Insan & Komuniti 19 Jun, 2025

Sepanjang Jalan Kenangan| Penangan Combat, CHIPs, High Chaparral! Berangan jadi askar, polis, koboi!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this


PADA tahun 1960-an dan 1970-an, ketika ledakan teknologi belum melanda dunia sebagaimana sekarang, radio dan televisyen menjadi medium bukan saja untuk mendapatkan maklumat tapi juga sumber hiburan seisi keluarga.

Apatah lagi bagi budak kampung macam penulis, pendedahan pada dunia luar memang terbatas, ditambah pula dengan kekangan kemiskinan. Justeru, hanya radio dan televisyen menjadi sumber hiburan utama.

Ketika itu hanya ada Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai stesen penyiar yang merangkumi radio berbahasa Melayu, Mandarin dan Tamil sementara televisyen pula hanya ada dua saluran yang dinamakan Saluran Satu dan Dua.


 

FENOMENA Pop Yeh Yeh melanda negara pada zaman 1960-an dan 1970a-an.


Radio lazimnya memenuhi halwa telinga dengan mengkumandangkan lagu-lagu popular pada zaman itu. Ketika pop yeh yeh sedang melanda negara, lagu-lagu dendangan Jeffrydin, A Ramlie, A Halim, S Jibeng, J Kamisah, Sanisah Huri dan ramai lagi sentiasa dinanti-nantikan.

Malah penulis yang merupakan peminat tegar lagu-lagu Hindustan sentiasa tertunggu-tunggu suara merdu Mohamad Rafi, Kishore Kumar, Lata Magheskar dan Asha Boshle mendendangkan lagu-lagu dari filem Bollywood.

Menerusi radio juga penulis kenal penyanyi Barat seperti Rod Stewart, Paul Anka, Bee Gees, Abba, The Osmond Brothers, The Beattles dan artis popular lain ketika itu.


FAJAR Di Bumi Permata drama radio popular pada zaman dahulu.


Penulis juga suka mendengar drama radio terutama drama bersiri ‘Fajar Di Bumi Permata’ yang menampilkan pelakon seperti Ahmad Hassan, Salasiah Zakaria, Sani Ahmad dan Maamor Ali sebagai watak utama.

Uniknya drama ini yang berlatarbelakangkan sebuah perkampungan Tanah Rancangan, ia mengutarakan pelbagai dialek seperti Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Drama ini menjadi fenomena terutama watak Pak Chat yang dilakonkan oleh Ahmad Hassan sehinggakan, penulis masih ingat, apabila pelakon itu berkunjung ke kampung penulis, penduduk mengambil ‘cuti peristiwa’ semata-mata hendak melihat Pak Chat dari dekat.

Penduduk yang menoreh tidak pergi menoreh, yang bersawah tidak turun ke sawah dan yang berkebun meninggalkan kebun pada hari berkenaan. Begitulah penangan sebuah drama radio ketika itu terutamanya Pak Chat yang kemudian menjadi penyanyi dengan nama Ahmadi Hassan!


SIRI Combat, drama peperangan yang sentiasa dinanti-nantikan.


Sementara menerusi televisyen, selain Tayangan Gambar Melayu yang menayangkan filem-filem keluaran Shaw Brothers dan Studio Cathay Keris, penulis juga suka menonton drama seperti slot Potret Pekerti, Drama Minggu Ini, siri Opah dan Rumah Kedai

Ketika penulis masih kanak-kanak dan ketika meningkat remaja, banyak siri drama televisyen luar negara yang menjadi kegemaran penulis dan anak-anak sezaman penulis.

Siri 'Combat' yang menampilkan Vic Morrow sebagai Sergeant Saunders dan Rick Jason (Lieutenant Gil Hanley) sebagai watak utama, adalah antara yang popular.

Memaparkan pertempuran antara tentera Amerika dengan Jerman pada Perang Dunia Kedua, secara halus kita didoktrinkan bahawa Amerika adalah ‘tentera baik’ dan Jerman ‘jahat’ menyebabkan kita sentiasa menyokong Vic Morrow dan pasukannya.


VIC MORROW bawa watak Sgt Saunders dalam siri Combat.


Malah, penulis masih ingat ketika bermain ‘combat’ bersama kawan-kawan sebaya, ramai yang berebut-rebut hendak menjadi tentera Amerika dan tidak mahu memegang watak tentera Jerman kerana pemahaman yang sudah dipasak dalam pemikiran kami.

Begitu juga watak Sgt Saunders (Vic Morrow) yang sentiasa ditonjolkan sebagai wira memberi impak yang mendalam kepada kami sehingga masing-masing berebut mahu menjadi Vic Morrow!

Drama ‘Combat’ itu juga menumbuhkan minat penulis untuk menjadi seorang anggota tentera. Penulis sentiasa membayangkan berada di medan perang, bertempur dengan musuh dan akhirnya menang. Hakikatnya, tubuh penulis yang kecil tidak akan melayakkan penulis menjadi tentera apatah lagi nak jadi Vic Morrow!


ERIK Estrada (kiri) dan Larry Wilcox, pelakon utama CHIPs.


Minat penulis untuk menjadi tentera juga semakin pudar bila muncul pula siri ‘CHIPs, pasukan polis bermotosikal yang menampilkan dua watak utama, Frank Poncherello (lakonan Erik Estrada) dan Jon Baker (Larry Wilcox).

Keterujaan kepada kedua-dua watak hero itu membuatkan penulis berangan-angan pula hendak menjadi anggota polis bermotosikal yang berjaya membanteras pelbagai jenayah.

Penulis sering membayangkan, betapa segaknya penulis berpakaian seragam polis sambil menunggang motosikal berkuasa tinggi, meronda di tengah kota. Fuhh! Tentu gah!

Sekali lagi, hakikatnya, sudah tentu ia sekadar angan-angan kerana fizikal penulis tidak memungkinkan penulis menukar angan-angan menjadi realiti.


HIGH Chaparral, drama cowboy yang popular.


Sebagaimana Labu dan Labi (filem arahan Tan Sri Ramlee) yang sentiasa berangan-angan hingga membawa ke mimpi, penulis juga pernah berangan-angan menjadi cowboy (koboi) kerana terlalu terpengaruh dengan siri televisyen, 'High Chaparral’.

Membayangkan diri sebagai Monolito Montoya (lakonan Henry Darrow), tentu seronok berkuda ke sana ke sini sambil dua pistol tersisip di kiri dan kanan pinggang. Hebat!

Siri ‘BJ and The Bear’ adalah satu lagi drama televisyen zaman dahulu yang membawa penulis keluar dari realiti. Watak BJ (lakonan Greg Evigan) yang kacak dan Bear (seekor cimpanzi) memberi inspirasi untuk menjadi pemandu treler.

Penulis sering membayangkan BJ itu adalah penulis, seorang lelaki kacak yang baik hati, sentiasa menolong orang walaupun hanya seorang pemandu lori.

Kelakarnya, kadang-kadang sambil menunggang basikal, penulis membayangkan sedang memandu treler, Cuma bezanya tidak ditemani Bear.


BJ And The Bear


Begitulah pengaruh televisyen ketika itu. Watak-watak yang ditonjolkan menerusi drama sering memberi inspirasi sehingga mencetuskan impian tanpa realiti.

Banyak lagi siri drama yang penulis minat seperti ‘Fantasy Island’, ‘Hart and Hart’, ‘Mannix’, The Saint’, ‘Mission Imposibble’,’ Charlie’s Angels’,  ‘Six Million Dollar Man’ dan sudah tentu ‘Ultraman’.

Bila menyelusuri kembali sepanjang jalan kenangan itu, penulis hanya mampu tersenyum sendiri. 

Tapi, hakikatnya itulah pengalaman yang tak mungkin dapat dinikmati anak-anak zaman ini yang dicambahi dengan pelbagai teknolog tanpa sempadani. - KitaReporters


ANTARA siri popular televisyen pada zaman dahulu.

 

 

 

20
6
0
11
0
You will be interested