Insan & Komuniti 26 Apr, 2020

TIADA COVID-19: LESOTHO LAKSANA 'LOCKDOWN'!!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

JIKA diberi pilihan, tiada satu pun negara di dunia yang mahu diserang virus Covid-19. Rakyat akan menderita sakit, malah ramai yang mungkin terkorban. Di samping kos untuk urusan rawatan dan perubatan juga tinggi. : KitaReporters

LESOTHO bersempadankan darat dan 'di dalam' Afrika Selatan. - Kredit foto: Google Maps


Juga tiada negara yang mahu menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau ‘lockdown’ sebagai langkah mengekang penularan Covid-19 kerana di samping menyusahkan rakyat, ia juga menjejaskan ekonomi.

Tetapi berlainan pula halnya dengan Lesotho, sebuah negara di benua Afrika. 

Walaupun negara itu sehingga kini belum mencatatkan sebarang kes Covid-19 tetapi telah mengambil inisiatif melaksanakan PKP.  

Memetik laporan AFP, Lesotho telah menguatkuasakan PKP selama tiga minggu sehingga 21 April 2020. 

Tamat tempoh ini ia disambung lagi sehingga 5 Mei walaupun masih tiada sebarang kes Covid-19 dilaporkan.

PERDANA Menteri Lesotho,  Thomas Thabane mengumumkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 5 Mei 2020. - Kredit foto: Wikipedia.


Perdana Menteri Lesotho, Thomas Thabane memberitahu, tempoh PKP ini akan digunakan oleh kerajaan untuk mendapatkan bekalan peralatan kesihatan khusus, seperti alat bantuan pernafasan (ventilator), alat pemantau pesakit dan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk kemudahan kakitangan kesihatan. 

Semuanya sebagai persediaan jika Covid-19 menular ke negara itu.

Tindakan lanjutan ‘lockdown’ diambil sebagai persediaan menghadapi kemungkinan virus Covid-19 disebarkan merentas sempadan dari Afrika Selatan.

HOSPITAL Peringatan Queen Mamohato di Maseru, ibu negara Lesotho, antara hospital yang bakal menjadi tempat rawatan seandainya Covid-19 melanda Lesotho. - Kredit foto: Doctor 4 Africa.


Lesotho ialah sebuah negara bersempadankan darat dan dikelilingi oleh Afrika Selatan. 

Secara mudah, ia adalah sebuah negara ‘di dalam’ Afrika Selatan.

Justeru timbul kebimbangan virus akan disebarkan dari Afrika Selatan yang sehinggi kini merupakan negara di Afrika mencatatkan kes tertinggi Covid-19 iaitu 4,361 kes dengan 86 kematian setakat, Sabtu, 25 April 2020.

Thabane memberitahu, tempoh lanjutan PKP ini juga akan diguna untuk menjalankan saringan di hospital dan kawasan berisiko tinggi.

Kerana itulah tempoh ini juga digunakan untuk mendapatkan peralatan yang diperlukan bagi menjalankan ujian berkenaan memandangkan negara itu masih belum mempunyai peralatan ujian mencukupi.

PEMANDANGAN kota Maseru, ibu negara Lesotho. - Kredit foto: apiglobal.org


Turki juga dilaporkan menyumbangkan bantuan pelbagai keperluan kepada Lesotho dalam usaha mengekang Covid-19, termasuk pakaian perlindungan diri (PPE), sanitizer, sarung tangan dan topeng muka.

Kesemua keperluan ini akan diagihkan kepada pihak hospital, klinik, pertubuhan dan orang ramai yang memerlukan. 

Sebagai usaha mendepani masalah ekonomi akibat PKP, Thabane juga mengumumkan beberapa langkah ekonomi, antaranya memperuntukkan Dana Bantuan Bencana, dengan satu lagi dana bagi membantu sektor awam.

Selain itu, Lesotho juga telah memulakan rundingan dengan Bank Dunia dan Kesatuan Eropah bagi mendapatkan bantuan.

Jika Lesotho yang belum mencatatkan sebarang kes Covid-19 telah melaksanakan ‘lockdown’,  memang tepat sekali negara kita menguatkuasakan 'lockdown'.  

Bersama-samalah kita berusaha mengekang virus ini dan memutuskan rangkaia Covid-19. 

Patuhi PKP dan duduk diam-diam di rumah. - Kita Reporters

1
1
2
1
0
You will be interested