Pasangan Rohani Tamrin dan Abdul Latif Mohd. Nooh (kiri) bersama pasangan Ismail Ibrahim dan Ngasipah Basri (kanan) ketika 'disandingkan' semula buat kali kedua selepas 45 tahun di Desa Temu Jodoh, Chaah, Johor.
TARIKH 8 Ogos 2022 pasti akan dikenang oleh 10 pasangan awal Desa Temu Jodoh, Chaah, Johor kerana pada tarikh tersebut mereka 'disandingkan' semula secara beramai-ramai bersama pasangan masing-masing selepas lebih 45 tahun majlis serupa pada tahun 1977 sempena Majlis Penilaian Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera (PAKS) sebagai wakil daerah Segamat ke pertandingan peringkat negeri Johor.
Antara pasangan yang 'disandingkan' semula pada majlis tersebut ialah pasangan Abdul Latif Mohd. Nooh, 70, bersama pasangannya Rohani Tamri, 65, yang turut menzahirkan keterujaan diraikan sebagai 'pengantin baharu' selepas 45 tahun diraikan ketika majlis pernikahan secara beramai-ramai peserta tanah rancangan tersebut pada Febuari 1977.
Menurut Rohani, dia mencadangkan 'persandingan' semula pasangan peserta yang masih ada di tanah rancangan itu bertujuan untuk mengembalikan nostalgia majlis perkahwinan beramai-ramai yang melibatkan 24 pasangan 45 tahun dahulu sebagai salah satu pengisian majlis penilaian tersebut.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pasangan pengantin
"Saya pun tidak menyangka cadangan saya itu mendapat persetujuan semua pihak termasuk peserta yang masih ada ketika ini. "Sebenarnya terdapat hanya 12 pasangan sahaja daripada 24 pasangan yang menyertai majlis perkahwinan beramai-ramai itu dahulu, namun hanya 10 pasangan sahaja yang turut serta kali ini kerana kesihatan dua lagi pasangan yang semakin uzur tidak mengizinkan untuk mereka bersama-sama.
"Kami sebenarnya hanya ada tempoh kurang 10 hari untuk membuat segala persiapan, namun berkat kerjasama penduduk terutama kepimpinan kampung, semuanya berjalan lancar dan apa yang dirancang dapat dilaksanakan dengan sempurna" katanya ketika ditemui di rumahnya di Desa Temu Jodoh, Chaah.
Pasangan Abdul Latif Mohd. Nooh dan Rohani Tamrin antara peserta awal Desa Temu Jodoh yang 'bersanding' semula sempena majlis penilaian Pertandingan Aspirasi Kampung Sejahtera kampung tersebut di Chaah, Johor.
Katanya, antara cabaran terbesar yang dihadapinya untuk menjayakan acara tersebut adalah untuk menyediakan pakaian 'pengantin' untuk peserta ketika disandingkan secara beramai-ramai pada majlis tersebut memandangkan tempoh kurang 10 yang ada tidak memungkinkan untuk mereka menempah 'baju pengantin' yang diperlukan.
Menurutnya, mereka walau bagaimanapun mereka sempat menyiapkan pakaian sedondon untuk 'pengantin wanita', namun tidak bagi 'pengantin lelaki' yang terpaksa mengenakan pakaian yang sudah siap yang dibeli bukannya yang ditempah khusus untuk majlis tersebut seperti yang dihajati.
Dalam pada itu Rohani turut melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat bersama rakan-rakan lain yang telah pergi pada majlis tersebut di mana kenangan ketika bersama-sama membanting tulang memungar hutan untuk dijadikan kebun seperti yang ada hari ini sukar dilupakan dan menyifatkan majlis tersebut pasti akan lebih meriah jika mereka ada bersama.
Pasangan Ismail Ibrahim dan Ngasipah Basri teruja 'bersanding' pada usia emas.
Sementara itu, pasangan Ismail Ibrahim, 75, dan Ngasipah Basri, 66, berkata, tidak pernah terlintas pada fikiran mereka akan menjadi 'pengantin baharu' semula pada hari bersejarah itu selepas 45 tahun mendirikan rumah tangga dan akan mengingati tarikh tersebut sebagai satu peristiwa bersejarah dalam hidup mereka.
Mereka menyifatkan ia bukan sahaja mengimbau kenangan lama, malah apa yang lebih penting generasi kedua dan ketika Desa Temu Jodoh berpeluang merasai pengalaman yang pernah dilalui ibu bapa serta datuk nenek mereka yang pernah disandingkan secara beramai-ramai satu ketika dahulu.
Namun katanya, di sebalik kegembiraan terselit juga sedikit rasa terkilan di hati kerana hanya seorang sahaja daripada lapan anaknya yang dapat pulang bersama-sama menyaksikan peristiwa yang disifatkannya sebagai satu sejarah dalam hidupnya itu sementara yang lain tidak dapat bersama kerana tinggal jauh atau dek kerana tuntutan tugas masing-masing.
Sebahagian generasi pertama Desa Temu Jodoh, Chaah, Johor yang diraikan dan 'bersanding' semula selepas 45 tahun peristiwa pernikahan beramai-ramai mereka pada tahun 1977.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JPKK) Desa Temu Jodoh, Mohd. Lutfi Daim berkata, pada asalnya Desa Temu Jodoh dikenali sebagai Tanah Rancangan Belia Sungai Lenek dengan penyertaan seramai 112 anak muda yang dipilih oleh kerajaan negeri Johor untuk membanggunkan tanah seluas 420 hektar sebagai kawasan pertanian dengan tanaman kelapa sawit pada bulan Oktober 1972.
"Ketika itu semua peserta masih bujang dan pada tahun 1977 seramai 24 peserta telah menamatkan zaman bujang dengan pasangan masing-masing dalam satu majlis pernikahan beramai-ramai yang dianjurkan oleh kerajaan negeri pada februari 1977 dan sejak itu, sempena majlis tersebut, tanah rancangan ini ditukar kepada Desa Temu Jodoh," katanya menceritakan bagaimana Desa Temu Jodoh mendapat namanya.
Mohd. Lutfi Daim
Katanya, pertandingan ini bukanlah penyertaan kali pertama Desa Temu Jodoh dalam pertandingan seumpama, malah kampungnya telah meraih pelbagai kejayaan di peringkat daerah dan negeri dalam pelbagai pertandingan seperti desa wawasan dan pertandingan landskap kampung sebelum ini.
Menurutnya, Desa Temu Jodoh juga pernah memenangi tempat pertama dalam satu pertandingan kampung wawasan peringkat negeri Johor pada tahun 1989 dan pelbagai anugerah lain sebelum dan selepas itu.
Abdul Latif Mohd. Nooh (kiri) bersama Mohd. Lutfi Daim (tengah) sambil diperhati Rohani Tamrin (kanan) melihat sijil kemenangan dalam salah satu pertandingan peringkat negeri Johor yang dimenangi Desa Temu Jodoh pada tahun 1989.
"Kami sedar saingan kali ini agak sengit, namun kami berharap dengan usaha serta kerjasama semua penduduk dalam memenuhi semua syarat pertandingan, Desa Temu Jodoh mampu menjelmakan keputusan terbaik bagi daerah Segamat tahun ini.
"Bagi kami, terpilih mewakili daerah Segamat untuk bersaing dengan sembilan lagi wakil daerah lain bukan sekadar satu kebangaan, sebaliknya merupakan satu tanggungjawab besar kerana kami sebenarnya turut membawa imej dan maruah Segamat di mata pihak luar dalam pertandingan ini," katanya.
Menurut Mohd. Lutfi lagi, antara kriteria yang diambil kira dalam penilaian Pertandingan Kampung Sejahtera adalah infrastruktur lengkap, aktiviti ekonomi berimpak tinggi, modal insan berdaya maju dan tahap kesihatan yang baik selain kebersihan dan keceriaan kampung, keagamaan dan kerohanian, tahap seselamatan yang terjamin, kepimpinan dan pentadbiran cekap serta penerapan budaya inovasi dalam komuniti kampung. - KitaReporters
Salah satu rumah asal di Desa Temu Jodoh, Chaah, Johor sewaktu mula dibangunkan sebagai kawasan penempatan dan pertanian pada awal tahun1970an.
Pegawai Daerah Segamat, Hasrin Kamal Hashim (depan, kanan) dibawa menaiki kenderaan yang biasa digunakan untuk mengangkut tandan kelapa sawit mengelilingi kampung meninjau kemudahan yang terdapat di Desa Temu Jodoh, Chaah, Johor.