Insan & Komuniti 06 Apr, 2021

Suntikan vaksin COVID-19 syarat baharu bagi Ramadan 1442! Untuk solat di Masjidil Haram, Nabawi

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this

Rakyat tempatan dan mereka yang tinggal di Arab Saudi kerana bekerja atau belajar diwajibkan membuat suntikan vaksin imunisasi COVID-19 untuk solat dan umrah di Masjidil Haram, Mekah pada Ramadan 1442 Hijrah / 2021 Masihi. Kredit foto:  FB Haramain Sharifain, dan Saudi Gazette.


Tindakan mewajibkan suntikan vaksin COVID-19 untuk setiap jemaah yang ingin melakukan ibadat umrah dan solat di Masjidil Haram, Mekah dan Masjidil Nabawi di Madinah, Arab Saudi sepanjang Ramadan 2021 Masihi / 1442 Hijrah adalah sebagai langkah ke arah menjaga kesihatan serta keselamatan jemaah semasa beribadat.

Selain itu, ia juga sebagai usaha proaktif Kerajaan Arab Saudi dalam tindakan meningkatkan gerakan pencegahan virus berbahaya itu dalam kalangan rakyat dan penduduk pemastautin di negara berkenaan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Mekah



Satu syarat baharu diumumkan oleh Kerajaan Arab Saudi pada Isnin, 5 April 2021 yang mewajibkan semua rakyat tempatan dan penduduk yang tinggal di negara itu wajib mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 terlebih dahulu sebelum dibenarkan melakukan ibadat umrah dan solat di dua masjid suci Haramain iaitu Masjidil Haram di Mekah dan Masjidil Nabawi di Madinah pada Ramadan 2021 ini.

Syarat tersebut terkandung dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang dipetik laporan oleh cournaijannews.com daripada agensi berita AFP pada Isnin 5 April 2021 yang menyatakan tiga kategori individu diberi kebenaran untuk tujuan tersebut.

Hanya individu yang ada suntikan imunisasi vaksin COVID-19 diberi kebenaran melakukan ibadat umrah dan solat di dua masjid suci Haramain iaitu di Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi sepanjang Ramadan tahun 2021 ini.


Untuk solat di Masjidil Nabawi di Madinah juga, para jemaah perlu terlebih dahulu melakukan suntikan imunisasi vaksin COVID-19 dan jika gagal tidak dibenarkan untuk melakukan ibadat solat dan ziarah Makam Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat baginda serta ziarah Raudah.


Syarat baharu ini dikenakan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada rakyatnya dan kepada mereka yang tinggal bekerja atau belajar di negara berkenaan dalam usaha ke arah meningkatkan pencegahan penularan wabak berbahaya lebih efektif dalam kalangan jemaah umrah dan solat.

Mereka yang layak diberikan kebenaran ialah individu yang sudah menerima suntikan kedua-dua dos vaksin, mereka yang sudah melepasi tempoh 14 hari pengambilan dos pertama dan bekas pesakit COVID-19 yang sudah sembuh sepenuhnya dalam jangka masa enam bulan.

Bagaimanapun kementerian berkenaan tidak menyatakan dengan jelas berapa lama syarat tersebut dilaksanakan bermula pada 1 Ramadan 1442 Hijrah ,pertengahan bulan April 2021 ini atau akan dilanjutkan hingga musim haji 2021 bakal bermula pada Julai 2021.    


Setiap kali datangnya Ramadan sekitaran Masjidil Haram di Mekah Al Mukaramah akan dihias dengan lebih indah daripada biasa sebagai tanda kesyukoran menyambut ketibaan bulan mulia berkenaan.


Dalam pada itu beberapa maklumat mengenai umrah dan Ramadan turut diberikan diberikan oleh kementerian berkenaan. Antaranya mengenai tempahan slot umrah Ramadan akan dilancarkan pada Khamis, 8 April 2021 melalui aplikasi Tawakkalna bagi memastikan tempahan memenuhi syarat kelayakan.

Slot tempahan umrah Ramadan mengandungi tiga peringkat iaitu slot sebulan. Bagi slot mingguan pula akan ada hari tertentu setiap minggu (biasanya hari Khamis) dibuka tempahan dalam minggu itu sahaja kemudian ditutup.

Manakala untuk slot harian, setiap hari dalam waktu tertentu (biasanya jam 12 tengah hari) akan dibuka tempahan slot jika ada kekosongan disebabkan ada permit-permit yang dibatalkan atau terbatal dari sistem dan sebagainya.


Masjidil Haram di Mekah (kanan) dan Masjidil Nabawi di Madinah (kiri) mengenakan syarat kepada setiap jemaah supaya melakukan suntikan imunisasi vaksin COVID-19 untuk umrah dan solat sepanjang Ramadan tahun 2021 ini.


Umrah Ramadan tahun 2021 ini hanya dibenarkan sekali sahaja bagi rakyat tempatan dan penduduk pemastautin di Arab Saudi.

Kementerian itu juga berkata, prosedur untuk mendapat kebenaran ibadat umrah dan solat di dua masjid suci Haramain mestilah melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna dengan menempah slot waktu yang sesuai.

Manakala kebenaran tempahan slot yang sah dibuat melalui akaun pemegang permit pemohon melalui aplikasi Tawakkalna. Tujuannya untuk mengelakkan orang ramai dari tertipu dengan kempen laman web palsu.

Sehingga ini, sejumlah lebih 393,000 individu dilaporkan dijangkiti dengan virus COVID-19 di Arab Saudi dan dari jumlah itu, 6,700 kes kematian direkodkan.

Kementerian kesihatan juga setakat ini telah memberikan lebih 5 juta dos vaksin di negara itu yang mempunyai lebih 34 juta orang penduduk. - KitaReporters


Makam Nabi Muhammad SAW bakal menjadi tumpuan kunjungan ramai sepanjang Ramadan tahun 2021 ini. Bagaimanapun hanya mereka yang sudah melakukan suntikan imunisasi vaksin COVID-19 dibenarkan masuk ke Masjidil Nabawi.

0
0
0
0
0
You will be interested