Foto: Harian Metro
LARANGAN merokok di tempat awam, khususnya di premis kesihatan seperti hospital dan klinik, juga di premis makanan seperti restoran atau gerai, telah dikuatkuasakan sejak Januari 2019. Tetapi ia seperti tidak dipedulikan.
Pada
peringkat awal penguatkuasaan, nampak seperti dipatuhi. Namun setelah berapa
tahun berlalu, pematuhan kian luntur. Merokok di premis menjamu selera sudah
menjadi pemandangan biasa sehingga menyakitkan mata.
Segelintir
pelanggan degil tanpa rasa bersalah sesuka hati menghisap rokok, seolah-olah larangan
merokok di tempat sedemikian sudah dimansuh. Jelas kelompok ini mempersendakan
undang-undang yang diwujudkan demi kebaikan orang ramai.
Penguatkuasaan juga dilihat tidak lagi ‘keras’ seperti peringkat awal. Mungkin kerana pihak berwajib seperti Jabatan Kesihatan Negeri atau Daerah, atau pihak berkuasa tempatan, tidak mampu memantau ribuan restoran atau gerai makan minum di seluruh negara.
Foto: Kosmo Digital
Memang
sukar untuk penguat kuasa memantau setiap premis makanan sepanjang masa. Mereka
ada kerja lain hendak dibuat. Hanya sekali sekala mereka menjalankan operasi
dan bertindak. Selain waktu itu, tidak ada yang memantau.
Kerana itu
perokok tegar langsung tidak takut disaman atau didenda. Pelanggan lain pula
memilih berdiam diri daripada menegur kerana bimbang akan mencetuskan suasana
tidak diingini. Begitu juga dengan pemilik premis makanan terlibat.
Bayangkan perasaan
pelanggan lain yang sedang menjamu selera apabila diselubungi asap
berkepul-kepul. Marah, geram semua berbaur. Selera makan pun boleh hilang. Namun
untuk menegur tidak berdaya. Jadi tanggung sahaja atau angkat kaki.
Hakikat merokok membahayakan kesihatan tentu disedari perokok. Tetapi ramai memilih mengabaikannya. Tidak mengapa tidak peduli bahaya merokok terhadap kesihatan diri sendiri, tetapi jangan libatkan orang lain yang tidak berdosa menerima akibat.
Premis
makanan adalah kawasan dengan ruang terhad. Kerana itu sangat mudah bagi asap
rokok berlegar mencemari persekitaran yang kecil, apatah lagi jika premis tertutup.
Lagi ramai merokok, lagi tercemar persekitaran dan lagi teruk kesannya kepada
orang di sekeliling.
Yang datang
menjamu selera pula bukan hanya orang dewasa. Ada juga kanak-kanak atau wanita
mengandung. Golongan ini lebih terdedah kepada bahaya pencemaran asap rokok dan
berisiko tinggi menerima kesan akibat terhidu asap.
Kerana itu
amat tidak adil sikap segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab merosakkan
kedamaian dan keselesaan pelanggan lain yang sedang menikmati makanan atau minuman. Pada masa
sama, menyebarkan penyakit kepada mereka.
Dalam
keadaan wujud undang-undang larangan merokok pun ada pihak sengaja
melanggarnya, bayangkan jika tidak ada undang-undang. Perokok akan bermaharaja
lela menghisap rokok bagaikan tiada orang di sekeliling.
Itulah senarionya sebelum dikuatkuasakan undang-undang larangan merokok di tempat awam pada 2019. Justeru dalam usaha menghakis tabiat merokok serta mengekang perbuatan merokok di tempat awam, larangan berkenaan dikuatkuasakan di seluruh negara.
Tujuan
udang-undang ini murni demi kesihatan rakyat. Penyakit seperti batuk kering
atau paru-paru kerap dikaitkan dengan tabiat merokok. Risikonya lebih tinggi kepada
perokok tegar yang bersambung puntung apabila merokok.
Merokok
adalah pilihan sendiri. Namun hormati juga hak orang lain yang tidak merokok.
Apabila kerajaan telah memperkenal undang-undang hendaklah dipatuhi. Jangan dipersenda
peraturan yang dibuat demi kepentingan awam.
Jangan
hanya apabila diawasi pihak berkuasa baru hendak patuh. Sebaliknya kesedaran
mesti terbit daripada diri sendiri. Jangan belenggu diri dengan undang-undang
sehingga semuanya perlu ada undang-undang.
Peraturan yang baik seperti kempen kesedaran berhenti merokok, juga larangan merokok di tempat awam, wajar diamalkan walau pun jika tidak ada undang-undang. Sayang, sebaliknya yang kerap berlaku. Ada undang-undang pun dilanggar begitu sahaja. - KitaReporters