan untuk menerajui pelbagai
tugas operasi untuk memelihara kedaulatan dan kepentingan maritim negara yang pada
ketika itu masih baharu dan berdepan pelbagai bentuk ancaman terhadap kewujudannya.
Peranan ini
bagaimanapun secara beransur-ansur diambil alih oleh kapal perang lain yang
lebih moden dan berkeupayaan, manakala bermula pada tahun-tahun 80-an, KD Hang Tuah lebih
banyak menumpukan perhatiannya sebagai platform latihan untuk warga TLDM.
KD Hang Tuah telah dibina di Scotland sebagai Black Star untuk Ghana dan kemudiannya ditauliahkan sebagai
HMS Mermaid dalam Tentera Laut Diraja British.
Kapal ini akhirnya diserahkan kepada Malaysia dan ditauliahkan sebagai KD Hang Tuah pada 22 Julai 1977. Ia dinamakan sempena seorang tokoh pahlawan dalam sejarah Tanah Melayu yakni Laksamana Hang Tuah yang sinonim dengan sifat keberanian dan kesetiaan yang luar biasa.

Sebahagian anak kapal KD Hang Tuah bergambar dengan Pemerintah Armada Barat Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor di pangkalan TLDM di Lumut pada 3 Disember 2025.
Dengan panjang 103.5 meter, lebar 12.02 meter dan berat sasaran 2300 tan, kapal ini mampu bergerak dengan kelajuan maksimum 24 knot.
Sejak
pelayaran sulungnya dari Portsmouth bersama 163 kru anak watan, kapal yang
menjadi tulang belakang pertahanan maritim negara pada era 70-an hingga 90-an ini
telah belayar sejauh 313,784.95 batu nautika.
Selain tugas
operasi ia turut kerap menyertai eksesais dalam negara serta antarabangsa
seperti Malindo Jaya, Emas Hitam, Milan, Kakadu dan Bersama Lima.
Sepanjang
hampir lima dekad perkhidmatannya, KD Hang Tuah telah melahirkan barisan
pemimpin TLDM yang berwibawa, selain menerima pelbagai pengiktirafan seperti anugerah
IMO, Piala Agong dan Piala Gonzales.
Legasinya
masih belum berakhir, sebaliknya diteruskan sebagai warisan maritim negara yang
akan mendidik dan menginspirasikan generasi akan datang. - KitaReporters