Muhammad Syukri Mohamad Misenan, alumni Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang kini sedang melanjutkan pelajaran Doktor Falsafah (PhD) di Turkiye telah telibat secara langsung dalam misi Search and Rescue (SAR) mangsa gempa bumi di sana baru-baru ini.
Beliau yang telah menetap di Istanbul selama 3 tahun 6 bulan bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang Kimia di Yıldız Teknik Universitesi terkejut apabila mendapat panggilan dari Kedutaan Besar Malaysia di Turkiye untuk menjadi penterjemah bahasa di antara doktor dan warga tempatan di Hospital Medan Malaysia (HMM) yang dibangunkan oleh Angkatan Tentera Malaysia di Çelikhan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan negara Turkiye dulu Turki
Menurut Syukri, perjalanan ke sana amat mencabar disebabkan
jalan yang masih ditutup akibat salji tebal dan licin. Beliau terpaksa menaiki
helikopter bersama Angkatan Tentera Udara Turkiye dari Lapangan Terbang
Adıyaman untuk sampai ke Çelikhan.
“Setibanya di sana, suhu di kawasan HMM sangat ekstrem iaitu
sekitar -4 darjah celcius pada waktu tengah hari kerana ia dikelilingi gunung
bersalji. Bekerja bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia dalam cuaca yang
ekstrem merupakan satu pengalaman yang baru bagi saya,” ujarnya lagi.
Pengalaman ini bukanlah pertama kali bagi Syukri, kerana sejak di USIM lagi beliau tidak asing dengan misi kemanusiaan apabila terlibat dalam tiga misi Global International Student Outreach (GISO) USIM antaranya GISO ke Vietnam bersama Kor Suksis USIM pada tahun 2012, GISO ke Kemboja bersama Fakult Sains dan Teknologi (FST) pada tahun 2014 dan GISO ke Lubnan bersama Alumni FST USIM) pada tahun 2017. - KitaReporters/USIM