Insan & Komuniti 08 Jun, 2022

Terima kasih, selamat jalan Uncle Freddy! Negara hilang permata! Skuad pertama hoki ke Olimpik!

@adzin naim mohammad
Penulis merupakan pelajar lepasan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Komunikasi Penyiaran. Berpengalaman dalam bidang kewartawanan, pengacaraan, penulisan skrip dan fotografi. Penulis juga merupakan seorang tutor yang mengajar dalam subjek Matematik dan Bahasa Melayu.

Share this


BEKAS pemain hoki kebangsaan Wilfred "Freddie" Vias meninggal dunia, semalam, 7 Jun 2022, kira-kira jam 1.45 petang di rumahnya di Petaling Jaya.

Menghembus nafas terakhir pada usia 93 tahun, kematian Freddy turut disahkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi satu perkongsian dalam akaun Facebooknya.

Perginya seorang pemain hoki legenda negara yang banyak memberi sumbangan dalam meningkatkan dan menaikkan sukan hoki ke persada dunia sudah pasti dirasai kehilangannya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sukan hoki

"Freddy adalah contoh terbaik kepada kita semua" - Sri Shanmuganathan


Freddie atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Freddy’ merupakan salah seorang pemain utama yang membantu skuad negara (Persekutuan Tanah Melayu) untuk membuat penampilan sulung pada Olimpik 1956 di Melbourne

Beliau juga merupakan pemain pasukan kebangsaan pada era 1950-an serta kapten pasukan pada 1954.

Selain itu, Freddy juga dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Hoki Johor pada 1950 hingga 1953 dan Setiausaha Persatuan Hoki Negeri Sembilan pada 1956 hingga 1957.

Beliau memainkan peranan penting dalam perkembangan sukan-sukan di Malaysia menerusi pelbagai jawatan ketika berkhidmat dengan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan iaitu sebagai Pegawai Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri (1966-1970), Pegawai Bahagian Sukan (1972-1980), Pengarah Sukan (1980-1981) dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (1 April 1981 hingga 31 Dis 1981).

Pencapaian Freddy turut diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran MOM pada 2004 sempena sumbangannya dalam pembangunan sukan di Malaysia, selain pernah dipilih sebagai salah seorang daripada 80 orang pembawa obor untuk Larian Berganti-ganti Obor Olimpik yang diadakan sempena Olimpik Beijing 2008 pada 21 April tahun sama.



MOM dalam satu kenyataan turut mengatakan bahawa pemergian Freddy Wilfred adalah satu kehilangan besar kepada fraterniti sukan negara.

“Pemergian Wilfred Vias adalah satu kehilangan besar kepada persaudaraan sukan di Malaysia,” kata MOM.

Menurut rakannya Kuldip Singh, bekas pemain tenis negara, Freddy adalah ahli sukan sejati yang memimpin melalui teladan.

“Persahabatan erat yang indah terjalin antara kami sejak 38 tahun lalu. Walaupun saya sangat sedih, saya harus mengatakan bahawa Uncle Freddy mempunyai kehidupan yang penuh dan indah. Dia seorang ahli sukan sejati,” katanya.




Dalam pada itu, Sri Shanmuganathan, bekas kapten pasukan Piala Dunia 1975 turut menyatakan kesedihan beliau mengenai berita pemergian Freddy yang merupakan seorang perintis sukan hoki dan dan ahli pasukan hoki pertama negara yang bermain di Olimpik.

"Itulah sosok yang boleh digambarkan, mempunyai disiplin diri yang tinggi di dalam dan luar padang dan begitu komited terhadap permainan.

“Beliau adalah naib kapten pasukan, seorang pertahanan yang tinggi, dan seorang lelaki yang budiman di dalam dan di luar padang. Dia mempunyai disiplin diri dan komitmen yang sangat tinggi terhadap permainan.

“Dan beliau juga menunjukkan kepada kita semua bahawa masih terdapat lagi kerjaya lain walaupun era kegemilangan sukan telah pun tamat” katanya.

Bekas kapten dan jurulatih hoki negara itu juga berkata Freddy adalah contoh terbaik kepada semua. - KitaReporters

13
8
0
9
0
You will be interested