KETIKA ini di negara kita sedang panas isu berkaitan warga Rohingya. Rata-rata dalam media sosial, rakyat negara ini marah dengan etnik berkenaan dan mahukan mereka kembali ke negara mereka di Myanmar. : KitaReporters
Isu itu diburukkan lagi dengan kenyataan yang dikatakan dibangkitkan oleh Presiden Organisasi Hak Asasi Etnik Rohingya Mynamar di Malaysia (MERHROM), Zafar Ahmad Abdul Ghani yang bertegas mahu Malaysia menerima kehadiran bot pelarian etnik itu termasuk 202 orang yang diusir keluar oleh Tentera Udara Diraja Malaysia di laut berhampiran Langkawi pada 17 April 2020.
Malah, dikatakan Zafar Ahmad mahukan Malaysia mengiktiraf etnik itu sebagai penduduk Malaysia, namun beliau menyatakan semua itu adalah tuduhan palsu yang dikenakan kepadanya dan mengakui tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut melalui sebuah kenyataan akhbar pada 25 April 2020.
Isu berkenaan berlarutan sehingga Zafar Ahmad menerima ugutan bunuh melalui panggilan telefon sementara sebuah laman Facebook yang dikenali sebagai Jabatan Netizen Malaysia sering berbincang dengan memberikan fokus kepada isu tersebut ketika ini.
Isu itu semakin membara selepas seorang rakyat Myanmar berusia 36 tahun di Pasar Besar Kuala Lumpur, Selayang dijangkiti dengan penyakit Novel Coronavirus (Covid-19), namun meninggal dunia pada 18 April 2020 selepas dimasukkan ke Hospital Selayang, Selangor pada 17 April 2020 dengan keadaan yang sudah nazak dengan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).
Namun dalam sibuk masyarakat media sosial Malaysia membincangkan isu etnik Rohingya di negara ini, ramai yang tidak tahu bahawa Bangladesh sudah menyiapkan sebuah pulau dengan kemudahan tepat tinggal yang selesa dan lebih teratur berbanding kem pelarian yang daif di Kutupalong, Bangladesh.
Menurut seorang penyelidik sarjana kedoktoran Universiti Utara Malaysia, Nor Azizuddin Abdul Manan melalui akaun Facebooknya, kerajaan Bangladesh sebenarnya sudah menyediakan tempat yang lebih baik bagi membolehkan etnik itu berpindah dari kem pelarian di Kutupalong ke sebuah pulau yang dikenali sebagai Bhasan Char yang terletak di Teluk Benggala dekat Hatiya Upazila, Bangladesh.
Idea untuk mewujudkan penempatan etnik Rohingya di Bhasan Char oleh kerajaan Bangladesh muncul pada Jun 2015 dan mula dibina pada Januari 2017 sebenarnya untuk menempatkan gelandangan Bangladesh.
Awal tahun 20202, kerajaan Bangladesh menyatakan pulau berkenaan sudah boleh diduduki namun mendapat bantahan daripada ketua komuniti Rohingya dan kumpulan hak asasi manusia, namun pelarian di Kem Kutupalong tetap ingkar dan degil tidak mahu berpindah.
Ini berikutan mereka menyatakan Bhasan Char merupakan satu malapetaka hak asasi manusia dan misi kemanusian ekoran pulau yang hanya berusia 20 tahun itu kemungkinan boleh tenggelam jika tibanya musim monsun.
Apa pun kerajaan Bangladesh tetap bersungguh mahu memberikan kehidupan yang lebih baik bagi etnik Rohingya sehingga sanggup membina penempatan yang menarik, bersih dan teratur cukup dengan infrastruktur yang lebih baik berbanding kem pelarian di Kutupalong.
Pengembangan projek di pulau itu yang dinamakan sebagai Ashrayan-3 dengan menambah penempatan sehingga 100,000 buah rumah dengan benteng pemecah ombak ditinggikan antara 2.7 meter sehingga 5.8 meter bagi mengelakkan jika terjadinya banjir.
Malah rumah-rumah di penempatan itu juga dibuat secara kluster perkampungan dengan stesen perlindungan, infrastruktur saluran air selain pembinaan jalan raya yang membabitkan perbelanjaan sekitar 309.5 juta taka (RM15.90 juta).
Setiap rumah di Bhasan Char, pulau yang mempunyai keluasan 40 kilometer persegi mempunyai ketinggian sehingga 1.2 meter bagi mengelakkan rumah itu tenggelam jika terjadinya banjir yang sering terjadi pada musim monsun pada Jun hingga September setiap tahun.
Menurut Nor Azizuddin lagi, penempatan di Bhasan Char mampu menempatkan sehingga 240,000 pelarian Rohingya di 1,440 buah blok rumah yang turut dilengkapi dengan tandas, dapur dan ruang anjung serta bekalan elektrik secara solar.
“Oleh itu, kredit harus diberikan kepada kerajaan Bangladesh dalam memastikan hak-hak asasi pelarian Rohingya terbela dan mematuhi piawaian yang ditetapkan dalam protokol Konvensyen PBB bagi Pelarian 1951 (Protokol 1967).
“Walaupun pada hakikatnya Bangladesh tidak menandatangai atau meretifikasikan Konvensyen Geneva Bagi Pelarian 1951. Tindakan Kerajaan Bangladesh ini didorong dengan semangat ihsan dan kemanusiaan,” tulisnya.
Namun kata beliau, dalam satu tinjauan yang dibuat oleh Badan Pengawasan Pelarian Bangladesh seperti dilaporkan di dalam portal DW News pada 3 September 2019, rata-rata pelarian Rohingya berkeras tidak mahu berpindah ke Pusat Penempatan Pelarian Rohingya Bhasan Char dan mereka mahu kekal di Kem Pelarian Kutupalong yang sudah sarat dengan 720,000 pelarian Rohingya (596,306 orang menurut UNHCR).
“Kasihan sebenarnya kepada Kerajaan Bangladesh, pusat tersebut dibina untuk rakyat mereka yang hidup bergelandangan tetapi terpaksa ditukar menjadi pusat penempatan pelarian Rohingya.
"Ibarat ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” katanya lagi. - KitaReporters