Insan & Komuniti 25 Apr, 2020

NAK BELAJAR?? JANGAN RISAU CIKGU MIE KAN ADA

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this
BUKAN semua pelajar dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian (online) seperti mana yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika penularan wabak pandemik COVID-19 di Malaysia. Keadaan lebih serius jika membabitkan kawasan pedalaman dan kemiskinan pelajar itu sendiri. Tidak terkecuali kalangan masyarakat Orang Asli yang kebanyakannya hidup dalam serba kekurangan. : KitaReporters

Kredit foto-foto dan sumber berita dikongsi bersama Mahathir Ali dari Unit Komunikasi Dan Media Pahang (UKOMP)
Sesi persekolahan masih lagi belum dibuka selepas tamat cuti penggal pertama persekolahan (14 - 22 Mac 2020) dan ditangguhkan sehingga dimaklumkan oleh kerajaan pusat bila akan dibuka semula. 

Ketika ini, semua murid masih bercuti tetapi pada masa sama mereka berpeluang mengikuti kelas secara online yang dibuat oleh guru masing-masing.

Bagaimanapun, bukan semua pelajar dapat berbuat demikian. 

Tiada akses Internet di kawasan mereka. Telefon bimbit pun tiada apatah lagi komputer atau komputer riba. Tetapi, semangat untuk belajar tetap ada. 

Kepayahan hidup bukan halangan!! 
Seorang guru berhati mulia terpanggil membantu 13 anak muridnya dalam kalangan Orang Asli sehingga sanggup meredah perjalanan sejauh 15 kilometer dengan menunggang motosikal semata-mata untuk menghantar bahan pelajaran kepada anak murid kesayanganya yang menetap di Kampung Simpai dan Bukit Kelepong, Bebar, Pekan.



Walaupun terpaksa melalui jalan berbatu dan jauh di kawasan pedalaman ianya tidak mematahkan semangat guru berkenaan, Mohamad Sahaimi Zainal, 43, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mie untuk memastikan anak muridnya dari Sekolah Kebangsaan (SK) Simpai itu untuk terus mendapatkan bahan pelajaran bagi memudahkan mereka buat ulang kaji di rumah.
Cikgu Mie berkata dia terpaksa mengambil inisiatif membuat sendiri bahan pelajaran itu kerana tidak mahu anak-anak muridnya ketinggalan dalam pelajaran.
Guru Pelita Hidup
Beliau yang juga Guru Penolong Kanan (GPK) Kokurikulum di SK Simpai berkata, dia memahami anak-anak muridnya  itu agak sukar untuk mendapatkan bahan pelajaran ketika ini terutama melalui online yang memerlukan penggunaan Internet kerana talian Internet di kawasan itu agak perlahan

Tambahan pula kebanyakan keluarga murid tersebut tidak mempunyai telefon pintar yang mendapat capaian Internet.



“Jadi, saya mengambil inisiatif membuat sendiri bahan pelajaran seperti kertas menjawab soalan, menulis karangan, matematik dan sains, mewarna dan sebagainya. 

"Saya juga memberi soalan berkaitan COVID-19 yang perlu mereka cari jawapan dan rujuk kepada risalah COVID -19 dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang saya bawa ke kampung dan sampaikan kepada keluarga mereka.
"Saya tetap amalkan arahan kerajaan seperti kerap mencuci tangan, penjarakan satu meter dan pakai penutup mulut ketika menghantar bahan mengajar.
“Ini merupakan kali kedua sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini saya menghantar bahan pelajaran untuk mereka.

"saya juga ke sini bagi membantu pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) Bebar, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam misi menghantar bekalan makanan kepada rakyat di sini terutama masyarakat Orang Asli yang terkesan COVID-19.

“Saya  dapati murid-murid ini tidak sabar untuk ke sekolah semula.

"Ramai antara mereka asyik bertanyakan bila boleh pergi sekolah, sekali gus menjelaskan situasi bahawa mereka sudah tidak sabar untuk kembali ke sekolah untuk belajar dan bertemu semua rakan-rakan," katanya semasa ditemui pada 17 April 2020.

Cikgu Mie sememangnya seorang yang dikenali ramai penduduk disitu kerana sentiasa berusaha membantu masyarakat terutamanya Orang Asli. 
Sikap dan semangat yang ada pada Cikgu Mie haruslah dijadikan contoh terutamanya buat guru-guru baru. Kasih sayang pada anak muridnya tiada tolok bandingnya. 
Semoga Cikgu Mie terus maju dan berjaya. - KitaReporters
1
0
0
0
0
You will be interested