"SAYANGKAN anak-anak ditangan-tangankan.
Kalau sayang isteri apalah salahnya diberikan SKSSR"
ITU selalu ungkapan bila kita sebut pasal isteri dan anak-anak. Betapa kita sayangkan anak-anak sepatutnya kita dahulukan isteri @ ibu rumah tentang perlindungan kesihatan, keselamatan baik masa dalam rumah sementalah lagi bila berada di luar.
Jika suri rumah keluar beli barangan dapur di pasar hatta menghantar anak-anak ke sekolah, bayangkan setiap langkah mereka dilindungi oleh skim perlindungan untuk suri rumah. Mesti bangga anak-anak dan suami kan?
Bunyinya macam pelikkan? Apa pula SKSSR itu. Inilah yang Opah nak ngomel kali ini.
Bertuah.... Penerima Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR)
Hari Sabtu 28 September 2024, kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Rawang sekali lagi turun padang menyantuni suri rumah menerusi program penajaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang dijayakan bersama dengan Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan. Program itu berlangsung di Wisma SPCare Antara Gapi.
Yang hadir bukan saja penerima SKSSR malah ketua kampung, ahli majlis dan tetamu yang akan menjadi sebahagian jentera untuk memaklumkan kepada ahli kariah mengenai kepentingan mencarum dalam SKSSR.
Program yang pertama kali itu memberi peluang kepada 20 suri rumah mendapat SKSSR buat permulaan dan kata Dr Sathia, skim itu sangat menarik sebagai penghargaan kepada ibu-ibu yang selama ini dianggap 'tidak bekerja' tetapi sibuknya mereka menguruskan rumah tangga dari pagi sampai malam.
Lepas itu, mereka tidak banyak dapat sokongan malah tiada orang "nampak", katanya.
"Hulu Selangor ada 300,000 penduduk dan 20-25 peratus adalah wanita. Suri rumah ini keluar masuk rumah, hantar anak-anak ke sekolah, pergi pasar dengan memandu atau bermotosikal. Bayangkan jika berlaku malapetaka mana mereka nak dapatkan bantuan.
"Dalam skim ini mereka dapat pelbagai manfaat termasuk perubatan, hilang upaya, pengurusan mayat, elaun keuzuran dan paling penting ada pencen penakat yang sedikit sebanyak boleh meringan pewaris," katanya lagi.
Peserta dailog bertanya macam-macam soalan.
Dalam dailog yang diketuai Pengurus pejabat PERKESO Rawang, Khairul Mizan Md Said dan timbalannya, Muhammad Hanafi Che Abdullah mereka memberikan taklimat mengenai manfaat yang disediakan. Banyak sungguh manfaatnya untuk sekadar bayaran yang dikenakan bagi tempoh setahun itu.
Macam kata Fatin Nur Azira Osmera, jika berlaku kematian manfaat pengurusan jenazah ditambah menjadi RM3,000 dah tahun ni. Sejak SKSSR diperkenal pada 1 Disember 2022, kerajaan memberi tambahan RM1,000 lagi di bawah pengurusan mayat.
Pendek kata, tak rugi kita menabung ni sebab ada elaun keuzuran dan ada pencen penakat yang berjumlah RM300 akan dibayar sehingga suri rumah itu berusia 55 tahun.
Sejak dilancarkan sebanyak 100 kes dicatatkan berlaku dan setakat ini PERKESO sudah membayar RM146,079.613.
Sehingga kini ada 471,085 suri rumah seluruh negara sudah mencarum daripada jumlah itu, 420,439 mereka mendapat tajaan di bawah inisiatif kerajaan, E-Kasih untuk golongan B40.
Pegawai Skuad Prihatin PERKESO Rawang, Nur Akmaliza Md Hafizan meminta pengurusan masjid, ahli jawatankuasa kariah surau, persatuan penduduk dan sahabat sejiran agar menghubungi pihaknya jika mengetahui ada kematian membabitkan warga taman bagi memudahkan PERKESO mengesan individu itu layak menerima manfaat.
"Kita hanya perlu nombor kad pengenalan saja untuk mengesan kelayakan dalam PERKESO. Jika ada yang layak, dalam tempoh seminggu dua mereka sudah boleh mendapat bayaran faedah kematian.
"Manakala untuk faedah-faedah lain termasuk pencen penakat, ini tidak mengambil masa lama kerana jika dokumen sudah lengkap semua jadi mudah," katanya lagi.
Suri rumah pun satu profesion yang membina keluarga bahagia, kata Nur Akmaliza Md Hafizan.
Nur Akmaliza berkata PERKESO mahu setiap pewaris mendapatkan hak mereka. Ada kes itu katanya penerima itu tidak tahu dia layak menerima manfaat dan berlarutan selama 10 tahun.
Untuk sara hidup, waris buat pinjaman dengan along dan berdepan pelbagai isu hutang. Bila dapat tahu, PERKESO terus membantu dan alhamdulillah semua dapat diselesaikan dengan baik.
"Kita juga berdepan dengan kisah dan masalah. Apapun datang jumpa kami dulu supaya masalah itu diatasi bersama," katanya. - KitaReporters
Fatin Nur Azira Osmera.... Rugi kalau tidak mencarum kerana PERKESO sediakan macam-macam manfaat dengan kadar bayaran setahun sekali yang murah.
Sila-sila.... Jom mendaftar untuk SKSSR