Kanak-kanak yang merupakan generasi keempat Felda Tenang, Labis ,Johor turut menjayakan Program Fun Walk sempena Sambutan Hari Peneroka 2024 pada 7 Julai 2024 lalu.
Sebahagian warga Felda Tenang, Labis, Johor yang menjayakan program Fun Walk sepena Sambutan Hari Peneroka 2024 pada 7 Julai 2024 lalu.
Suasana perkampungan Felda Tenang, Labis, Johor yang selalunya sunyi selepas warganya keluar mencari rezeki bertukar ceria dengan kehadiran kira-kira 300 penduduk yang keluar berjalan kaki sejauh lima kilometer sambil mengutip sampah di sepanjangan jalan yang dilalui pada 7 Julai 2024 lalu.
Apa yang lebih menarik, kesemua peserta pelbagai peringkat umur yang menjayakan Program Fun Walk sempena Hari Peneroka 2024 tersebut mengenakan pakaian berwarna oren yang merupakan warna rasmi Felda.
Pengurus Tanah Rancangan Felda Tenang, Norazmi Ithnin berkata, program tersebut sebenarnya merupakan acara yang dijalankan serentak di semua tanah rancangan Felda di seluruh negara sempena sambutan Hari Felda yang disambut pada 7 Julai setiap tahun.
Peserta yang berjaya menamatkan acara berjalan kaki sejaauh lima kilometer dikalungkan pingat.
"Program pagi ini agak berbeza dengan program sebelum ini di mana pada tahun ini (2024) pihak pengurusan tanah rancangan ini menyelitkan beberapa acara seperti acara 'Sayangi Alam Kita' iaitu aktiviti mengutip sampah di sepanjang laluan dilalui yang turut menyediakan hadiah kepada pemenang.
"Saya bersyukur kerana semua pihak termasuk persatuan yang terdapat di tanah rancangan ini memberi kerjasama baik bukan sahaja menyumbang tenaga, masa mahu pun idea, malah termasuk wang ringgit dalam usaha menjayakan program ini," katanya.
Katanya, sampah yang dikutip setiap peserta semasa program ditimbang dan empat hadiah disediakan kepada empat peserta yang mengutip sampah terberat bagi setiap katogeri wanita dan lelaki serta kanak-kanak.
Menurut Norazmi lagi, apa yang membanggakan adalah penglibatan pelbagai peringkat umur bermula daripada murid sekolah rendah hinggalah golongan peneroka yang rata-rata berusia emas turut sama-sama hadir memberi sokongan.
Kanak-kanak teruja menimbang sampah yang dikutip sepanjang lima kilometer laluan yang dilalui.
Katanya, keterbukaan serta sifat tolak ansur barisan kepimpinan penduduk di tanah rancangan tersebut merupakan antara rahsia kejayaan membentuk satu kemuafakatan dalam kalangan warga Felda Tenang, sekali gus dapat memastikan setiap program yang diadakan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Tambah Norazmi, sebagai pengurus di tanah rancangan tersebut dia mengadakan perjumpaan dan mendengar setiap aduan serta cadangan semua pemimpin masyarakat dan persatuan yang ada bagi memahami keperluan serta pemasalahan penduduk setempat untuk ditangani sebaik mungkin.
Norazmi menyampaikan hadiah kepada pemenang acara 'Sayangi Alam Kita' semasa program Fun Walk di Felda Tenang, Labis, Johor.
Sementara itu, Mohd Saufi Bakri, 56, yang merupakan generasi kedua Felda Tenang turut memuji penganjuran program seumpama itu yang disifatkannya sebagai salah satu wadah terbaik merapatkan ukhwah dalam kalangan penduduk pelbagai peringkat umur di tanah rancangan tersebut.
"Sambutan Hari Peneroka ini sedikit sebanyak akan memastikan generasi baharu tidak lupa asal usul mereka dan sentiasa ingat mereka adalah generasi yang lahir daripada pengorbanan serta susah payah generasi terdahulu yang bergelar peneroka Felda.
"Jika kita lihat di Felda Tenang ini sudah ada generasi keempat di mana mereka sememangnya tidak akan pernah mengetahui susah payah datuk nenek mereka membanggunkan tanah rancangan ini tanpa sebarang usaha untuk mendedahkan mereka dengan sejarah asal usul mereka melalui penganjuran program sebegini,"katanya.
Katanya, melalui program sebegini generasi muda berpeluang mengetahui pengorbanan generasi peneroka awal dalam usaha memastikan generasi hari ini mampu menikmati kehidupan yang lebih selesa. - KitaReporters
Warga Felda Tenang, Labis, Johor mendengar taklimat Pengurus Tanah Rancangan, Norazmi Ithnin sebelum memulakan acara Fun Walk sempena Sambutan Hari Peneroka 2024.