TABIAT sesetengah pelajar di pusat pengajian tinggi swasta dan awam yang berlumba mengejar kemewahan, mahu bersosial berlebihan dan memperagakan diri sebagai kelas atasan, mendorong mereka mencari `penaja` iaitu khidmat sugar daddy.
Tidak kurang juga datang daripada keluarga susah, datang ke bandar raya untuk melanjutkan pelajaran, tiba-tiba terpalit dengan kejutan budaya kota raya. Ditambah jauh daripada pengawasan keluarga dan ada pula insan yang sudi menyara hidup, seronoklah mereka diulit kemewahan hidup dalam dunia baharu itu.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan sugar daddy:
https://kitareporters.com/search?search=sugar+daddy
Demikian kata Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jakim, Ustaz Kamarul Nizal Idris yang tidak menolak ada pelajar terpikat menjadi sugar babies kerana wang saku yang ditawarkan sangat lumayan itu diperolehi cara mudah dan cepat .
Beliau berkata demikian dalam program `Sugar Baby: Apa Kata Jakim` yang dihoskan Ustaz Hariri Mohamad Daud dan disiarkan secara langsung pada Selasa, 16 Februari 2021.
Menurut Ustaz Kamarul Nizal negara kita perlu menangani masalah ini dengan segera kerana ia merupakan kegiatan yang tidak bermoral dan bercanggah dengan hukum syarak.
Gelaran sugar daddy mula menjadi popular awal abad ke-19 apabila Adolph Spreckels, pewaris, pemilik gula jenama Spreckel berkahwin dengan wanita yang beza 24 tahun daripada dirinya dan isteri muda itu memanggilnya sebagai "Sugar Daddy".
Gambar hiasan
Difahamkan, setakat ini ada 180,000 sugar daddy dan 220,000 orang sugar baby ditaja kemewahan dengan balasan dambaan seks. Walaupun sebahagian besar pelajar itu bukan Islam tetapi Jakim melihat usaha pencegahan tetap perlu dilakukan.
Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melancarkan Pelan Tindakan Sosial yang menghimpunkan semua gejala sosial dalam satu jawatankuasa bertindak bersama agensi kerajaan. Ia bagi `memancung` gejala itu agar tidak terus `membusuk`.
Kepintaran dan ledakan maklumat yang tidak mampu disekat itu membuatkan mereka mudah melayari laman sesawang dan boleh memilih pelbagai aplikasi dating sugar daddy yang mulanya dianggap sebagai `suka-suka` tetapi akhirnya terjerut mereka ke lembah maksiat.
Ustaz Kamarul Nizal berkata Jakim sedang menerapkan elemen Maqasid Syariah ke dalam semua cabang pentadbiran negara dan kehidupan, berdasarkan dalil al-Quran dan As-Sunnah bagi menjaga nama baik agama Islam kepada nyawa, akal, nasab, dan harta benda.
Ini diakui seorang lagi komentar, Danial yang juga bekas yang dipertua pelajar pusat pengajian tinggi yang menyifatkan kegiatan songsang itu sebenarnya lebih kepada mempamerkan kehidupan mewah dan taraf sosial yang gah kerana kebanyakan pelajar itu sebenarnya mampu membayar yuran pengajian.
Pembongkaran itu sebenarnya satu`penggera` kepada kerajaan untuk mengawal atau mengharamkan laman sesawang kerana kegiatan itu melanggar Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.
Danial menyarankan Kementerian Pengajian Tinggi (KPTM) menilai semua silibus yang sekarang lebih mengejar kedudukan universiti daripada menambahkan kegiatan mengisi kerohanian pelajar.
"Ini bukan lagi perkara remeh kerana semua pihak harus melihat isu ini sebagai gejala merosakkan nama baik pelajar dan mencemarkan pusat pengajian tinggi." katanya yang turut meminta persatuan mahasiswa mengadakan program menerapkan nilai keagamaan kepada pelajarnya.
"Pihak universiti juga perlu menguar-uarkan bantuan kewangan pada pelajar susah bagi membolehkan mereka fokus pada pengajian." katanya.
Seorang penonton memberi komennya, menyifatkan nilai hidup seseorang bermula dengan didikan ibu bapa, kemudian ditokoh tambah jiran, sekolah dan rakan sebaya.
"Sekiranya ibu bapa lalai dan mengejar keduniaan, anak-anak akan longgar akidahnya," kata Zahra Ahmad.
Wang saraan sebagai bayaran balasan seks. - Gambar hiasan
Sebab itu sebagai agensi pelaksana, kata Ustaz Kamarul, Jakim perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pusat pengajian tinggi untuk mendidik, membimbing dan menyediakan khidmat nasihat, menangani semua isu berkaitan masalah sosial itu kerana percaya pencegahan lebih baik.
"Walaupun PKP, kami sentiasa ada KCentre iaitu khidmat kaunseling dalam talian dengan fasilaltor bersedia membantu bila-bila masa," katanya, sambil menasihatkan ibu bapa sentiasa menghubungi anak-anak yang sedang belajar untuk memastikan mereka sentiasa teringat niat asal belajar adalah membantu keluarga.
"Jangan ingat mereka dah dewasa kerana hidup di kota ini banyak cabaran. Ini baru dalam negara, belum lagi di luar negara.
"Sebaik-baiknya terapkan nilai jati diri dan pengisian agama sebagai benteng pada anak-anak agar tidak terjebak gejala negatif yang menjejaskan nilai murni orang Islam," katanya.
Ustaz Kamarul turut menegaskan seorang sugar daddy atau muncikari, germo, atau lelaki hidung belang berdepan dengan tindakan undang-undang di bawah akta jenayah syariah yang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau sebat tidak melebihi enam kali sebatan atau gabungan hukuman berkenaan.
Sementara itu seorang bernama azlynbalqis @lynfunkstar pada 16 Februari 2021 lalu memuat naik satu slogan baharu yang disebutnya: "Siapa yang perlukan sugar daddy jika anda dah ada syurga daddy."
Bagaimanapun muatan kedua menjelaskan aplikasi itu tidak wujud dan pelayar Twitter tak perlu memuat naik.
Ia sekadar suka-suka tetapi menimbulkan banyak komen orang ramai yang kagum dengan nama `baharu` kerana unik dan ada juga rasa `tertipu` selepas gagal mencari aplikasi itu. -KitaReporters