Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras kegiatan songsang di sebuah pusat spa di ibu negara.

Tindakan ini perlu dipuji dan diteruskan kerana hal ini melibatkan isu keselamatan, kesihatan awam, akhlak masyarakat dan maruah Ummah.
ISMA menegaskan bahawa perkembangan terbaharu menunjukkan perlunya pihak berkuasa mengambil isu ini jauh lebih serius dan memperketat tindakan penguatkuasaan, kerana undang-undang Malaysia sudah jelas menjenayahkan perbuatan liwat, seks luar tabii dan kelucahan melampau antara lelaki, sama ada suka sama suka atau sebaliknya.
Fakta undang-undang menunjukkan kes seperti ini boleh disiasat dan didakwa tanpa keperluan wujudnya mangsa, khususnya di bawah Seksyen 377A Kanun Keseksaan.
Di samping itu, ISMA ingin menekankan bahawa, penolakan reman dalam kes ini berlaku akibat kelewatan melepasi tempoh 24 jam, iaitu kelemahan prosedur, bukan kerana ketiadaan bukti.
Kesilapan teknikal seperti ini tidak boleh berulang. PDRM, pendakwa raya dan Jabatan Agama Islam perlu menyusun semula koordinasi serta SOP agar siasatan kes-kes sebegini tidak terjejas oleh kelemahan sistem dalaman.

ISMA juga ingin mendesak kerajaan melakukan pembetulan terhadap kelompongan undang-undang dan penyeragaman prosedur supaya pihak berkuasa boleh bertindak lebih tegas dan berkesan dalam menangani gejala songsang yang semakin berani muncul secara terbuka.
Kesalahan yang jelas dalam undang-undang tidak boleh dipadamkan hanya kerana kegagalan teknikal.
ISMA juga menyambut baik seruan JAWI untuk berganding bahu dengan NGO Islam dalam memperluas pendidikan masyarakat mengenai bahaya normalisasi nafsu songsang.
Ini adalah isu akhlak dan ancaman kepada kestabilan institusi keluarga dan masyarakat.

ISMA ingin mengingatkan bahawa syariah ialah asas kehidupan umat Islam di negara ini, dan mempertahan akhlak masyarakat merupakan tanggungjawab kolektif sebagai sebuah ummah.
ISMA komited bekerjasama dengan pihak berkuasa dan NGO Islam yang lain untuk memperkukuhkan pendidikan akhlak dan memastikan budaya yang menyalahi fitrah tidak diberi ruang dalam masyarakat Malaysia.
SHUHAIB AR-RUMY SELAMAT, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Shuhaib Ar-Rumy Selamat