Insan & Komuniti 08 Mar, 2021

Terbaiklah Muslimah Surau Al-Mizan Shah Alam! Usaha murni ringankan bebanan sebab PKP, Covid-19

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Wakil keluarga yang memerlukan bantuan hadir untuk menerima sumbangan daripada AJK Muslimah Surau Al-Mizan.


SIKAP mengambil berat terhadap masalah jiran tetangga mendorong Ahli Jawatankuasa (AJK) Muslimah Surau Al-Mizan, Seksyen 28, Shah Alam, Selangor melancarkan Program Tabung Makanan Al-Mizan bagi meringankan bebanan keluarga yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) angkara wabak Covid-19.

Hasil kesepakatan dan semangat bekerjasama AJK berkenaan, mereka berjaya mengumpul sumbangan pelbagai barangan keperluan harian dan dana bagi membeli beberapa makanan asas seperti beras, gula, tepung gandum, garam, minyak masak, telur, kicap, susu dan sebagainya.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan bank makanan:

https://kitareporters.com/search?search=bank+makanan



Pengerusi AJK berkenaan, Akashah Hassan, berkata hasil pengumpulan barangan itu mereka berjaya mengagihkan sumbangan kepada 21 keluarga yang terkesan dengan norma baharu sejak Covid-19 melanda negara dan PKP 2.0 dilaksanakan di Selangor.

Menurut beliau, sejak awal pagi semua AJK hadir di lobi surau itu untuk membungkus dan mengagihkan barangan keperluan harian kepada wakil keluarga yang hadir selepas dimaklumkan baru-baru ini.


AJK Muslimah Surau Al Mizan sedang membungkus barangan keperluan asas untuk diagihkan kepada keluarga yang terkesan dengan pandemik Covid-19.


Katanya, keluarga kariah surau berkenaan dipilih menerima agihan itu adalah dalam kalangan B40 yang terjejas dengan pandemik Covid-19 apabila ada antara mereka hilang punca pendapatan atau pekerjaan bagi mendapatkan barangan keperluan harian.

“Sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak dan individu yang bermurah hati menghulurkan sumbangan sebagai tanda keprihatinan  secara tidak langsung menunjukkan sikap bertanggungjawab dan mengambil berat mereka untuk berkongsi rezeki.


AJK Muslimah Surau Al Mizan berhasrat mengumpulkan lebih banyak dana untuk menambah barangan keperluan asas juga keluarga yang akan dibantu.


 “Kami AJK berharap program ini dapat diteruskan setiap bulan selain dapat mengumpul lebih banyak dana terutama menjelang Ramadan supaya pelbagai barangan sumbangan dapat diagihkan kepada keluarga yang memerlukan bantuan,” katanya.

Akashah berkata, jika dana dikumpulkan itu semakin bertambah, AJK akan menambahkan lagi barangan keperluan harian itu, di samping dapat membantu lebih banyak lagi keluarga yang terkesan dengan pelaksanaan PKP.


Ahli kariah juga perlu memberikan kerjasama seperti memaklumkan kepada AJK jika mengetahui ada keluarga memerlukan bantuan.


Menurutnya, AJK juga berharap ahli kariah memberi kerjasama seperti memaklumkan jika mengetahui ada keluarga yang memerlukan bantuan bagi mengelak mereka berasa diabaikan sedang mereka berhak menerima sumbangan.

“AJK mahu memastikan program ini mencapai objektif dilancarkan iaitu memberi bantuan dan sokongan kepada keluarga yang ditimpa musibah dan mengetepikan masalah remeh-temeh yang mengekang usaha murni berkenaan,” katanya.


AJK Muslimah Surau Al Mizan bersepakat membantu keluarga yang menghadapi musibah berikutan PKP angkara Covid-19.

22
0
0
0
0
You will be interested