Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang menjadi pusat rujukan utama pesakit di selatan tanah air kini sedang melalui perubahan besar dengan pengantian lebih 1,000 katil baharu bagi mengantikan yang lama.

Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Pengerusi Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon bermesra dengan pesakit kanak-kanak ketika melakukan tinjauan ke HSA bagi melihat kerja-kerja menaik taraf hospital berkernaan. - Kredit foto Facebook Ah Soon.
Katil-katil tersebut bukan datang daripada peruntukan besar kerajaan, sebaliknya hasil kerjasama orang ramai, syarikat sosial dan pertubuhan kebajikan yang prihatin terhadap keperluan pesakit.
Ia ibarat semangat gotong-royong moden, apabila hospital dan komuniti berganding bahu demi keselesaan pesakit.
HSA yang memiliki lebih 1,200 katil kini sudah menerima lebih 800 unit daripada lebih 1,000 katil baharu yang bakal diterima iaitu lebih 80 peratus daripada keseluruhan jumlah.
Wad kanak-kanak menjadi antara yang pertama menerima nafas baharu, menjadikan pengalaman ibu bapa menemani anak mereka jauh lebih selesa.

Ling Tian Soon diiringi kakitangan HSA meninjau keadaan wad kanak-kanak yang telah selesai pengantian sepenuhnya katil lama kepada yang baharu.- Kredit foto Facebook Ah Soon.

Antara yang terlibat dengan kerja-kerja penambahbaikan di HSA adalah ruangan menunggui di Jabatan Kecemasan dan Trauma. - Kredit foto Facebook Ah Soon.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, sasaran awal sebenarnya hanya 969 katil namun, kerjasama pelbagai pihak melangkaui jangkaan hingga berjaya mengumpulkan lebih 1,000 unit.
“Ini kali pertama penggantian katil secara besar-besaran dilakukan di HSA dan tinjauan kami mendapati maklum balas amat positif, bukan sahaja daripada pesakit dan pelawat, malah daripada petugas,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook miliknya pada 26 September 2025.
Menurut beliau, perubahan paling ketara dapat dilihat, wad kini lebih teratur menjadikan operasi kerja lebih mudah dan memberi lebih keselesaan kepada pesakit dan penjaga, yang amat menghargai usaha tersebut.
Bagi ibu bapa, katil baharu di wad kanak-kanak membawa makna besar. Tidak lagi perlu menahan diri di ruang sempit dengan katil usang, sebaliknya mereka kini dapat menjaga anak-anak dalam persekitaran lebih selesa dan mesra.

Lebih 1,000 katil lama di HSA ditukar dengan katil baharu yang lebih selesa dan moden hasil sumbangan pelbagai pihak.- Kredit foto Facebook Ah Soon.
Selain penggantian katil, HSA juga sedang melalui fasa menaik taraf yang menyeluruh di wad di tingkat lima bangunan induk yang sudah siap diperbaharui dengan sistem pendawaian elektrik dan bekalan oksigen yang lebih moden menjadikan ruang itu kini lebih cerah, luas dan teratur.
Kontraktor dijadual menyerahkan projek tersebut kepada pihak hospital pada 28 September 2025, sekali gus membuka laluan untuk memindahkan pesakit ke wad baharu itu sebelum kerja-kerja naik taraf seterusnya bermula.
Namun, proses transformasi ini bukan tanpa cabaran. Empat buah wad melibatkan 117 katil terpaksa ditutup sementara bagi memberi ruang kepada kerja-kerja naik taraf.
Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan kapasiti, tetapi langkah pantas telah diambil bagi mengatasinya.
Pihak hospital menambah katil di wad sedia ada serta mengubah suai ruang lain untuk menempatkan katil tambahan sebagai langkah penyelesaian sementara menunggu projek utama siap sepenuhnya.
"Saya berharap orang ramai memahami situasi ini. Setelah semua kerja selesai, hospital ini akan tampil dengan wajah baharu dan memberikan perkhidmatan lebih berkualiti,” katanya.

Antara ruang yang dinaik taraf menjadi lebih selesa kepada pesakit dan pelawat serta petugas HSA.- Kredit foto Facebook Ah Soon.
Bukan setakat wad pesakit, kawasan menunggu di Unit Kecemasan HSA juga sedang diberi nafas baharu.
Projek bernilai RM155,000 yang dibiayai sepenuhnya kerajaan negeri kini telah siap 50 peratus dan dijangka siap awal November 2025.
Apabila projek-projek ini siap kelak, HSA bukan sahaja sekadar pusat rawatan terbesar di Johor, tetapi juga simbol kebersamaan antara kerajaan, masyarakat dan dunia korporat dalam memastikan keselesaan dan maruah pesakit sentiasa terjaga.
Hospital ini mungkin di lokasi yang sama, namun wajahnya bakal berubah.
Daripada katil hingga ke ruang menunggu, semuanya sedang disusun semula untuk memberi satu mesej jelas bahawa pesakit dan penjaga bukan sekadar angka, tetapi insan yang layak menerima layanan terbaik. - KitaReporters

Ling Tian Soon mendengar penerangan daripada kakitangan HSA mengenai keadaan semasa di wad kanak-kanak HSA selepas mendapat katil baharu.- Kredit foto Facebook Ah Soon.