Insan & Komuniti 31 Aug, 2025

Erti merdeka sebenar! Merdeka di Dunia, Merdeka di Akhirat! Merdeka daripada semua bentuk penjajahan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

"APA yang membawa kamu (kaum Muslimin) ke negeri kami?," tanya Rustam.

Lalu Rib’i menjawab dengan penuh hikmah dan ketegasan: "Allah mengutus kami, untuk mengeluarkan sesiapa yang Dia kehendaki. Daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan hanya kepada Allah, daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.



"Daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam. Maka, kami datang dengan agama-Nya, untuk mengajak manusia kepadanya. Sesiapa yang menerimanya, kami akan kembali dan membiarkannya dalam urusan negerinya. Tetapi sesiapa yang menolaknya, kami akan memeranginya sehingga kami mencapai janji Allah."

Rostam bertanya: "Apakah janji Allah itu?"

Rib’i menjawab: "Syurga bagi orang yang mati (dalam perjuangan) dan kemenangan bagi yang hidup."

Penolong Pengarah Kanan dalam Cawangan Penyelarasan Pembudayaan Maqasid di Bahagian Maqasid Syariah, JAKIM Ustaz Mohd Lukmanul Hakim Mokhtar berkata ini adalah dialog antara utusan yang dihantar oleh Khalifah Umar Al-Khattab ke Parsi iaitu Ribi' ibn 'Amir al-Tamimi kepada panglima agung tentera Parsi, Rostam Farrokhzad, sebelum Perang al-Qadisiyyah.


Ustaz Mohd Lukmanul Hakim Mokhtar (empat dari kiri) bergambar kenangan bersama AJK dan jemaah Surau Al-Ukhuwah, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Beliau berkata, dialog ini menjadi lambang keagungan dakwah Islam, yang tidak terpesona dengan kuasa dunia. Ia contoh terbaik bagaimana Islam bukan datang untuk menakluk, tetapi membebaskan manusia daripada kezaliman dan kehambaan sesama manusia.

"Dialog Rib‘i bin ‘Amir r.a. dengan Rostam bukan sekadar sejarah, tetapi ia sarat dengan makna kemerdekaan sebenar dan sangat sesuai untuk dikaitkan dengan sambutan Hari Kebangsaan, terutama dalam konteks umat Islam dan negara seperti Malaysia.

"Malaysia mencapai kemerdekaan daripada penjajah sejak 68 tahun lalu. Tapi adakah kita merdeka seperti dimaksudkan Rib‘i bin ‘Amir iaitu dari tunduk kepada manusia kepada tunduk hanya kepada Allah? Kemerdekaan fizikal satu permulaan tapi kemerdekaan jiwa dan sistem, itulah kemerdekaan hakiki.

"Kemerdekaan sebenar ialah bebas daripada belenggu nafsu, syaitan, kekufuran dan ketakutan kepada makhluk. Orang yang mengikuti nafsu, mereka tidak merdeka tapi menjadi hamba nafsu sendiri," kata Ustaz Mohd Lukmanul Hakim dalam ceramah khas bertajuk, "Merdeka Di Dunia, Selamat Di Akhirat" sempena Bulan Kemerdekaan di Surau Al-Ukhuwah, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Ustaz Mohd Lukmanul Hakim


Hari ini, katanya rakyat Malaysia mungkin merdeka daripada penjajah tetapi kita belum merdeka daripada penjajah yang bernama 'wahn' iaitu cinta dunia dan takut mati. Dan, selagi 'wahn' itu masih dalam diri, kita tidak akan merdeka di dunia, apatah lagi di akhirat.” 

"Kemerdekaan sejati juga bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal tetapi bebas daripada belenggu penghambaan moden seperti rasuah, sistem ekonomi zalim, ideologi songsang, atau tunduk kepada kuasa asing.

"Kemerdekaan sebenar apabila jiwa kita merdeka untuk tunduk hanya kepada Allah, bukan sistem atau kuasa manusia.

Kita keluar daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

“Marilah kita renungi erti kemerdekaan sebenar, bukan sekadar kibaran bendera atau laungan merdeka, tetapi merdeka hati, minda, dan sistem kehidupan daripada segala bentuk penjajahan moden.

"Sebagaimana kata Rib‘i bin ‘Amir, ‘Kami datang untuk membebaskan manusia…’ maka hari ini, kita sambut kemerdekaan dengan tekad untuk kembali menjadi hamba Allah yang benar-benar merdeka," katanya.


Ustaz Mohd Lukmanul Hakim menikmati hidangan yang disediakan selepas ceramah khas.


Kisah dialog Rib‘i bin ‘Amir dan Rostam yang membawa kepada peperangan al-Qadisiyyah dan kejatuhan empayar Parsi adalah ramalan kenabian yang benar-benar berlaku. 

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: (maksudnya) "Apabila Kisra (Raja Parsi) binasa, maka tidak akan ada lagi Kisra selepasnya. Dan, apabila Qaisar (Raja Rom) binasa, maka tidak akan ada lagi Qaisar selepasnya. Demi Tuhan yang jiwaku di tangan-Nya, harta kekayaan mereka pasti akan dibelanjakan di jalan Allah." - HR Bukhari & Muslim

Ustaz Lukmanul Hakim berkata, negara kita ditakluki penjajah selama 500 tahun, bermula dari Portugis sehingga Inggeris tapi ulama termasuk Raja Ali Haji terus berjuang mempertahan akidah. Hasilnya kita masih kekal beragama Islam, bukan seperti sesetengah negara yang rakyatnya mengikut penjajah menjadi kafir.

"Kita perlu ada semangat seperti rakyat Palestin, merdeka di dunia dan bebas di akhirat. Tidak hairanlah mereka sanggup mempertahan tanah air kerana yakin bumi itu adalah tanah jihad, jika terbunuh mereka mati syahid!

"Amat menyedihkan umat pada akhir zaman, mereka tidak mempunyai semangat nasionalisme seperti ulama ketika menentang penjajah. Mereka tamak, pentingkan diri sendiri, asyik bergaduh hanya kerana bangsa dan melakukan perbuatan ditegah Allah seperti rasuah.

"Sebab itu, Nabi SAW mengatakan umat akhir zaman ramai tapi mereka ibarat buih di lautan. Apabila terjadi begitu, Allah akan cabut rasa takut di hati orang bukan Islam terhadap kamu. Bahkan ramai umat Islam ada penyakit cintakan dunia dan takut mati," kata Ustaz Mohd Lukmanul Hakim lagi.


Ustaz Mohd Lukmanul Hakim sempat melayan jemaah yang hadir sempena ceramah khas Bulan Kemerdekaan di Surau Al-Ukhuwah, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Daripada Thauban r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: (maksudnya) “Akan tiba suatu masa di mana umat-umat (kafir) akan bersatu untuk menentang kamu, seperti orang-orang yang mengerumuni hidangan.” Para sahabat bertanya: "Adakah kerana bilangan kami sedikit ketika itu, ya Rasulullah?"

Baginda menjawab: “Tidak. Bahkan kamu ketika itu ramai, tetapi kamu ibarat buih. Allah akan mencabut rasa takut dari hati musuh-musuh kamu terhadap kamu dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahn’.” Sahabat bertanya: "Apakah ‘wahn’ itu, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: “Cinta dunia dan takutkan mati.” - HR Abu Dawud.

Ini adalah akar kelemahan umat Islam: mereka terlalu terikat dengan kemewahan, keselesaan, hiburan, dan takut untuk berkorban demi kebenaran. 

Hadis itu bukan untuk melemahkan semangat, tetapi sebagai peringatan supaya umat Islam kembali kepada Allah, bersatu, dan membina kekuatan sebenar iaitu iaitu iman, ilmu, akhlak dan keberanian.

“Kita bukan kurang dari segi jumlah tapi lemah dari segi jiwa. Kita bukan tidak mampu tapi terlalu mencintai dunia dan takut mati. Maka merdekakanlah hati kita dari ‘wahn’ lalu kembali kepada Allah, berjuang dengan ilmu, akhlak, dan keberanian.

"Kemerdekaan menurut Islam bukan sekadar soal tanah air, tetapi menyentuh jiwa, akidah, dan akhirnya keselamatan di akhirat.  Untuk benar-benar merdeka di dunia, kita mesti bebas dari wahn," kata Ustaz Mohd Lukmanul Hakim.


Gambar kenangan jemaah Surau Al-Ukhuwah, Bandar Baru Bangi, Selangor bersama Ustaz Mohd Lukmanul Hakim.


Dalam hadis lain, Rasulullah SAW  bersabda: (maksudnya) “Barang siapa yang mati tanpa ada dalam hatinya sedikit pun keinginan untuk berjihad (berusaha menegakkan agama), maka dia mati dalam satu cabang nifaq (kemunafikan).” - HR Muslim

"Umat yang merdeka di akhirat ialah mereka yang berjuang, bukan hanya selamat daripada penjajahan dunia, tetapi dibebaskan dari azab neraka dan masuk ke syurga.

"Marilah kita hidup sebagai umat yang berani, berprinsip dan kembali kepada ajaran Islam yang murni. Merdekakan hati daripada cinta dunia yang berlebihan dan suburkan cinta kepada akhirat. Itulah jalan menuju kemerdekaan sebenar," tambah Ustaz Mohd Lukmanul Hakim.

Puncak kemerdekaan ialah seperti Allah sebut dalam surah Ali Imran ayat 185 iaitu manusia yang merdeka apabila mereka dibebaskan daripada api neraka dan dimasuk ke syurga. Itulah erti merdeka di dunia, merdeka di akhirat! - KitaReporters

23
11
0
13
0
You will be interested