'MR. #1derful' Paul Orndorff (kanan) bersama pengurusnya, Bobby 'The Brain' Heenan. - Kredit foto: WWE
"SAUDARAKU, andalah yang paling lasak. Kita berlatih bersama, kita mengembara bersama. Anda cemerlang, kawan. Saya sungguh sedih, saya menyayangi anda selama-lamanya," kata The Iron Sheik, bekas juara World Wrestling Federation (WWF) 1983.
"WWE (World Wrestling Entertainment, nama asal WWF) berdukacita dengan berita pemergian selama-lamanya Ahli Dewan Terbilang WWE, 'Mr. Wonderful' Paul Orndorff pada usia 71 tahun. WWE mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan mendiang," tulis Twitter WWE.
"Sangat sedih mendengar berita ini. Saya sentiasa seronok bekerja dengan Paul. Dia seorang rakan karib saya dan anak saya, Garett. Kami berkongsi detik-detik kenangan di luar bisnes gusti," menurut bekas Naib Presiden Eksekutif World Championship Wrestling (WCW), Eric Bischoff.
"Baru mendapat tahu berita Paul Orndoff, saudara saya, sayangi dan berterima kasih dengan kamu kerana sentiasa membuatkan saya bertarung untuk segala-galanya dalam pertarungan kita," kata bekas juara dunia WWE/WWF dan WCW, Hulk Hogan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan gusti
PAUL Orndorff ketika zaman kemuncaknya dalam gelanggang WWF era 80-an. - Kredit foto: wrestleview.com
PAUL dinobatkan Ahli Dewan Terbilang WWE 2005. - Kredit foto: WWE
Punca kematian Orndorff, bekas juara Televisyen Dunia dan beregu dunia dua kali WCW, tidak diperoleh namun anaknya, Travis Orndorff yang memaklumkan berita berkenaan menerusi laman Instagram pada Isnin, 12 Julai 2021.
Pada Mei 2021 lalu, mendiang didedahkan anaknya itu, menderita penyakit dementia akibat gegaran dan kecederaan otak serta kecelaruan mental dan ingatan kerana bergusti.
Paul Parlette Orndorff Jr. (nama sebenar mendiang) dilaporkan sebuah laman berita gusti profesonal Ten Bell Salute, meninggal dunia di Fayetteville, Georgia namun kerap dicanangkan di gelanggang berasal dari Brandon, Florida.
Anak jati Winchester, Virginia, Amerika Syarikat berketurunan Jerman yang dilahirkan pada 29 Oktober 1949 ini juga dikatakan antara karyawan jalan cerita hebat 'rampasan kuasa' pakatan New World Order (nWo) dalam WCW.
SENGKETA 'Mr. Wonderful' Paul Orndorff (kanan) dan Hulk Hogan berjaya meraih perhatian dan pengiktirafan pemerhati gusti pro. - Kredit foto: rasslin' history 101
Karier gusti pronya berlangsung dari 1976 hingga 2000 dan sebelum itu, pernah terbabit dengan bola rempuh (American football) pro dengan Liga Bola Rempuh Dunia (WFL).
Orndorff menjadi penggusti berwatak jahat (heel) ketika menentang Hogan dalam pertarungan beregu kemuncak WrestleMania pada 31 Mac 1985 di Madison Square Garden, New York, Amerika Syarikat namun nasibnya sentiasa malang kerana kempunan kejuaraan WWF atau Antara Benua mahupun beregu.
Mr. Wonderful bergandingan dengan Rowdy Roddy Piper dalam pertarungan tag team itu, manakala bintang siri TV popular ‘The A Team’ atau Clubber Lang dalam filem ‘Rocky III’, Mr. T menjadi pasangan Hulk.
HENTAKAN pancang (piledriver) menjadi penangan penyudah kegemaran Paul Orndorff malah diubah suai The Undertaker menjadi 'Pacakan Nisan' (Tombstone). - Kredit foto: WWE
Siri perseteruan dengan Hogan ini membawa Orndorff memenangi tiga anugerah anjuran sebuah majalah gusti profesional terkenal, Pro Wrestling Illustrated seperti ‘Pertarungan Terhebat 1985’, ‘Penggusti Paling Dibenci dan ‘Sengketa Sengit 1986’.
Bersama ‘Pretty’ Paul Roma, Orndorff pernah menyandang gelaran beregu dunia WCW dua kali pada 17 Julai dan 23 Oktober 1994 dengan menggelar gandingan mereka sebagai Pretty Wonderful selain muncul juara Televisyen Dunia WCW.
Dia juga dinobatkan sebagai Ahli Dewan Terbilang World Wrestling Entertainment (WWE) pada 2005.
Namun beberapa tahun kemudian, dia gagal dalam tuntutan saman sejumlah besar bekas penggusti terhadap WWE yang didakwa punca kecederaan serius mereka di Mahkamah Agung, April 2021 lalu yang turut menolak rayuan mereka untuk menimbangkan semula keputusan.
Bertubuh sasa dan berotot pejal seperti ahli bina badan, Orndorff juga pernah menceburi karier bola rempuh pro dengan Liga Bola Rempuh Dunia (WFL) sebelum menjalani latihan pesat ke kancah gusti.
Orndorff bersara kali pertama secara beransur-ansur daripada gusti pada 1995 akibat kecederaan dan beralih karier di belakang pentas sebagai ejen WCW. - KitaReporeters