Insan & Komuniti 12 Dec, 2024

Madani santuni penjaja! Lebih banyak pusat penjaja dibina! Hasrat jadikan Putrajaya Syurga Makanan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

TPr Fadlun Mak Ujud menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Pusat Penjaja Putrajaya Presint 15. - Gambar Faris Azmi PPJ


SEBUT saja tempat makan di Putrajaya, ramai pasti pernah mengunjungi restoran, kafe dan medan selera yang banyak tumbuh seperti cendawan selepas hujan. 

Tidak hairanlah, ramai pengunjung menggelarkan Putrajaya syurga makanan kerana sebut saja apa yang mahu makan, makanan Arab, Cina, Melayu, India, Barat dan ala-kampung, semua ada di pusat pentadbiran negara itu.

Bagi menambah keceriaan dan mempelbagaikan pilihan kepada pengunjung, Perbadanan Putrajaya (PPj) bekerjasama dengan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Kewangan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mewujudkan gerai penjaja di beberapa lokasi terpilih.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, berkata, selain Pusat Penjaja Presint 15, 9, 17 dan 18, pihaknya akan membangunkan konsep yang sama di Presint 5, 8 dan 11 di bawah program Lestari Niaga.

Fadlun melawat salah sebuah gerai penjaja selepas merasmikan Pusat Penjaja Putrajaya Presint 15. 


Beliau berkata, sebanyak RM2.5 juta diperuntuk oleh kerajaan bagi membangunkan empat Pusat Penjaja Putrajaya itu yang bermula pada Ogos 2023 membabitkan pembinaan 18 kios yang berkonsepkan "food  trailer" (treler makanan) lengkap dengan kemudahan memasak. Ia siap sepenuhnya Mei 2024 dan beroperasi sejak Ogos 2024. 

"Pembangunan Pusat Penjaja Putrajaya ini selaras dengan inisiatif Kerajaan Madani yang  menitikberatkan golongan penjaja agar dijaga dan disantuni selain disediakan tempat perniagaan yang teratur serta selesa bagi menggambarkan identiti Malaysia yang indah dan bersih.

"Perbadanan Putrajaya (PPJ) bersama JWP memindahkan peniaga di bawah Inisiatif Peniaga Kecil Sementara (PKS) dan Inisiatif Usahawan Muda Kota (UMK) yang kurang teratur sebelum ini kepada tapak kekal dan sistematik," katanya ketika merasmikan Pusat Penjaja Putrajaya Presint 15 dan Penyerahan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada Penjaja Putrajaya.  

Fadlun merasmikan Pusat Penjaja Putrajaya Presint 15 dan Penyerahan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada Penjaja Putrajaya. - Gambar Faris Azmi PPJ


Beliau berkata, dengan pengoperasian 18 kios di Pusat Penjaja secara dua sesi setiap hari memberi peluang lebih ramai penjaja untuk memanfaatkan kios ini bagi menjana pendapatan dengan kadar sewaan RM200 sebulan. 

"Ini memberi lebih banyak pilihan kepada orang ramai mendapatkan jenis makanan yang berbeza mengikut sesi apatah lagi kedudukan pusat penjaja itu bersebelahan jalan utama, sekali gus menjimatkan masa pembeli untuk singgah membeli secara ‘grab n go’.

"Saya  berharap  penjaja di Pusat Penjaja Putrajaya memanfaatkan peluang bagi meningkatkan kualiti cara kerja dengan beroperasi mengikut waktu dan tidak lagi seperti sebelum ini yang hanya menjaja dalam waktu singkat atau membuka dan menutup kios sesuka hati," katanya.  

Sehubungan itu, Fadlun memberi amaran, PPj akan mengambil tindakan berdasarkan kepada kontrak sewaan jika ada penjaja gagal mematuhi kontrak dan peraturan terpakai termasuk tidak memiliki lesen perniagaan dan gagal membuka operasi sebagaimana sepatutnya.   


Fadlun (empat dari kiri) bergambar kenangan bersama penjaja yang menerima Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sempena perasmian Pusat Penjaja Putrajaya Presint 15.


"Saya juga meminta penjaja lebih kreatif dan proaktif dalam menarik pelanggan termasuk memberikan perkhidmatan terbaik selain meningkatkan ilmu berkaitan yang boleh diperolehi dengan mudah dan percuma di hujung jari bagi memajukan perniagaan masing-masing.

"PPj bersama JWP juga dalam proses melaksanakan kerja-kerja naik taraf pusat-pusat penjaja, medan-medan selera serta kios-kios lain bagi menjadikannya lebih kondusif kepada peniaga dan pelanggan.

"Beberapa lot niaga, kios dan tempat makan baharu juga akan beroperasi awal 2025 iaitu Medan Selera Serambi 8 di Bazar@8, Presint 8, Laman Selera di Presint 6 dan kios di hadapan Kementerian Kewangan Presint 2 selain lot niaga berasaskan kopi di Jambatan Putra, Presint 1," katanya.

Sementara itu, JWP akan bekerjasama bersama agensi-agensi lain seperti Kementerian Kewangan dan Pepper Labs bagi mengenal pasti komuniti terpilih khususnya usahawan B40 menyertai program Dapur Digital dan memasarkan produk makanan mereka di platform digital seperti GrabFood, Shopee Food  dan FoodPanda.  

"PPj juga mengenal pasti dua lokasi di Pangsapuri Putra Damai Presint 11 dan Kompleks Pasar Awam Presint 16 bagi memulakan program ini, membabitkan lebih 50 peserta," kata Fadlun lagi. 



Selain itu, katanya bagi menyahut pelaksanaan Putrajaya Bandar Sihat, PPj melaksanakan Program Perkhidmatan Suntikan Pelalian Tifoid secara percuma kepada peniaga premis makanan dan minuman. 

Program itu menyasarkan 1,000 pengendali makanan di Putrajaya khususnya pekerja di makanan dan minuman di bawah seliaan PPj, membabitkan kos RM50,000.

"Saya  berharap penjaja  dan peniaga kecil Putrajaya serta pembantu yang belum mengambil suntikan demam kepialu atau tamat   tempoh untuk menyertai program ini," katanya.

Pada perkembangan lain, PPj menjalinkan kerjasama strategik bersama PERKESO melalui penajaan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) kepada penjaja yang terpilih.

Ini bagi membantu orang yang bekerja sendiri memperoleh perlindungan sosial yang mencakupi rawatan perubatan, rehabilitasi, latihan vokasional dan faedah tunai untuk orang tanggungan dalam kes kecederaan.

"Sebanyak 90 peratus caruman ditanggung oleh kerajaan melalui Geran Padanan Caruman yang diumumkan pada Belanjawan 2024 dan 10 peratus ditanggung oleh pencarum sendiri.

"Bagaimanapun, kerajaan Madani melalui PPj  bersetuju menaja 10 peratus caruman itu pada tahun pertama melalui inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) yang memberi manfaat kepada penjaja dan peniaga kecil di Putrajaya,termasuk mereka dalam program Lestari Niaga," katanya. 



Pihaknya mengenal pasti 230 daripada lebih 300 penjaja dan peniaga kecil disenarai pendek bagi dipertimbang untuk tajaan SKSPS ini iaitu mempunyai lesen aktif, tiada tunggakan sewa dan tiada perlindungan PERKESO.

"PPj  akan memberi tempoh kepada penjaja dan peniaga kecil yang tersenarai untuk memenuhi kriteria-kriteria berkenaan sehingga Disember 2024 bagi membolehkan mereka mendapat manfaat dari bantuan ini.

"Kami mungkin menjadikan caruman ini sebagai salah satu syarat wajib untuk memohon dan memperbaharui lesen perniagaan mereka pada masa akan datang," katanya. 

Beliau yakin dasar serta penyelesaian yang dirancang oleh kerajaan untuk manfaat rakyat perlu dilaksanakan melalui pembabitan bersama oleh semua pihak melalui pendekatan whole-of-nation seperti kerjasama strategik di antara JWP, PPj dan PERKESO.

"Segala  program  yang dilaksanakan JWP bersama agensi-agensi di bawahnya adalah sebahagian usaha ke arah menjayakan Visi Bandar C.H.A.S.E. Wilayah Persekutuan untuk kesejahteraan semua," katanya. - KitaReporters

11
7
0
14
0
You will be interested