Sebuah pusat pelupusan bahan bercetak mengandungi ayat-ayat suci dan al-Quran di Masjid Taman Yayasan, Segamat menawarkan khidmat untuk melupuskan al-Quran dan ayat-ayat suci jika ada bahan tersebut yang rosak akibat bencana gempa bumi baru-baru ini.

Menurut penyelia yang juga sukarelawan Pusat Pemurnian Al-Quran (Rosak) daerah Segamat, Jefri Maskuri, 70, aktiviti pelupusan dilakukan menggunakan insinerator atau tempat pembakaran khas secara tertib berdasarkan hukum syarak ditetapkan.
"Pusat pelupusan atau pembakaran kendalian Koperasi Masjid Taman Yayasan Segamat Berhad itu mampu melupuskan kira-kira 100 kilogram (kg) bahan bacaan ayat suci yang terjejas yang sudah kering dan dibersihkan hampir 100 peratus.
"Berdasarkan pengalaman banjir yang lalu, banyak bahan bercetak ayat suci ini yang rosak, basah dan terjejas akibat bencana alam itu.
"Proses membakar bahan cetak ayat suci itu dilakukan secara berkala dan mengambil masa dalam tempoh 24 hingga 26 jam.
"Kita mengambil tempoh yang agak panjang untuk melupuskan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat suci kerana jumlahnya adakala meningkat mendadak di luar jangka, terutama sekali pada musim kecemasan melanda seperti banjir dan gempa bumi baru-baru ini," katanya.

Tambah Jefri, perkhidmatan membabitkan kos pelupusan yang
ditawarkan itu adalah sebanyak RM5 sekilogam (kg) kerana tidak mahu
membebankan mangsa terkesan gempa atau banjir.
"Aktiviti pelupusan dilakukan bertujuan memelihara kemuliaan al-Quran serta bahan bercetak mengandungi ayat suci dan ia dilupuskan mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan oleh syarak.
"Aktiviti pelupusan itu tetap diadakan secara berkala tanpa mengira waktu jika terdapat permintaan mengejut daripada penduduk serta keperluan semasa.
"Pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kariah setempat serta pihak pengurusan masjid dan surau sekitar Segamat turut membantu mengumpul dan melupuskan al-Quran serta bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang terjejas akibat bencana alam," kongsinya.
Jefri juga berkongsi setakat ini belum ada pihak menghantar ayat suci dan Al-Quran yang terkesan akibat gempa bumi lemah baru-baru ini untuk dilupuskan.

Orang ramai yang memiliki al-Quran dan bahan bercetak seperti buku-buku agama yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran yang rosak akibat gempa bumi atau banjir atau apa pun sahaja boleh mengumpulkan bahan tersebut di masjid kariah dan surau setempat bagi tujuan pelupusan di pusat pelupusan terbabit.
Bahan-bahan tersebut kemudian boleh dibawa ke pusat pelupusan Al-Quran di Segamat ini untuk proses pemurniaan al-Quran yang rosak atau tidak digunakan lagi. - KitaReporters
