Insan & Komuniti 21 Feb, 2021

Ramadan hampir tiba! JEMBARA serah al-Quran, surah Yasin baharu ganti yang rosak sebab banjir

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Sumber: Gambar internet


KEJADIAN banjir teruk yang melanda sebahagian besar negeri Pahang pada awal tahun 2021 ini mengundang pelbagai cerita duka kepada mangsa yang terbabit. Rumah, sekolah, masjid, surau, kedai dan ladang dan kebun tanaman banyak yang rosak. Ada yang musnah 100 peratus. Proses untuk membaik pulih boleh makan masa bertahun-tahun.

Tiada siapa menjangkakan kejadian banjir yang berlaku di Pahang pada Januari 2021 ini membabitkan jumlah kerugian yang amat tinggi nilainya. Ini termasuk 55 masjid dan 33 surau di daerah-daerah dilanda banjir besar itu termasuk Temerloh, Maran, Mentakab, Kuala Krau, Jengka, Bera, Kuantan dan Pekan.


Lagi kisah-kisah duka berkaitan banjir besar:

https://kitareporters.com/search?search=banjir+besar


Sumber: Sinar Harian


Amat menyedihkan apabila melihat banyak masjid dan surau mengalami kerosakan struktur dan kelengkapan termasuklah al-Quran dan surah Yasin akibat musibah banjir tersebut.

Terkesan dengan situasi luar jangkaan itu, Kelab Jemaah Kembara Al-Falah (JEMBARA) Kuantan telah menganjurkan kempen wakaf al-Quran bagi mengumpul naskah berkenaan sebelum diagihkan kepada masjid dan surau yang mengalami kerosakan itu. Bantu setakat yang termampu.


Penyerahan naskah al Quran dan surah Yasin kepada JAIP di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP). 


Pengerusi Kelab Jemaah Kembara Al-Falah (JEMBARA), Abdul Rahim Othman

Pengerusinya, Abdul Rahim Othman berkata, pihaknya mengambil masa 10 hari (mulai 2 hingga 11 Februari 2021) dan berhasil mengumpul lebih 8,000 naskhah al Quran dan surah Yasin dalam kalangan jemaah dan ahli Masjid Sungai Isap Jaya dan Masjid Al-Falah Sungai Isap serta penduduk setempat.

"Kami rasa sebak apabila melihat banyak al-Quran dan Yasin rosak yang disaluti lumpur sewaktu melakukan gotong-royong membersih masjid dan surau selepas dilanda banjir baru-baru ini.

"Jadi, kami terfikir untuk menganjurkan kempen wakaf al-Quran dalam kalangan jemaah dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sungai Isap Jaya," katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Al-Quran dan Surah Yasin di Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP),  Kuantan pada 17 Februari 2021.

Katanya, 3,000 naskah al-Quran dan 5,000 surah Yasin itu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sebelum diagihkan kepada masjid dan surau yang dilanda banjir teruk itu.

"Kita terikat dengan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan serahkan kepada JAIP untuk buat agihan dan penyerahan di masjid dan surau terbabit," katanya.


Surah Yassin yang diserahkan kepada JAIP oleh JEMBARA hasil sumbangan orang ramai.

Sementara itu, Pengarah JAIP Datuk Dr Zulkifle Ali, berkata sumbangan itu akan diagih dan diserahkan kepada 55 masjid dan 33 surau yang mengalami kemusnahan  akibat ditenggelami banjir besar. 

"Semoga usaha murni ini dapat membantu masyarakat terutama di masjid-masjid ditenggelami banjir yang kebanyakan al-Qurannya rosak dan musnah. Dengan bantuan dan sokongan ini dapat mudahkan mereka guna balik al-Quran menggantikan naskah yang musnah akibat banjir," katanya.

Zulkiflie juga berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan RM10,000 dan RM5,000, masing-masing kepada masjid dan surau bagi tujuan membaik pulih kerosakan yang dialami.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kerajaan 

Pahang turut membantu untuk membaiki kerosakan di masjid dan surau terbabit.

"Jumlah anggaran peruntukan untuk membaiki kerosakan belum diterima dan perlaksanaan kerja akan ditentukan Pejabat Daerah dan Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya.

Yang rosak akan dibaiki dan yang hilang akan diganti. Semoga usaha ini dapat diteruskan daripada semasa ke semasa dan lebih banyak pihak tampil membantu bagi menyegerakan usaha baik pulih rumah Allah ini menjelang kedatangan Ramadan tidak lama lagi. - KitaReporters


Bungkusan yang mengandungi naskah al Quran dan surah Yassin yang bakal diagih dan diserahkan kepada semua masjid dan surau yang mengalami kemusnahan teruk akibat banjir baru-baru ini.

3
1
0
0
0
You will be interested