Seorang pemuda telah melakukan jihad tanpa menggunakan suara dengan memegang poster bertulis ‘SOLAT’ sambil berjalan dari meja makan ke meja makan yang lain di kawasan gerai makanan di sekitar tepi sungai di Muar.

Jihad tanpa suara yang dilakukan oleh Mujaahid Mohd Noor, 25, ini
dapat dilihat di sekitar gerai-gerai makan yang di buka di tepian jeti
berdekatan Stesen Bas Muar bermula pada waktu petang.
Dia mengambil inisiatif berdakwah tanpa suara apabila memegang poster tulisan 'Solat' sambil berjalan meja ke meja ini sebagai tanda mengingatkan sesama muslimin dan muslimat mengerjakan solat apabila tiba masuk waktu solat.
"Saya akan berjalan dari meja ke meja pelanggan apabila azan maghrib berkumandang dengan hanya memegang poster 'Solat' ini tanpa berkata apa-apa.
"Setakat ini, semua pelanggan menghargai usaha kecil saya ini dengan membalas dengan anggukan kepala sambil tersenyum dan kami bersalaman.
"Ada juga yang mengucapkan terima kasih kerana mengingatkan mereka untuk mengerjakan solat pada awal waktu. Semuanya adalah tindak balas yang positif. Alhamdulillah.
"Pendekatan mengingatkan masuk waktu solat tanpa mengeluarkan suara yang dilakukan selama ini adalah ikhlas kerana Allah dan demi kemudahan umat Islam," katanya ketika ditemui di Bandar Muar.

Seiring dengan namanya Mujaahid yang bermaksud orang yang
berjihad, atau pejuang yang bersungguh-sungguh dan berjuang untuk kebaikan dan
ketaatan kepada Allah, pemuda ini akan terus melakukan inisiatif dakwah
berkenaan selagi diberikan kudrat untuk
melakukannya.
Mujaahid yang juga berniaga menjual pelbagai minuman di salah satu gerai di kawasan berkenaan juga berkata, dia hanya melakukannya secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang ganjaran atau pujian.
"Sebelum ini ada kalanya saya melihat segelintir orang ramai tidak menyedari telah masuk waktu solat dan ada juga yang tercari-cari lokasi ibadah berhampiran sebaik azan berkumandang.
"Saya berasa terpanggil untuk memegang poster 'Solat' ini dengan berjalan kaki sekitar lokasi tumpuan umum, umpamanya gerai makanan tanpa mengira cuaca.
"Saya melakukan inisiatif ini bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi hanya usaha kecil dengan berdakwah atas kertas bertulisan 'Solat' di mana saya pun mahir selok-belok tumpuan umum di Bandar Muar ini.
"Selain mengingatkan telah masuk waktu solat, saya juga secara sukarela membantu menunjukkan arah lokasi ibadah berhampiran seperti surau," kongsinya.
Tambah Mujaahid, dia melakukan perkara ini seikhlas hati semata-mata kerana Allah tanpa paksaan dari mana-mana pihak.
Dia juga memohon maaf terutama kepada mereka yang lebih berusia daripadanya jika mereka merasa tidak selesa dengan kehadirannya yang memegang poster 'Solat' terbabit.
Kisah Mujaahid ini walaupun kelihatan santai ia mendapat pujian kerana kesungguhannya melakukan 'street dakwah' pada hampir setiap waktu solat sejak puluhan tahun lalu.
Mujaahid turut memaklumkan ahli keluarganya dan rakan-rakannya juga turut pernah membantu melakukan perkara sama.

Sementara itu, Mohd Ramli Othman, 47, salah seorang
pelanggan di gerai sekitar tapak perniagaan itu berkata, sebelum ini ada
kalanya dia alpa telah masuk waktu solat kerana tidak mendengar laungan azan.
"Saya bersyukur dalam keadaan dunia siber ini ada anak muda sanggup melakukan kerja dakwah yang dilihat mudah namun tidak ramai mampu melakukannya yang mempunyai kesan mendalam kepada umat Islam.
"Saya sering melihat Mujaahid menunjukkan poster solatnya bagi memaklumkan orang ramai kerana bimbang terlewat untuk pergi ke surau untuk beribadah.
"Sebagai umat Islam, tentunya saya dan keluarga rasa sebak dengan semangatnya kerana dia nekad mahu melakukan dakwah tanpa suara tidak kira panas, hujan, malam mahupun siang.
"Saya berharap ramai lagi anak muda tampil melakukan perkara mudah berdakwah seperti ini dengan hanya bergantung kepada sekeping kertas tulisan sahaja namun impaknya amat berkesan," ujarnya.
Mohd Ramli juga tidak menolak berkemungkinan ada pihak yang memperkecil usaha Mujaahid untuk mengingatkan waktu azan.
Namun, baginya ia tiada isu kerana usaha pemuda itu amat dipuji di mana kadangkala mungkin orang ramai tidak sedar laungkan azan telah masuk waktu solat kerana sedang rancak berbual atau menikmati hidangan makanan di gerai.
"Saya selalu memberitahu Mujaahid agar tidak mengambil kisah dengan cakap-cakap orang dan sering memberitahu dia apa yang dilakukannya besar pahalanya," katanya lagi. - KitaReporters