Insan & Komuniti 19 Mar, 2022

Tahniah Juliza! Tak putus asa! Jadi graduan selepas 11 tahun berjuang dalam kesakitan, kesusahan!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Juliza Ameruddin menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik dan Multimedia) yang disampaikan oleh Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor bagi sesi ketiga pada 18 Mac 2021.

TEMPOH pengajiannya sangat panjang. Penuh onak dan duri. Masalah kesihatan dan kesempitan kewangan menghantui dirinya. Namun, graduan ini tidak pernah patah semangat dalam mengejar cita-cita. Dan 18 Mac 2022, dia berkonvo sebagai melunas hutang pengajian selama 11 tahun

Selepas puas bergelut dengan pelbagai ujian dan dugaan terutama masalah kesihatannya yang sangat rumit, akhirnya Juliza Ameruddin berjaya menggenggam segulung ijazah walaupun terpaksa mengambil masa selama 11 tahun.

Mahasiswi 'senior’ ini berjaya merealisasikan impiannya apabila hadir menerima iijazahnya di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) Ke-15 walaupun dalam keadaan bergantung kepada tong gas sebagai alat bantuan pernafasan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan majlis konvokesyen

Juliza ketika menghadiri Majlis Konvokesyen UMP ke-15 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.

Juliza menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Grafik dan Multimedia) yang disampaikan oleh Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor bagi sesi ketiga pada 18 Mac 2021 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.

Juliza yang kini berusia 36 tahun berkata, penyakit asmanya semakin kronik menyebabkan dia terpaksa bergantung dengan tong gas oksigen bagi penafasan sepanjang masa.

Anak kepada pasangan Ameruddin Zakaria dan Nuraini Mat Piah itu menghidap penyakit asma kronik atau Brittle Bronchial Asthma dan Osteopenia Secondary sejak tahun 2007, namun pada tahun 2010 penyakitnya semakin serius sehingga mengakibatkan beliau diintubasi sebanyak 115 kali di hospital.


Juliza ketika di atas pentas menerima ijazahnya.

Juliza mula mengikuti pengajian di UMP pada tahun 2009 dalam keadaan sihat.

“Namun, ketika berada pada tahun ketiga pengajian, keadaan kesihatan saya merosot sehingga mengakibatkan saya lumpuh dan berstatus Orang Kurang Upaya (OKU). Saya juga pemegang kad OKU.

“Sejak kejadian itu saya kerap menangguhkan pengajian. Semangat untuk belajar tidak pernah padam dan saya amat terharu UMP telah memberi peluang untuk menyambung pengajian setelah menangguhkannya selama enam tahun (2011-2016) kerana kerap keluar masuk wad,” katanya.


Juliza Ameruddin tidak pernah patah semangat untuk menamatkan pengajiannya di UMP

Katanya, pihak universiti, keluarga dan rakan-rakan adalah antara pihak yang menjadi pembakar semangat untuk dia berjaya menamatkan pengajian walaupun mengambil masa lama.

“Sepanjang pengajian, UMP banyak membantu dari segi kewangan, kelas secara dalam talian, logistik untuk kelas, memberi peluang ruang peniagaan di dalam kampus dan lain-lain lagi. Terima kasih kepada semua pihak di universiti yang terlalu banyak membantu saya.

“Selepas tamat pengajian pada Januari 2021, saya telah ditawarkan bekerja di UMP Holdings sebagai Pembantu Strategik Korporat.

“Bagaimanapun, selepas setahun bekerja saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan atas masalah kesihatan dan menumpukan pada bidang perniagaan makanan yang sedang diusahakan di UMP,” katanya.


Juliza bersama doktor dan petugas Pusat Kesihatan UMP
Dalam pada itu, Juliza yang berasal dari Kuala Lumpur turut berkongsi kisahnya ketika berada dalam keadaan kritikal sewaktu menerima rawatan di hospital. 

“Sampai satu tahap saya dikatakan tiada harapan untuk sembuh kerana penyakit saya yang sangat kronik. Namun, berkat kesabaran dan doa banyak pihak, saya masih diberi peluang untuk benafas sehingga kini.

“Sumber inspirasi dan kekuatan saya sudah tentulah kedua-dua ibu bapa saya yang telah banyak berkorban dalam membesarkan saya sehingga berjaya,” kata anak sulung daripada lima beradik itu.

 Juliza berharap perjuangannya itu dapat memberikan inspirasi kepada pelajar-pelajar lain yang berdepan masalah sama bahawa sakit bukan halangan untuk berjaya.


Juliza bersama kedua-dua ibu bapanya, Ameruddin Zakaria dan Nuraini Mat Piah.


Sementara itu, Nuraini amat bersyukur dan gembira atas kejayaan yang diperoleh oleh Juliza.

“Sebagai ibu, saya sentiasa menyokong apa jua minat Juliza dan sering menasihatinya supaya mengutamakan kesihatannya,” katanya.

Contohilah graduan cekal ini. Sebesar mana pun rintangan, halangan dan cabaran ditempuhi, semangat untuk menamatkan pengajian dan  menggenggam segulung ijazah tidak pernah terpadam buat selamanya. 

Tahniah untuk Juliza Ameruddin. - KitaReporters

15
8
0
9
0
You will be interested