Insan & Komuniti 16 Jan, 2021

Video| Misi bantuan banjir UUM ke Kelantan, Terengganu, Pahang! Berjaya meskipun masa singkat

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:anakperlis65@gmail.com

Share this

MISI bantuan sukarelawan Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada mangsa banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan terpaksa dipendekkan dari empat hari pada 11 hingga 14 Januari 2021 kepada tiga hari sahaja pada 11 hingga 13 Januari 2021 ekoran pengumuman Perdana Menteri. : KitaReporters 


Dr Hendrik Lamsali (tengah, berbaju putih) bersama sukarelawan UUM.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Universiti Utara Malaysia:

https://kitareporters.com/search?search=uum


Keputusan mempercepat tempoh misi dibuat selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri, manakala mengenakan PKP Bersyarat (PKPB) di enam negeri dan PKP Pemulihan (PKPP) di dua negeri untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam pada 13 Januari 2021 hingga 26 Januari 2021.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Hendrik Lamsali keputusan memendekkan operasi sumbangan dan pembersihan berkenaan dibuat sebagai menghormati pengumuman kerajaan berkaitan PKP, PKPB dan PKPP.


Barangan untuk mangsa banjir dibawa dengan kenderaan UUM.



Kata Dr Hendrik, keputusan itu dibuat bagi mematuhi perintah PKP 2.0 ke atas enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

"Walaupun sukarelawan UUM tidak membabitkan enam negeri di atas tetapi terpaksa akur dengan PKPB ke atas enam negeri lagi iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan," ujarnya ketika bercakap kepada wartawan KitaReporters.


Dr Hendrik Lamsali melepaskan konvoi sukarelawan di Foyer HEPA UUM.


Perutusan Khas Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang disiarkan di stesen televisyen pada Isnin, 11 Januari 2021 lalu oleh Perdana Menteri itu memaklumkan negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya yang telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

Kata Muhyiddin, melalui pengumuman itu, KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.


Kusyen yang rosak akibat banjir dibuang oleh sukarelawan UUM. 


Oleh itu UUM telah mengambil keputusan untuk mengarahkan 30 sukarelawan terdiri dari staf dan pelajar kampus ini untuk membatalkan pergerakan mereka ke Johor dan meneruskan misi sumbangan dan berjumpa dengan pelajar dan keluarga yang terkesan akibat banjir yang melanda.

Dr Hendrik Lamsali menambah sukarelawan-sukarelawan yang membawa bekalan makanan dari ‘Food Bank’ yang dikendalikan oleh Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD) telah mengagihkan barangan asas untuk kegunaan mangsa banjir dan keluarga mereka.


Pegawai Psikologi UUM Mohd Khairone Md Khatidin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada tiga pelajar UUM yang terbabit dengan banjir di Cukai, Terengganu.


Mengikut program asal kesemua sukarelawan ini akan berkumpul di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan majlis pelepasannya akan disempurnakan oleh menterinya Datuk Dr Noraini Ahmad.

Namun selepas pengumuman PKP itu, maka kesemua sukarelawan terdiri dari Majlis Sukarelawan Universiti-universiti Malaysia (MASKUM)  dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah menggerakkan pasukan mereka masing-masing ke lokasi untuk menyampaikan sumbangan dan menjalankan operasi pembersihan.


Pelajar dan penduduk tempatan gotong-royong menyediakan masakan.


 

Muhd Nur Mahfuz Hamdan, pelajar semester tiga Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dalam Pendidikan. 


Sementara itu beberapa pelajar yang mengikut misi ini walaupun pada awalnya kecewa dengan pengumuman PKP itu, namun  terubat hati mereka kerana diberi peluang untuk meneruskan hasrat awal untuk berjumpa dan menagihkan barangan keperluan yang UUM bekalkan.

Muhd Nur Mahfuz Hamdan, pelajar semester tiga Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dalam Pendidikan ketika ditemu bual berkata, pengalaman yang dialami bersama rakan-rakan lain sesungguhnya memberi kekuatan dan kepuasan kerana dapat membantu juga akhirnya  walaupun dalam masa yang terhad.


Sukarelawan UUM bantu membuang tilam yang rosak akibat ditenggelami air  di Cukai Terengganu.


Manakala Haraveshiny a/p Balakrishnan, 23, berkata, peluang mengikut misi bantuan ini walaupun dalam jumlah yang kecil namun memberi pengalaman kepada mereka termasuk berjumpa dengan rakan-rakan dari universiti lain.

Bagi Mohd Afizudin Khairy dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pula, peluang membantu penduduk terjejas banjir bersama rakan-rakan dari UUM dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memberi peluang untuk mereka bertemu antara tiga universiti dalam kerja kebajikan dinegara ini.

Sukarelawan UUM, UniSZA dan UMT gotong-royong memasak makanan untuk  mangsa banjir.


Alumni UUM Mohd Shazuwan Husnan Che Hamid 


Ketika di Tanah Merah Kelantan misi sukarelawan ini juga berpeluang untuk berjumpa dengan Alumni UUM Mohd Shazuwan Husnan Che Hamid, siswazah tahun 2006, yang bersama-sama mengatur program untuk membantu penduduk di Kuala Krai, Pasir Putih, Tanah Merah dan Pasir Mas yang terbabit dengan bencana banjir baru-baru ini. - KitaReporters

Penduduk Tanah Merah Kelantan menerima sumbangan daripada sukarelawan UUM.

6
1
0
0
0
You will be interested