Insan & Komuniti 08 Dec, 2023

Scammer atau mereka dari Palestin? Guna bendera Malaysia, Indonesia! Harapkan gift daripada penonton!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Sejak berlakunya peperangan antara pejuang Hamas dan rejim aparteid Israel pada 7 Oktober 2023 lalu, ramai bersimpati dengan nasib rakyat Palestin. Mereka menderita dan terkorban akibat peperangan tersebut. Mereka kehilangan ahli keluarga, tempat tinggal, sumber makanan, bahan bakar, elektrik, Internet dan pelbagai lagi.

Keperitan dan penderitaan yang dilalui sudah pastinya mendapat perhatian dunia terutama yang beragama Islam. Ramai pihak cuba menghulurkan bantuan selagi termampu. Namun, sekatan oleh rejim Israel menyukarkan proses bantuan sampai dan diterima.

Namun, tidak disangka dalam situasi genting ini masih ada pihak yang cuba mengambil kesempatan. Wujudnya penyalahgunaan dana yang disumbangkan oleh orang ramai untuk membantu rakyat Palestin sangat mengejutkan dan mengecewakan.



Rakyat Malaysia khususnya sangat terkenal dengan sikap pemurah. Mereka tidak boleh melihat orang susah apatah lagi seagama, pasti bantuan akan dihulurkan. Satu sikap terpuji suka menderma yang patut dibanggakan. Namun, andai terlalu pemurah tanpa menyelidik atau usul periksa sesuatu perkara juga tidak patut.

Ada segelintir pihak suka mengambil kesempatan dengan sikap pemurah rakyat Malaysia. 

Kalau anda perasan, sejak tercetusnya peperangan di Palestin, terdapat sekumpulan individu yang mendakwa mereka dari Palestin, menggunakan TikTok Live untuk mendapatkan gift (hadiah).


Mereka ini dipercayai bukan rakyat Palestin tetapi adalah rakyat Syria.


Menggunakan bendera Malaysia, Indonesia dan Palestin sebagai latar belakang, mereka bergiat aktif mengaut keuntungan daripada gift yang diberi oleh netizen dari Malaysia dan Indonesia. Padahal mereka disyaki bukanlah warga Palestin. 

Hal ini didedahkan oleh seorang pengguna Facebook bernama Ahmad Nazrul.

Dalam kenyataan yang dikongsi, Ahmad Nazrul berkata tidak mungkin rakyat Palestin boleh bersiaran langsung dalam TikTok Live sedangkan di sana bergelap akibat ketiadaan elektrik apatah lagi Internet.


“Dalam live (siaran langsung) TikTok memang ramai geng (kumpulan) ni buat live. Biasanya mereka gantung bendera Malaysia, Indonesia dan juga Palestin pada dinding. Sepanjang live mereka akan ratib Malaysia dan Indonesia.

“Mereka mengharapkan gift daripada viewers. Mereka langsung tiada kaitan dengan Palestin. Sepanjang Palestin dibom dan seluruh Palestin bergelap akibat ketiadaan bekalan elektrik, mereka live tujuh hingga lapan kali sehari.

“Sepanjang mereka live juga, tidak pernah kedengaran bunyi bom ataupun senapang. Harap tiada yang terpedaya dan menganggap mereka dari Palestin. 

"Tak salah nak beri gift pada mereka. Tapi mereka bukan dari Palestin. Itu faktanya,” tulisnya.



Perkongsian Ahmad Nazrul itu dipersetujui banyak netizen. Selama ini mereka juga hairan macam mana pihak terbabit mampu bersiaran langsung setiap hari sedangkan Palestin teruk dibantai oleh rejim aparteid Israel. Ikutkan logik, mustahil untuk rakyat Palestin berbuat demikian. 

“Wakil kami di Gaza nak hantar gambar agihan sumbangan pun payah. Internet dan elektrik terhad. Jimat bateri. Nak buat video pun tak boleh takut bateri habis. Nak cas kena kongsi berdua di kem pelarian, cas guna bateri kereta. Inikan nak buat live,” tulis salah seorang netizen.

Manakala ada juga yang berpendapat, tak salah untuk memberi gift walaupun mereka bukan rakyat Palestin asalkan bergama Islam.

“Mereka pelarian dari negara Islam juga. Lebih baik beri gift kepada mereka kerana dengan pemberian itu mereka membeli makanan (pernah lihat live, mereka membeli makanan) daripada beri gift kepada manusia live robot rosak tu,” tulisnya. - KitaReporters


12
9
0
14
0
You will be interested