Insan & Komuniti 11 Jun, 2021

SPM 2020: Anak pengusaha aiskrim, pengawal keselamatan peroleh 9A! Jadi kebanggaan keluarga!

@fatimah itayah
Mula ceburi dunia kewartawanan sebagai wartawan akhbar. Masih banyak perlu dipelajari!

Share this

Nur Amalia Aqilah Mohd basri (kiri) dan Nurul Asyiqin Yusof Pauzi


ANAK pengusaha aiskrim dan pengawal keselamatan antara pelajar cemerlang di daerah Hulu Terengganu memperolehi 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang keputusannya dikeluarkan pada hari ini, Khamis 10 Jun 2021.

Nur Amalia Aqilah Mohd Basri, 18, dari Kampung Binjai Kertas merupakan anak ketiga dari tujuh beradik bagi pasangan Mohd Basri Yusof, 53, dan Nazmiah Ghazali, 49, yang mengusahakan aiskrim sebagai sumber rezeki buat keluarga.

Manakala, Nurul Asyiqin Yusof Pauzi, 18, anak kepada seorang pengawal keselamatan bertugas di Pusat Kegiatan Guru Kuala Berang iaitu Yusof Pauzi Mat Hashim, 50, dan suri rumah, Rusnani Abd Rahman, 45, yang tinggal di Kampung Kuala Dura.


Lagi ceritra-cerita menarik berkaitan peperiksaan SPM

Nur Amalia Aqilah (tengah) menunjukkan keputusan SPM 2020 diperolehnya di hadapan rumah mereka di Kampung Binjai Kertas, Hulu Terengganu


Menurut Nur Amalia Aqilah, melihat kesukaran ibu bapanya mencari rezeki demi keluarga terutama sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 membuatkan dia nekad belajar bersungguh-sungguh.

Dia yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Agama Mahmudiah Kuala Berang berkata kejayaan itu bukan usaha dirinya seorang tetapi dengan izin-Nya, berkat doa dan restu ibu bapa, semua guru yang mendidiknya serta kawan-kawan.

"Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah  dan Pentaksiran Tingkatan Tiga saya sebelum ini tidak begitu cemerlang.  Keputusan SPM ini sekurang-kurangnya dapat tebus kekecewaan, sekali gus banggakan keluarga.

“Walaupun SPM 2020 dilalui dalam suasana berbeza kerana Covid-19, namun saya bernasib baik kerana tinggal di asrama sekolah. Sebelum peperiksaan segala persiapan dapat berjalan lancar sehingga ke hari terakhir SPM,” katanya kepada KitaReporters.


Nur Amalia Aqilah (kanan) merakam gambar kenangan sewaktu membantu ibu bapanya menyediakan perkhidmatan aiskrim dalam satu majlis


Menyentuh cerita di sebalik kejayaannya itu, Nur Amalia Aqilah berkata, selain bangun awal pagi untuk mentelaah pelajaran dia juga akan luangkan masa membaca al-Quran sekurang-kurangnya enam muka surat sehari.

"Saya belajar seperti kawan-kawan lain juga, apabila ada yang tidak faham terus bertanya pada guru dalam kelas. Sewaktu tempoh Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) juga saya lakukan hal sama kerana capaian internet di rumah kurang baik,” ujarnya yang ingin bergelar seorang guru.



Sementara itu, Yusof berkata kejayaan anaknya, Nurul Asyiqin yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenagur itu benar-benar membuatkannya terharu apatah lagi sekolah itu terletak di kawasan pedalaman.

“Ibu bapa mana tidak gembira lihat anak-anak berjaya. Saya bersyukur kerana anak bongsu saya ini berjaya buktikan anak-anak yang bersekolah di kampung juga mampu berjaya dan semua ini juga hasil pengorbanan guru-guru.

“Terdapat seorang lagi yang peroleh 9A di SMK Jenagur iaitu Mas Syafikah Atira Musa. Saya berharap kejayaan dalam SPM ini jadi permulaan untuk anak saya lebih berjaya pada masa akan datang dan capai cita-cita untuk bergelar guru,” ujar bapa dua anak ini. -KitaReporters

79
11
0
0
2
You will be interested