Insan & Komuniti 22 Nov, 2020

Ricky Yacobi meninggal ketika beraksi! Yacob atau Yacobi?

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

HANYA untuk memudahkan warga Jepun menyebut nama, Allahyarham Ricky Yacob nekad menukar ejaan nama bapanya kepada Yacobi. Ketika itu, dia beraksi untuk kelab Jepun, Matsushita FC pada 1988. Ejaan begitu langsung lekat dan digunakan bekas penyerang handalan ‘Sang Garuda’ itu sehinggalah dia meninggal dunia. : KitaReporters


RICKY Yacob (berdiri kanan - gambar pasukan). - Kredit foto media online Indonesia.


Lagi kisah-kisah berkaitan Indonesia:

https://kitareporters.com/search?search=indonesia


Allahyarham pulang ke tanah air, Indonesia selepas setahun dengan kelab Liga J itu yang kini dikenali sebagai Gamba Osaka. 

Orang Jepun kerap dikatakan sukar menyebut perkataan yang berakhir dengan konsonan lalu perlu menambahkan sebarang huruf vokal. 

Laman berita dalam talian Indonesia, detik.com pada 21 November 2020, melaporkan, legenda bola sepak yang dilahirkan di Medan, Sumatera pada 12 Mac 1963 itu selalu melahirkan rasa kurang senang kalau dipanggil Ricky Yacob. 

Selepas perantauan di Jepun itu, dia juga dikatakan mendalami pengajian agama Islam bersama seorang penjaga gol.   

“Bang nama saya Yacobi bang, bukan Yacob,” cerita seorang wartawan Indonesia, Mahfudin Nigara kepada detikSport.com merujuk jawapan Allahyarham, beberapa tahun lalu. 


RICKY yang rebah tiba-tiba cuba diberikan pertolongan cemas oleh rakan-rakan ketika perlawanan. - Kredit foto media online Indonesia.


Bekas pemenang pingat emas Sukan SEA Jakarta 1987 itu menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 9.30 pagi 21 November 2020 waktu tempatan akibat serangan jantung. 

Allahyarham dilaporkan tiba-tiba rebah lalu tidak sedarkan diri ketika mahu meraikan jaringannya buat Pilihan Trofeo Medan dalam perlawanan persahabatan di Padang ABC, Senayan, Jakarta. 

Rakan-rakan sepasukan sempat mengejarkannya ke Hospital Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia Mintohardjo yang berdekatan padang itu namun disahkan meninggal dunia kemudian pada usia 57 tahun.  


RICKY (dua dari kanan) ketika penyampaian pingat bola sepak Sukan SEA Jakarta 1987. Kanan ialah penyerang Malaysia, Dollah Salleh.  


“Dia daripada kecil Islam meskipun bapanya Manado, ibunya Medan. Dia Islam sejak kecil. Dia cukup rajin bersolat. Dia seorang ceria dan banyak bercerita. Gemar ketawa itu ciri khas anak Medan. 

“Namun setelah pulang dari Jepun dan belajar agama, dia berubah. Cukup lama dalam dua tiga tahun begitu,” ujar Mahfudin. 

Balu Allahyarham, Harly Ramayani dilaporkan berlatih renang berdekatan padang tersebut ketika kejadian.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tempat Pemakaman Umum Tanah Kusir, Jakarta dalam keadaan cuaca hujan lebat pada 21 November 2020. 

Ricky pernah mendapat julukan ‘Paul Breitner Indonesia’ kerana kehebatan permainannya yang dikatakan sering mengimbas aksi bekas tonggak Jerman Barat yang menjuarai Piala Dunia 1974 itu. 

Dia juga beraksi dengan kelab PSMS Medan hingga Arseto Solo manakala pasukan kebangsaan Indonesia dari 1985 hingga 1990 selain Matsushita FC. 

Dia membantu ‘Sang Garuda’ menjuarai Sukan SEA 1987 selepas menewaskan Malaysia 1-0 yang dibimbing oleh Abdul Rahman Ibrahim dalam perlawanan akhir di depan lebih 100,000 hadirin Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Antara tonggak Malaysia pada final 20 September 1987 yang berlanjutan ke masa tambahan itu ialah Dollah Salleh, Salim Mahmud Muhaidin, Hashim Mustapha, Radhi Mat Din, Nasir Yusuf dan Khalid Shahdan serta Ahmad Yusoff.

Terdahulu Malaysia mengejutkan juara bertahan, Thailand 2-0 dalam separuh akhir hasil jaringan Hashim dan Dollah.  


AKSI terakhir Ricky Yacob dalam perlawanan persahabatan mewakili Pilihan Trofeo Medan pada 21 November 2020. - Kredit foto media online Indonesia.

0
0
1
0
0
You will be interested