
KELUARAN pertama Utusan Malaysia pada 1 September, 1967. - Kredit foto Media Mulia.
INI kisah cinta yang tidak
kesampaian. Episod seorang jejaka yang jatuh cinta pada seorang gadis idaman
tapi akhirnya mengahwini gadis lain. Benarlah, cinta tak semestinya bersatu!
Analogi itu mungkin boleh penulis samakan dengan perjalanan karier penulis sebagai wartawan. Ia ibarat sebuah kisah cinta yang mempunyai ‘plot twist’ pada penghujungnya.
Apabila KitaReporters dengan kerjasama Institut Akhbar Malaysia (MPI) menganjurkan Forum Kenangan Utusan Melayu pada Sabtu, 28 Jun, 2025 lalu, automatik penulis teringat kembali ‘hubungan cinta’ penulis dengan Utusan Melayu yang terjalin sejak di bangku sekolah.
Ini bukan cinta monyet tapi cinta sejati namun pengakhirannya tidak seperti diharapkan yang membawa penulis mengalih cinta kepada ‘insan lain’.

AKHBAR Utusan Melayu diterbitkan dalam versi tulisan Jawi.
Penulis mula mengenali Utusan Melayu ketika
masih di bangku sekolah. Ayah penulis memang pembaca tegar akhbar Utusan
Melayu (Jawi). Setiap hari, bila pulang, terselit akhbar itu di celah
ketiaknya.
Walaupun kurang mahir dengan tulisan Jawi, tapi kerana minat membaca, penulis berusaha membaca semua berita yang dipaparkan dalam akhbar itu.
“Sekali dia tulis Arab daaa…” Begitu introduksi penulis sebelum membaca, mengulang dialog diucapkan oleh Sudin dalam filem Pendekar Bujang Lapok.
Dialog-dialog yang dilontarkan dalam filem arahan Tan Sri P Ramlee itu terutama babak membabitkan Ramlee, Ajis dan Sudin sentiasa menjadi bahan lelucon penulis apabila tidak lancar membaca tulisan Jawi itu sehingga terpaksa mengeja.
Kadangkala seperti tiga bujang lapok, lain yang dieja, lain pula bunyinya. Teringat dialog Sudin ‘Alif tendang wau, sarkis daaa…’. Begitulah keadaan penulis. Tapi, ia secara tidak langsung sedikit demi sedikit meningkatkan penguasaan tulisan Jawi penulis.

GELAGAT Sudin, Ajis dan Ramlee membaca surat yang ditulis dengan huruf Jawi dalam filem Pendekar Bujang Lapok.
Jika ingin membaca akhbar tulisan Rumi, penulis akan ke kedai kopi berhampiran kerana di situ terdapat akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian disediakan untuk bacaan pelanggan.
Utusan Malaysia sentiasa menjadi pilihan utama kerana gaya tulisannya pada penulis, lebih santai berbanding Berita Harian. Mungkin budak kampung seperti penulis lebih selesa dengan corak pemberitaan Utusan.
Antara ruangan kegemaran penulis adalah ‘Di Simpang Jalan’ yang ditulis oleh Pak Sako (Allahyarham Ishak Muhammad). Setiap minggu, inilah kolum yang dinanti-nantikan. Gaya penyampaian Pak Sako yang bersahaja memikat hati penulis.
Berita Harian juga ketika itu mempunyai penulis yang hebat seperti Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail tapi Pak Sako menjadi idola penulis. Kalau membaca Berita Harian terutama Berita Minggu (Ahad) ruangan pertama penulis cari adalah komik bersiri Toyol karya Raja Hamzah.

PAK SAKO (Ishak Muhammad)
Sejujurnya, mungkin dek kerana banyak terdedah dengan akhbar Utusan Melayu dan Utusan Malaysia, penulis jatuh cinta terhadap kedua-dua akhbar itu sehingga apabila mula aktif menulis, penulis menanam cita-cita mahu menjadi wartawan di akhbar berkenaan.
Malah, pembabitan awal penulis dalam dunia penulisan banyak disokong oleh kesediaan Syarikat Utusan memberi peluang kepada penulis berkarya terutama menerusi akhbar terbitannya Bintang Timur yang beroperasi di Prai, Pulau Pinang. Boleh dikatakan saban minggu tulisan penulis disiarkan oleh akhbar berkenaan.
Rasa kecintaan terhadap Utusan mendorong penulis memohon jawatan sebagai wartawan di akhbar itu sebaik sahaja menamatkan persekolahan.
Masih segar dalam ingatan, penulis memberanikan diri ke pejabat Bintang Timur di Prai untuk memohon pekerjaan dengan berbekalkan keratan berita yang tersiar dalam Bintang Timur.
“Kami di sini tak ada kuasa ambil staf,” kata seorang petugas di situ, membuat penulis sedikit kecewa. “Tapi, boleh hantar permohonan terus ke ibu pejabat di Kuala Lumpur. Hantar sekali salinan keratan akhbar yang awak bawa ini,” sambungnya, memberi sedikit harapan.
Penulis lakukan apa dicadangkan tapi menghampakan selepas berbulan-bulan menunggu, permohonan penulis tidak mendapat sebarang jawapan. Ia benar-benar mengecewakan kerana impian untuk menjadi wartawan di Syarikat Utusan tidak kesampaian.

PENULIS ketika zaman awal sebagai wartawan.
Begitupun, cita-cita penulis untuk menyertai Utusan tidak pernah padam. Apabila penulis akhirnya menjadi wartawan akhbar Mingguan Perdana pada 1983, impian itu kembali membara.
Penulis merancang untuk menimba pengalaman beberapa tahun bersama Mingguan Perdana sebagai bekalan untuk memohon kerja di Utusan. Tapi, takdirnya, selepas setahun, penulis berhijrah ke Kumpulan Karangkraf.
Selepas tujuh tahun bersama Karangkraf, penulis memikirkan sudah sampai masanya untuk melangkah lebih jauh dengan menyertai gergasi media iaitu Utusan Melayu atau New Straits Times Press.
Utusan Melayu menjadi pilihan kerana itulah ‘cinta pertama’ penulis dalam dunia penulisan. Kali ini penulis yakin akan berjaya menjadi wartawan Utusan kerana ketika itu saham penulis sedang melonjak selepas memenangi anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia (anjuran MPI).

PENULIS pada zaman kemuncak sebagai wartawan.
Pada masa sama, penulis juga mempunyai hubungan rapat dengan Allahyarham Zian Johari yang merupakan Pengarang Sukan Berita Harian. Ketika itu beliau adalah naib presiden Persatuan Wartawan Sukan Malaysia (SAM) dan penulis adalah salah seorang ahli jawatankuasa.
Suatu hari, Zian bertanya adakah penulis berminat untuk menyertai Berita Harian. Pada waktu yang sama, penulis turut menerima lamaran tidak rasmi daripada Utusan. Apa yang perlu penulis lakukan ketika itu adalah hanya menghantar surat permohonan dan akan dipanggil temu duga sebagai formaliti.
Penulis berada di persimpangan, antara Utusan dan Berita Harian, mana satu perlu dipilih walaupun cinta pertama penulis adalah Utusan. Bertanyakan pendangan beberapa orang rakan tidak memberi konklusi.

ALLAHYARHAM Ahmad Idris atau ABI dikunjungi seniwati Datuk Sarimah Ahmad (tiga dari kanan) dan rakan-rakan ketika menerima rawatan kanser prostat. Turut kelihatan isteri Ahmad, Bahyah Mahmood atau BAM (kanan) - Kredit foto: MStar.
Akhirnya, pertemuan dengan wartawan veteran Utusan, Allahyarham Ahmad Idris atau lebih dikenali sebagai ABI membawa penulis ke Berita Harian. Kata-kata beliau mempengaruhi penulis untuk melupakan hasrat ke Utusan.
“Kalau nak seronok kerja, masuk Utusan, kalau nak imbuhan (gaji dan bonus), masuk Berita Harian,” kata ABI pada pertemuan kami di kedai bukunya di Keramat.
Sebagai anak muda yang mengimpikan kehidupan lebih stabil, penulis akhirnya memilih Berita Harian. Ketika itu, pada penulis, wang dapat membeli keseronokan dan kebahagiaan.
Penulis terpaksa mengorbankan cinta terhadap Utusan, cinta yang dipupuk sejak di bangku sekolah. Sehingga sekarang, penulis masih bertanya diri sendiri, apakah ia satu keputusan yang tepat? - KitaReporters