NAMA Anita Bikers Club tentunya tidak begitu asing terutama dalam kalangan peminat dunia permotoran apatah kelab ini banyak melaksanakan program kebajikan ke seluruh Malaysia dengan pendekatan tersendiri.
Namun, di sebalik usaha berterusan membantu mereka kurang bernasib baik serta kembara demi kembara prihatin bagi membawa mesej kemasyarakatan, mungkin ramai belum ketahui Presidennya, Anita Yusop, 53, ‘bergelut’ melawan penyakit tumor otak.
Walaupun ketumbuhan dalam otaknya sudah berjaya dikeluarkan melalui satu pembedahan, namun ia bukan jaminan pulih sepenuhnya kerana kemungkinan tumor tumbuh semula tetap ada dan bagi Anita kini dia menikmati peluang kedua kehidupan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan tumor otak
Anita (tiga dari kanan) menerusi Anita Bikers Club banyak mengadakan aktiviti kemasyarakatan termasuk kunjungan ziarah. - Kredit foto: FB Ern
Setelah disahkan menghidap tumor otak tahap dua pada
tahun 2019 lalu, terus terlintas di fikirannya siapa akan menjaga ibunya, Masmah Azid yang sudah uzur serta dua
anaknya, Nur Zahirah Alisya Md Nor, (kini 19) dan Nur Zahnita Alia (18) andai
ditakdirkan dirinya dijemput Ilahi kerana penyakit itu.
Keliru dan seakan tidak percaya! Itu antara perasaan yang bergelora dalam hatinya, apatah lagi Anita juga turut terpengaruh dengan stigma bahawa pesakit kanser tidak mempunyai harapan untuk sembuh dan hanya akan berakhir dengan kematian.
Anita bersama dua anak perempuannya, Zahnita (kiri) dan Zahirah. - Kredit foto: FB Anita Yusop II.
“Saya bertanya kepada diri sendiri, mengapa saya perlu
lalui ujian berat ini? Pelbagai perkara bukan-bukan mula difikirkan dan saya
sukar terima kenyataan menghidap penyakit ini kerana saya seorang wanita aktif,
terbabit dalam pelbagai aktiviti jelajah motosikal serta khidmat masyarakat.
“Gejala sudah dirasai sebelum ini sejak tahun 2018 seperti kerap sakit kepala, tidak boleh berdiri terlalu lama kerana tubuh mudah terasa lemah. Namun, saya sekadar sangka ia mungkin kerana terlalu kuat bekerja sehingga tidak dapat rehat yang cukup.
“Segalanya tanggapan saya berubah setelah pulang daripada Program Borneo Ride (Jelajah Borneo) pada Julai 2019 setelah saya dimasukkan ke Hospital Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) setelah alami sakit kepala kronik,” katanya.
Anita (kanan sekali) bersama anggota ekspedisi bermotosikal jelajah Borneo pada 2019. - Kredit foto: FB Anita Yusop II.
Menurut Anita, dia kemudiannya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan doktor menghidap tumor otak tahap dua, sekali gus membuatkan dirinya merasa kehidupan bakal dilaluinya penuh kegelapan.
Anita cuma ada dua pilihan, sama ada melakukan pembedahan
atau hidup bersama tumor dengan menderita kesakitan sepanjang hayat dengan
pelbagai kemungkinan lain boleh berlaku termasuk lumpuh.
Namun, kedua-dua pilihan yang ada tetap sukar kerana risiko selepas menjalani pembedahan tetap ada sehinggakan pada awalnya Anita enggan berbuat demikian.
“Setelah berfikir panjang, saya bersetuju turunkan tanda tangan untuk dibedah. Hanya Allah SWT sahaja mengetahui perasaan ketika itu, perjuangan antara hidup dan mati tapi saya tidak punyai begitu banyak pilihan.
“Ketakutan menguasai diri kerana sedar bekalan yang bakal dibawa ke sana belum mencukupi atau dalam erti kata lain belum sedia hadapi kematian. Saya hanya mampu tawakal, serahkan diri sebulat-bulatnya pada Sang Pencipta.
“Saya juga berdoa semoga Allah SWT berikan peluang untuk terus hidup. Ketika menuju ke dewan pembedahan, suara hati saya berbisik semua yang hidup akan mati walau bagaimana caranya dan jika belum sampai masa ditetapkan-Nya saya tidak akan tinggalkan dunia ini lagi,” ujarnya.
Anita dan ibunya, Masmah Azid. - Kredit foto: FB Anita Yusop II.
Ternyata janji Allah SWT itu benar! Pembedahan dijalankan itu berjaya sekali gus Anita melepasi ‘ujian’ dan meskipun semua itu bukan jaminan telah pulih sepenuhnya namun dia kini menikmati peluang kedua kehidupan dengan penuh rasa kesyukuran serta positif.
“Kemungkinan tumor kembali tumbuh tetap ada. Jadi, saya perlu terus jalani rawatan dan pemantauan berkala. Kesan penyakit itu juga masih ada termasuk alami masalah penglihatan.
“Saya sentiasa cuba berfikiran positif dalam semua perkara dan elakkan diri daripada berasa tertekan atau stres. Lakukan perkara yang boleh menggembirakan, saya akan tetap teruskan aktiviti diatur terutama melalui Anita Bikers Club.
“Kesakitan dialami sebenarnya bukan sahaja satu ujian tapi peringatan untuk kita terus dekatkan diri kepada-Nya. Sebalik kesibukan aktiviti duniawi, saya juga ingin mendekatkan diri kepada Sang Pencipta yang memberi peluang kedua hidup ini,” katanya.
Figura ini juga mengharapkan semua penghidap kanser agar sentiasa berfikiran positif dan tidak mudah berputus asa kerana penyakit bukanlah pengakhiran sebuah kehidupan. - KitaReporters
Anita menganggap penyakit tumor otak dihidapinya sebagai ujian dan peringatan daripada Allah. - Kredit foto: FB Anita Yusop II.
Anita mengharapkan mereka yang menghidap kanser dapat sentiasa berfikiran positif dan elakkan dari terlalu rasa tertekan atau stres. - Kredit foto: FB Anita Yusop II