“Apabila mendapat maklumat mengenai ada pihak yang memerlukan bantuan atau sokongan, kami menggerakkan Program Infak Jumaat untuk sehari sahaja bagi mengumpul dan mencari dana yang diperlukan.

Musalmah Mohd Salleh menyampaikan ucapan ringkas bersempena kunjungan Group Infak Seremban ke PJNH.
“Daripada
dana itu kami akan menyalurkan kepada pihak yang memerlukan sama ada dalam
bentuk kewangan atau membeli barangan asas keperluan harian selepas membuat
penelitian terlebih dahulu bagi memastikan ia menepati sasaran serta
bermanfaat,” kata wakil Group Infak Seremban, Datin Musalmah Mohd Salleh.
Menjelaskan
perkara itu, program berkenaan dibuka sehari sahaja iaitu bermula hari Khamis
sehingga Jumaat bagi membolehkan rakan-rakan kenalan, jiran komuniti dan mereka
berkeprihatinan untuk berkongsi rezeki membela mereka yang memerlukan bantuan.
Tambahnya, langkah itu dilakukan bagi mengelak syak wasangka atau anggapan tidak betul sesetengah pihak terutama dalam suasana sekarang apabila tercemar dengan berleluasa perbuatan ‘scammer’ yang mengambil kesempatan daripada kesusahan orang lain.

Mohiadin Bahado memberi penerangan kepada Musalmah dan rakan-rakan mengenai warga emas yang terlantar kerana keuzuran.
Menurutnya,
dengan memberi peluang sehari sahaja untuk yang berkeprihatinan menghulurkan
sumbangan sekadar termampu dan kami tidak berkira berapa dapat dikumpul demi
niat murni membantu mereka terbabit dengan seberapa segera.
“Dengan cara
ini juga tidak akan membuka peluang atau memberi kesempatan kepada mereka tidak
bertanggungjawab untuk mengambil peluang melakukan penipuan di samping
meyakinkan kawan-kawan kenalan, jiran komuniti dan mereka berkeprihatinan bagi menginfak
apa sahaja sumbangan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis menaja makan tengah
hari dan menghulurkan sumbangan untuk Pusat Jagaan Warga Emas Nur Hasanah
(PJNH), di Beranang, Selangor, pada 18 November 2025.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado, dan wakil Group Infak Seremban, Rejemah Muda serta Jamilah Sharif.
Musalmah bersama-sama rakan diiringi Mohiadin melihat sendiri bilik yang menempatkan warga emas termasuk mereka yang uzur terlantar di atas katil bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai pusat jagaan berkenaan.

Warga emas PJNH gembira dapat menikmati makan tengah hari nasi tomato tajaan Group Infak Seremban.
Musalmah berkata, group itu terpanggil untuk membantu PJNH apabila mendapat info mengenai pusat jagaan berkenaan yang hampir terputus bekalan stok bahan makanan apabila kurang mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Jelasnya,
sebagai pusat jagaan yang diuruskan NGO sudah pasti amat berharap bantuan serta
sokongan daripada orang ramai, NGO dan sebagainya bagi memastikan warga emas
berlindung di situ dapat meneruskan kelangsungan hidup.
Justeru
tambahnya, infak kewangan dan sumbangan barangan asas keperluan harian amat
diperlukan secara berterusan kerana jasa mereka dalam membela nasib warga emas
tanpa waris, gelandangan serta uzur dengan menghidap bermacam penyakit
seharusnya dibantu.
Mengambil
kesempatan program itu, Musalmah turut menzahirkan nasihat kepada warga emas di
PJNH supaya reda dengan nasib yang menimpa mereka kerana dalam situasi umur
yang semakin lanjut dan uzur seharusnya didampingan insan tersayang terutama
anak.
Beliau
berkata, bagaimanapun keadaan berlaku sebaliknya apabila tanggungjawab itu
dipikul oleh PJNH bersama-sama sukarelawan yang tabah dan bersabar melayani serta
menyantuni warga emas kerana sudah tentu memiliki pelbagai karenah.
“Sebagai warga emas hormatilah mereka ini yang paling penting jangan lupa untuk menunaikan solat lima waktu dan jaga kesihatan supaya terus bertenaga serta sembuh daripada penyakit dihidapi di samping mengekalkkan keharmonian bersama rakan senasib,” ujarnya.

Musalmah dan rakan-rakan turut melihat barangan yang dijual di Galeri Jualan Amal PJNH untuk mengumpul dana.
Sementara
itu, Mohiadin berkata, hujung September 2025 lalu, pusat jagaan berkenaan menghadapi
kehabisan stok bahan bekalan makanan menyebabkan mereka terpaksa menguar-uarkan
menerusi media sosial memaklumkan perkara berkenaan bagi mendapatkan sumbangan.
Menurutnya,
seawal tersebar perkara itu, PJNH menerima kunjungan mengejut daripada ketua
kampung bersama komuniti Kampung Sesapan Kelubi untuk melihat sendiri stok
makanan dalam stor simpanan sebelum menghulurkan sumbangan pelbagai barangan
asas keperluan harian.
Tambahnya,
berikutan itu PJNH menerima kunjungan tidak henti-henti daripada NGO dan group
komuniti yang menzahirkan rasa simpati dengan menghulurkan sumbangan barangan seperti
beras, gula, minyak masak dan sebagainya.
“PJNH
mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang datang membantu kerana
ia memberikan keceriaan khusus kepada warga emas yang menumpang kasih di sini sebelum
berakhir nyawa dikandung badan,” ujarnya.
Kepada mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai PJNH boleh menghubungi Mohiadin menerusi telefon 017-394 3216 atau Pengurus PJNH, Kairul Ahmad (019-960 5947). - KitaReporters

Musalmah (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kewangan kepada Mohiadin hasil Program infak Jumaat.