Insan & Komuniti 14 Jul, 2020

Hasrat tercapai! Van jenazah, jalan tar bagi warga Telok Mas

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

DALAM Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan kerajaan bermula pada 10 Jun 2020 lalu, banyak masalah penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Melaka dapat diselesaikan. Ini termasuklah penyerahan van jenazah dan pembukaan jalan berturap tar di Kampung Mukim Alai. : KitaReporters 

Noor Effandi Ahmad 


Penyerahan van jenazah dan pembukaan jalan berturap tar di Kampung Mukim Alai itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan (Adun) kawasan itu yang juga ahli Exco Pendidikan, Sains & Teknologi Hijau dan Inovasi Melaka, Datuk Noor Effandi Ahmad

Dalam majlis ringkas yang diadakan selepas solat Jumaat baru-baru ini, Noor Effandi menyerahkan replika kunci van jenazah kepada Pengerusi Masjid Al Fahlihin, Imran Mohd Som

Majlis itu meninggalkan kesan mendalam serta rasa terharu ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

Ini kerana idea mendapatkan van jenazah itu adalah daripada bekas pengerusi masjid itu, arwah Aziz Isnin bagi memudahkan urusan membawa jenazah ke tanah perkuburan dan dapat dimanfaatkan penduduk bagi kampung Bukit Punggur, Alai Perdana, Pengkalan Jajar dan Alai Tengah.


Esa Muhamad 


Ahli Jawatankuasa Keselamatan Kampung Alai, Esa Muhamad dan anak arwah Aziz, Azlina Aziz melahirkan rasa bersyukur akhirnya usaha menyediakan van jenazah menjadi kenyataan dan akan memberi banyak faedah kepada penduduk kampung.

“Saya sebagai mewakili penduduk dan kariah masjid mengucap ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk individu dan badan korporat yang banyak menyumbang dana bagi membeli van jenazah itu,” kata Esa.

Azlina Aziz 


Bagi Azlina van jenazah itu membawa erti yang besar kepada beliau dan keluarga kerana usaha gigih arwah bapanya itu akhirnya tercapai umpama khidmat terakhir kepada penduduk kampung.

Kerja-kerja membina jalan berturap tar Kampung Bukit Punggur sebelum dihentikan berikutan PKP. 


Dalam majlis berasingan selepas itu, Noor Effandi meninjau jalan berturap tar yang siap dibina akhir Mei lalu bagi kegunaan dan keselesaan penduduk Kampung Bukit Punggur khususnya warga emas untuk ke jalan utama dan surau berdekatan.

Jalan itu sepatutnya siap dibina Mac lalu terpaksa ditangguh pembinaannya berikutan PKP yang dilaksanakan kerajaan. 

Penghulu DUN Telok Mas, Melaka Tengah, Ridzuan Mohamad Ripin; Pegawai Pembangunan Kemajuan Luar Bandar, Mohamad Zaini Kassim; dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung (JPKK) Bukit Punggur, Azadi Mohd Diah sentiasa memastikan projek itu berjalan lancar.

Pengerusi JPKK Bukit Punggur, Azadi Mohd Diah (kiri) sedang memberi penjelasan kepada penduduk kampung ketika jalan berkenaan dalam proses pembinaan. 


Imam 1 Masjid Al Fahlihin Kampung Alai, Hazmi Hamid melahirkan rasa gembira kerana jalan berturap tar itu dapat disiapkan kerana sebelum ini penduduk terpaksa melalui jalan berbatu kerikil yang berbahaya kepada mereka menggunakan basikal dan motosikal.

Bagi warga emas Aminah Kassim begitu teruja dan gembira dapat menggunakan jalan berturap tar itu untuk berulang alik dengan selesa ke surau berdekatan dan lebih bermakna apabila dikunjungi Noor Effandi bagi melihat sendiri pembinaan jalan itu.

Warga emas, Aminah begitu teruja dapat berjumpa Noor Effandi yang datang melihat jalan berturap tar itu.


Noor Effandi berharap penduduk dapat memanfaatkan sebaik mungkin kemudahan yang disediakan kerajaan untuk feadah bersama dan sentiasa memberi kerjasama kepada JPKK dalam menyelesaikan masalah.

“Saya akan sentiasa mendengar keluhanan rakyat apabila menghadapi satu-satu masalah dan JPKK akan membuat laporan bagi mengemukakan jalan penyelesaian atau langkah yang perlu dilakukan untuk membantu penduduk,” katanya. - KitaReporters

Kerja-kerja terakhir menyiapkan pembinaan jalan berturap tar di Kampung Bukit Punggur baru-baru ini.

19
0
0
0
0
You will be interested