Insan & Komuniti 11 Sep, 2025

Ukhuwah kariah makin erat! Karnival tambah seri Sambutan Maulidur Rasul! Teladan untuk generasi muda!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Sambutan Maulidur Rasul yang dianjurkan komuniti di satu-satu tempat adalah bagi memperingati serta meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal bertujuan untuk menzahirkan rasa cinta dan penghormatan kepada Rasulullah SAW.


Sebahagian kariah sudah berkumpul di pekarangan surau berkenaan sejak awal pagi.


Serentak itu diadakan pelbagai aktiviti keagamaan termasuklah kuliah agama, ceramah perdana, berselawat dan perarakan yang mampu menjadi platform mengukuhkan perpaduan serta keharmonian ukhuwah dalam kalangan masyarakat Islam.

Aktiviti itu juga secara tidak langsung menjadi wadah untuk mendalami sirah Nabi Muhammad SAW dan mengamalkan ajaran baginda dalam kehidupan seharian disamping menyebarkan ilmu agama kepada generasi muda serta memastikan ajaran Islam terus hidup dalam masyarakat.

Ibarat ‘serampang dua mata’, Surau An-Nur Taman Pelangi, Semenyih, Selangor, menganjurkan Sambutan dan Karnival Maulidur Rasul yang didahulukan dengan perarakan bermula jam 7.30 pagi hingga jam 9.00 pagi sambil berselawat dari pekarangan surau berkenaan di Jalan TPS 3/1 berpusing ke Jalan TPS 3/5 sebelum berakhir di tempat permulaan pada 5 September 2025.


Sebahagian gerai sudah dibuka awal pagi pada karnival Sambutan Maulidur Rasul di pekarangan Surau An-Nur Taman Pelangi, Semenyih, Selangor.


Setiausaha surau itu, Salbiah Omar, berkata karnival berkenaan diadakan sempena Sambutan Maulidur Rasul antara usaha mempelbagai aktiviti di samping mengimarahkan surau, menyantuni dan mengumpul kariah dalam satu program mengeratkan ukhuwah sambil menghayati sejarah hidup Nabi Muhmammad SAW yang juga aktif menceburi bidang perniagaan. 

Sehubungan itu, menurutnya, pelbagai gerai menjual makanan, minuman, kuih-muih, barangan keperluan asas yang menarik, pemeriksaan mata percuma, insurans, tawaran pakej umrah dan sebagainya dijalankan dengan mengambil contoh amalan dilakukan Nabi Muhammad SAW ketika berurus niaga.

Tambahnya, pihak surau ingin memanfaatkan sebaik mungkin kehadiran kariah dan orang ramai pada sambutan itu yang bukan setakat untuk sama-sama berselawat tetapi mempraktikan amalan kebaikan dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan hariannya.  

“Paling teruja apabila kariah dan orang ramai termasuk kaum wanita daripada pelbagai peringkat usia dapat hadir pada awal pagi di pekarangan masjid untuk menyertai perarakan sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sekali gus menjadi teladan kepada masyarakat mengenai penyatuan ummah yang harmonis serta saling menyokong,” ujarnya. 


Daei Hidayu Mohd Kamil menyampaikan kuliah duha pada karnival berkenaan.


Sementara itu Ahli Jawatankuasa Muslimat (AJK) surau berkenaan, Mariam Ridzuan, berkata semua pihak khususnya AJK, sukarelawan serta penyumbang memberi kerjasama baik bagi memastikan majlis sambutan Maulidur Rasul dan karnival berkenaan berjalan lancar terutama aktiviti yang membabitkan komuniti.

Jelasnya, aktiviti keagamaan seperti kuliah duha secara santai oleh Daei Hidayu Mohd Kamil dan ceramah perdana disampaikan oleh Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Ustaz Nor Azamir Alias berjalan lancar serta mendapat sambutan daripada kariah.

Tambahnya, manakala aktiviti membabitkan kanak-kanak berumur antara 6 tahun hingga 12 tahun iaitu kuiz bijak solat dan pertandingan mewarna juga mencuit perhatian kariah apabila melihat pelbagai ragam anak mereka ketika menjawab soalan dikemukakan serta menyiapkan lukisan untuk diwarnakan.

“Aktiviti yang disusun ini juga salah satu usaha surau untuk mewujudkan suasana muhibah dan memupuk hubungan ukhuwah erat antara kariah di samping memberi teladan kepada generasi muda yang akan mewarisi kehidupan bermasyarakat di taman itu,” ujarnya lagi.


Kariah dan penduduk di sekitar Surau An-Nur Taman Pelangi, Semenyih, Selangor, berarak pada Sambutan Maulidur Rasul, 5 September 2025.

15
13
0
17
0
You will be interested